Rangkaian pawagam Cathay Cineplexes, yang sedang bergelut dengan masalah hutang, menamatkan operasinya di cawangan Jem, Jurong East, pada 27 Mac.
Langkah itu menyusuli penutupan pawagamnya di West Mall pada 20 Februari – hari sama tempoh pajakannya di kompleks beli-belah Bukit Batok itu tamat, selepas berita mengenai tunggakan sewa berjuta-juta dolar kepada pemilik premis tersebar pada awal Februari.
Penutupan pawagam di Jem itu berlaku selepas pemilik premis, Lendlease Global Commercial Reit (LReit), mengeluarkan notis untuk menamatkan pajakan dengan Cathay Cineplexes berkuat kuasa pada 27 Mac, menurut pengendali pawagam itu, mm2 Asia.
“Memandangkan cabaran yang dihadapi industri pawagam sejak bermulanya Covid-19, Cathay Cineplexes akan menamatkan operasinya di pusat beli-belah Jem mulai 27 Mac 2025. Keputusan ini ialah hasil rundingan berterusan dengan pemilik premis selama lebih setahun,” kata mm2 Asia.
Walaupun pihak pawagam telah “berunding secara aktif” dengan pemilik premis bagi menyelesaikan isu berkaitan penerusan operasi di Jem serta tunggakan sewa, LReit membuat keputusan untuk menamatkan pajakan tersebut, jelas mm2 Asia.
Syarikat itu menambah bahawa Cathay tetap komited dalam usaha “menyesuaikan saiz operasi” dan menyusun semula perniagaannya selepas tempoh Covid-19 – langkah yang telah dilaksanakannya sejak dua tahun lalu.
“Proses yang sukar ini tidak dapat dielakkan, tetapi ia akan membolehkan pawagam meneroka peluang baru berdasarkan permintaan pasaran semasa, serta memastikan kelangsungan jangka panjang (perniagaan).
“Rangkaian ini juga akan terus mencari cara inovatif meningkatkan pengalaman menonton pawagam dan mempelbagaikan tawaran hiburannya bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang,” kata mm2 Asia.
LReit antara lain sedang berusaha mendapatkan semula tunggakan sewa berjumlah sekitar $4.3 juta yang masih belum dilunaskan Cathay, sehingga tarikh tamat pajakan, lapor The Business Times (BT).
Pengendali pawagam itu berkata rangkaian pawagam itu akan terus bekerjasama dengan pemilik premis bagi menyelesaikan hutang tertunggaknya.
“Cathay juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Lendlease atas sokongan mereka selama ini, termasuk semasa dan selepas pandemik Covid-19 – ketika industri pawagam menghadapi cabaran besar serta kesukaran yang belum pernah dihadapi sebelum ini,” tambah mm2 Asia.
Syarikat itu berkata ia akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat sebarang perkembangan penting.
Pada Februari, Bursa Singapura (SGX) bertanya kepada mm2 Asia mengapa hutang itu tidak dilunaskan walaupun kumpulan itu melaporkan $10.1 juta dalam tunai dan setara tunai bagi penyata kewangan separuh pertama tahun kewangan 2025.
Kumpulan itu menjawab, sebahagian daripada wang tersebut digunakan untuk perniagaan lain, dan rangkaian pawagam juga tidak mempertikaikan pembayaran sewa tertunggak itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg