Syarikat pengeluar barangan elektronik Panasonic Holdings merancang mengeluarkan sel bateri kereta elektrik (EV) terbaru dengan kapasiti lebih baik seawal tahun ini.
Pengeluaran bateri baru yang digelar sel 2170 di kilang syarikat itu di Nevada, Amerika Syarikat, akan bermula pada 2024 atau 2025, kata ketua pegawai teknologi (CTO) bagi bateri EV Panasonic, Encik Shoichiro Watanabe.
Menurutnya, syarikat yang berpangkalan di Osaka itu berupaya meningkatkan kapasiti pengeluarannya empat kali ganda menjelang tahun fiskal 2030, tanpa perlu membuat kilang baru atau pelaburan besar, lapor The Business Times (BT) yang memetik laporan Bloomberg.
Panasonic kini berusaha meningkatkan ketumpatan tenaga bagi sel 2170.
Usaha tersebut boleh mengurangkan kos keseluruhan EV, tambahnya.
“Kami akan kembangkan kapasiti bateri dan meningkatkan produktiviti pada masa sama,” ujar Encik Watanabe.
Panasonic menyasarkan pasaran Amerika Utara, dengan rancangan menambah baik dan mengembangkan pengeluaran di Amerika sebagai sebahagian matlamatnya menyediakan 200 gigawatt setiap jam (GWh) tenaga bagi bateri EV pada masa depan.
Panasonic juga sedang membangunkan satu lagi bateri yang lebih tebal dan besar, digelar sel 4680.
Usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran syarikat itu sebanyak 10 peratus menjelang 2025 tidak semestinya memerlukan tambahan talian pengeluaran baru di kilangnya, atau pelaburan baru, katanya lagi.
Keputusan mengenai jadual masa pengeluaran bateri EV generasi seterusnya di kilang Nevada, yang dikendalikan bersama syarikat kereta elektrik Tesla, akan dibuat bersama Tesla, tambahnya.
Panasonic telah membuat pelaburan besar dalam pembangunan bateri EV agar ia tidak ketinggalan dalam usaha sedunia yang kini giat menghentikan penggunaan bahan api fosil secara berperingkat dan beralih kepada sumber tenaga bersih dan neutral karbon.
Disember lalu, Panasonic menyatakan ia telah menolak insentif hampir AS$700 juta ($933 juta) dari Jepun untuk membina kilang pengeluaran di Oklahoma.
Akta Pengurangan Inflasi (IRA) pentadbiran Presiden Amerika, Encik Joe Biden, menawarkan subsidi bagi sel bateri yang dikeluarkan di Amerika, dan memberi kelebihan kepada jenama terkemuka dunia seperti Panasonic, yang meramal peningkatan pendapatan operasinya sebanyak 85 bilion yen ($780 juta) pada suku yang berakhir Mac 2024.
Walaupun syarikat Panasonic tidak membuat kereta, ia adalah pengeluar bateri kereta terbaik di Jepun dan pembekal bateri utama bagi kereta Subaru, Mazda Motor dan Telsa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg