Sedang pasaran Asia Pasifik pulih semula selepas harga pasaran saham sedunia menjunam di ketiga-tiga indeks utama di Wall Street pada 5 Ogos, pasaran saham Singapura terus mencatatkan kejatuhan pada 6 Ogos.
Indeks Straits Times (STI) merosot lagi 1.4 peratus atau 45.23 mata kepada hampir 3,198.44 mata selepas menjunam 4.1 peratus pada 5 Ogos, lapor The Business Times (BT).
Perangkaan pekerjaan yang menimbulkan kebimbangan dalam pasaran tentang kemungkinan kemelesetan di Amerika Syarikat telah menimbulkan gesaan agar Lembaga Simpanan Federal (Fed) memotong kadar faedah sekarang untuk menyokong ekonomi terbesar dunia itu.
Pakar ekonomi Amerika yang memenangi hadiah Nobel, Encik Paul Krugman, adalah salah seorang daripada mereka, dan menulis di media sosial X: “Saya tidak meminta pemotongan kadar antara mesyuarat kerana itu mungkin menandakan panik. Tetapi kerana kita mungkin akan menyaksikan rasa cemas, hujah itu tidak lagi bermakna.”
Pemotongan kadar dasar akan memberi petanda baik untuk pasaran ekuiti tetapi akan bermakna akan menjejas margin faedah bagi bank. Akibatnya, STI, yang mempunyai banyak saham perbankan, terjejas.
Semasa sesi perdagangan pagi, (SGX) di Bursa Singapura, jumlah saham untung mengatasi saham rugi.
Sebanyak 94 kaunter saham dibuka pada harga lebih tinggi berbanding 56 kaunter saham yang dibuka pada harga lebih rendah, selepas 63.4 juta sekuriti bernilai $96.5 juta bertukar tangan.
Indeks saham utama Eropah mencecah paras terendah dalam masa enam bulan pada 5 Ogos, selepas kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi Amerika Syarikat menjejas nilai saham di seluruh dunia.
Banyak kaunter saham di Wall Street dan Singapura mengalami kegiatan penjualan yang rancak dalam kalangan pelabur pada 5 Ogos.
Kegiatan penjualan yang sama turut berlaku di negara Asia-Pasifik lain, selepas pasaran kewangan di seluruh dunia dilanda kebimbangan kemelesetan ekonomi disebabkan data pekerjaan suram di Amerika pada 2 Ogos.
Akibatnya, indeks rentas Eropah, Stoxx 600 ditutup 2.2 peratus lebih rendah pada 487.05 pada 5 Ogos.
Pada hari sama, STI turun 4.1 peratus atau 137.78 mata lebih rendah kepada 3,243.67.
Ia diketuai kejatuhan harga saham Yangzijiang Shipbuilding, yang susut 8 peratus atau 20 sen, kepada $2.30.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg