Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Saingan sengit Tesla, BYD jual EV

Jan 03, 2024 | 03:12 PM



Tesla membekalkan bilangan rekod kenderaan elektrik (EV) pada suku keempat, mengatasi anggaran pasaran dan mencapai sasaran 2023 syarikat itu. Namun ia kehilangan kedudukan sebagai pembuat EV teratas kepada syarikat BYD dari China.

Tesla membekalkan 494,989 EV dalam tempoh Oktober hingga Disember 2023, kurang daripada 526,409 kenderaan yang dikirimkan BYD, menunjukkan bahawa pembeli kereta mencari model yang lebih murah dalam ekonomi yang dibelenggu kadar faedah tinggi.

Walaupun dorongan jualan akhir tahun pembuat kereta Amerika Syarikat itu kebanyakannya membuahkan hasil, membantunya menyampaikan 1.8 juta kenderaan pada 2024, ia tidak mencapai sasaran dalaman tahunan sebanyak 2 juta kenderaan yang disasarkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Encik Elon Musk.

Sementara itu, di Singapura pula jumlah EV penuh yang didaftar terus meningkat daripada 6,809 EV pada Januari 2023 kepada 10,983 November lalu.

Pencapaian BYD menunjukkan pemotongan harga membuahkan hasil bagi syarikat China itu, kata Cik Susannah Streeter, ketua wang dan pasaran di Hargreaves Lansdown.

“Pertarungan itu akan menjejaskan keuntungan bagi kedua-dua syarikat, tetapi BYD jelas percaya ia adalah harga yang wajar demi meningkatkan bahagian pasaran dan pengiktirafan,” tambahnya.

Tesla meningkatkan diskaun dan menawarkan insentif seperti enam bulan pengecasan pantas percuma jika pelanggan menerima kiriman menjelang akhir Disember, dalam usaha meningkatkan jualan sebelum beberapa jenis kereta sedan Model 3 kehilangan kredit cukai persekutuan Amerika pada 2024.

Kredit itu telah membantu Tesla mencatatkan pertumbuhan sebanyak 11 peratus berbanding suku sebelumnya dan lebih tinggi daripada anggaran 473,253, menurut 14 penganalisis yang ditinjau syarikat penyelidik kewangan LSEG.

Ia mencatatkan rekod 494,989 kenderaan pada suku tersebut selepas pengeluaran dihentikan pada suku ketiga untuk menaik taraf talian pemasangan, menjadikan jumlah pengeluaran pada 2023 kepada 1.85 juta unit.

Jumlah kiriman Tesla adalah “jauh, jauh, lebih baik daripada syarikat kereta domestik Amerika”, kata Encik Gary Bradshaw, pengurus portfolio di pemegang saham Tesla Hodges Capital.

Pembuat EV yang lebih kecil, Rivian, juga melaporkan perangkaannya pada 2 Januari, dengan syarikat itu kehilangan anggaran pasaran di tengah-tengah kemerosotan yang lebih meluas dalam permintaan EV.

Kelemahan itu telah menyebabkan pembuat kereta Amerika termasuk Ford dan General Motors menjadi lebih berhati-hati tentang rancangan kapasiti pengeluaran EV mereka.

Tesla juga menghadapi penelitian daripada pengawal selia berhubung teknologi memandu sendiri dengan syarikat itu menarik balik lebih daripada 2 juta kenderaan pada Disember lalu untuk memasang perlindungan baru dalam sistem bantuan pemandu lanjutan Autopilot, ekoran kebimbangan keselamatan yang dilahirkan pengawal selia keselamatan persekutuan.

Namun, Laporan Pengguna – yang dihasilkan kumpulan bukan raih untung Amerika yang berpengaruh dan yang menjalankan semakan menyeluruh terhadap kereta, peralatan dapur dan barangan lain – berkata penilaian awalnya memberi gambaran kemas kini perisian bagi membetulkan isu tersebut tidak mencukupi dan tidak cukup jauh untuk mengelakkan penyalahgunaan dan ketidakpedulian pemandu.

KREDIT CUKAI

Beberapa penganalisis berkata Tesla mungkin terpaksa meneruskan langkah pemotongan harga yang dimulakan pada Januari tahun lalu untuk mengekalkan permintaan, selepas berakhirnya insentif cukai di bawah Akta Pengurangan Inflasi (IRA) membawa jualan ke suku keempat.

“Tesla mungkin terpaksa mengurangkan harga lagi, terutamanya untuk kenderaan seperti versi Model 3 yang kehilangan kredit cukai mereka,” kata Encik Seth Goldstein, ahli strategi ekuiti di Morningstar.

Pacuan roda belakang dan varian jarak jauh Tesla Model 3 tidak lagi menikmati kredit cukai persekutuan sebanyak $7,500 pada 2024.

Encik Goldstein bagaimanapun berkata bahawa kebanyakan pemotongan harga adalah sebagai tindak balas kepada kadar faedah yang lebih tinggi yang dikenakan Rizab Persekutuan Amerika agar Tesla boleh mengekalkan harga jika kos pinjaman mula turun.

Kereta Model 3 dan kenderaan utiliti sukan Model Y menyumbang 461,538 kiriman pada suku tersebut, manakala Tesla mengirimkan kira-kira 23,000 unit model lain.

Tesla tidak mendedahkan sama ada penghantaran termasuk Cybertruck yang baru dilancarkan.

Sementara itu, BYD Co penjual kenderaan elektrik bateri (BEV) dan hibrid plug-in terbesar di dunia, menjual kira-kira 3.02 juta kenderaan pada 2023, peningkatan sebanyak 61.9 peratus.


Pengeluar kereta yang berpangkalan di Shenzhen itu berkata ia menjual kira-kira 1.6 juta bateri EV serta kira-kira 1.4 juta EV hibrid plug-in.


BYD berkata jualan bateri dan EV hibridnya pada Disember berjumlah 340,178 termasuk 190,754 EV. – Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >