Harga sewa flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) meningkat sedikit pada Oktober – naik 0.5 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Harga sewa meningkat 0.9 peratus di kawasan matang, manakala estet tidak matang mencatatkan penurunan 0.2 peratus untuk bulan tersebut.
Pada 20 November, portal hartanah SRX menyatakan bahawa pasaran sewa HDB sedang mengalami tekanan kenaikan harga disebabkan oleh kekurangan bekalan flat, lapor The Business Times (BT).
Ketua Pegawai Data dan Analitik di 99.co, Encik Luqman Hakim, berkata kekurangan bekalan unit yang mencapai tempoh penghunian minimum menyebabkan sewa meningkat, dan trend itu dijangka berterusan dengan kenaikan 2-3 peratus menjelang penghujung 2024.
Mengikut jenis bilik, harga sewa meningkat 1.2 peratus untuk flat tiga bilik, 0.7 peratus untuk lima bilik dan 0.8 peratus untuk flat eksekutif. Sementara itu, sewa untuk unit empat bilik turun sebanyak 0.3 peratus.
Secara keseluruhan, sewa meningkat 4.6 peratus berbanding 2023.
Berdasarkan jenis unit, flat eksekutif mencatatkan kenaikan tertinggi sebanyak 6.4 peratus, diikuti flat tiga bilik (5.6 peratus), flat lima bilik (4.1 peratus) dan flat empat bilik (3.9 peratus).
Pasaran sewa kondominium terus mencatatkan penurunan untuk bulan ketiga berturut-turut, dengan 5,712 unit disewa pada Oktober, turun 7.5 peratus berbanding 6,172 unit pada September.
Namun, secara tahunan, jumlah sewa kondominium meningkat sebanyak 5.3 peratus.
Mengikut kawasan, 34.8 peratus daripada jumlah sewa adalah dari Luar Kawasan Tengah (OCR), 33 peratus dari Baki Kawasan Tengah (RCR), dan 32.2 peratus dari Kawasan Tengah Utama (CCR).
Pada Oktober, sewa dalam pasaran kondominium meningkat 0.5 peratus. Harga sewa naik 0.5 peratus di CCR dan 0.8 peratus di RCR, manakala sewa di OCR kekal sama pada Oktober.
Berbanding pada 2023, sewa keseluruhan turun sebanyak 2.8 peratus dari Oktober 2023 – menunjukkan pasaran yang semakin stabil selepas penurunan sebelum ini, kata SRX.
Ketua Penyelidik dan Strategi dari OrangeTee Group, Cik Christine Sun, menyatakan bahawa peningkatan sewa kondominium swasta mungkin disebabkan oleh lebih banyak rumah mewah yang disewakan pada bulan tersebut.
Beliau berkata bahawa bahagian pasaran CCR meningkat sedikit kepada 32.2 peratus pada Oktober 2024, berbanding 30.9 peratus pada Mei 2024.
Mengikut kawasan, harga sewa juga mencatatkan penurunan berbanding 2023 – CCR (3.9 peratus), RCR (3.3 peratus) dan OCR (2.3 peratus).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Huttons Asia, Encik Mark Yip, pula berkata pasaran sewaan kondominium mungkin kekal stabil pada hujung tahun akibat permintaan yang perlahan, seiring pemulihan ekonomi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg