Pasaran penjualan kolektif rumah privet di Singapura menghadapi masa sukar kini, dengan satu demi satu percubaan jualan kolektif yang tidak berjaya.
Pada awal Mei, kondominium Pine Grove di Ulu Pandan gagal menarik pemaju yang menerima harga permintaan $1.95 bilion oleh pemilik rumah di tapak pajakan 99 tahun itu, dalam percubaan kelimanya untuk menjayakan penjualan kolektif.
Antara lain, bekalan tinggi daripada program Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) kini terus mengalihkan tumpuan dan sumber pemaju daripada pasaran jualan tapak tanah privet.
Selain itu, dengan pemain industri hartanah berusaha mengurangkan risiko niaga, harga tinggi yang diminta oleh pemilik kondominium itu semakin sukar menarik minat pemaju, kata beberapa pemerhati pasaran kepada The Business Times (BT).
Menurut laporan syarikat konsultasi hartanah Colliers yang diterbitkan pada April, jualan pelaburan rumah privet menjunam sebanyak 47.6 peratus pada suku pertama 2024 kepada $1.8 bilion, berbanding suku pertama 2023.
Bahkan, syarikat itu menyatakan bahawa jualan yang dicatatkan pada umumnya dirangsang oleh tiga tapak GLS pada harga sekitar $400 juta setiap satu.
Di bawah program GLS bagi separuh pertama 2024 ketika ini, pemerintah menyediakan bekalan tapak tanah bagi sekitar 5,450 unit rumah privet.
Ini adalah 5.6 peratus lebih tinggi daripada bekalan 5,160 unit rumah privet bagi separuh kedua 2023, dan merupakan bekalan tertinggi rumah privet yang ditawarkan sejak 2013.
Ketua pasaran modal di syarikat konsultasi hartanah CBRE, Encik Michael Tay, berpendapat bahawa bekalan tapak tanah pemerintah yang lebih besar kini adalah petanda baik bagi pemaju, yang mempunyai sebab baik untuk memilih tapak GLS, berbanding tapak jualan kolektif.
“Program GLS mempunyai jaminan lebih tinggi bagi perjanjian yang diselesaikan dan budi bicara dalam menetapkan harga, berbanding proses jualan kolektif yang berpotensi menimbulkan pelbagai kerumitan.
“Ketidakpastian sedemikian menambah satu lagi lapisan kerumitan memandangkan pemaju kini lebih berwaspada di tengah-tengah kelemahan ekonomi, syarat pembiayaan lebih ketat dan inflasi tinggi,” kata Encik Tay.
Harga tanah bagi tapak tanah pemerintah dengan pajakan 99 tahun juga mula turun, berbanding harga penilaian beberapa tahun lalu.
Di beberapa kawasan, sebilangan tapak tanah dijual sehingga 30 peratus lebih rendah daripada harga penjualan terakhir tapak tanah pemerintah di kawasan sama.
Pengarah urusan bagi penjualan pelaburan dan pasaran modal di Savills Singapore, Encik Jeremy Lake, pula berkata bahawa “perbezaan besar” antara tapak GLS dengan tapak tanah privet ialah harga tanah privet ditetapkan oleh pemiliknya, manakala tapak GLS “lebih didorong (harga) pasaran”.
Pada September 2023, kondominium Pine Grove, bekas estet Syarikat Perumahan dan Pembangunan Bandar (HUDC) di Ulu Pandan, yang mempunyai baki 59 tahun daripada pajakan 99 tahun, melancarkan percubaan jualan kolektif keempat sejak 2008, melalui tender awam pada harga $1.95 bilion, iaitu sekitar $1,434 setiap kaki persegi setiap nisbah plot (psf ppr).
Namun, tawaran tersebut tidak menerima bidaan daripada pemaju.
Pada Februari lalu, media melaporkan bahawa Jawatankuasa Penjualan Kolektif (CSC) bagi kondominium tersebut cuba mendapatkan mandat sokongan 80 peratus yang diperlukan untuk melancarkan semula jualan kolektif pada harga rizab lebih rendah sebanyak $1.78 bilion.
Namun, ia tidak berjaya mendapatkan mandat tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg