Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pawagam ‘indie’ The Projector tutup akibat tekanan kos, jumlah penonton berkurang

Aug 19, 2025 | 4:10 PM
The Projector, golden villate, cineleisure
Penutupan The Projector berlaku beberapa minggu selepas ia mengumumkan kerjasamanya dengan rangkaian pawagam Cineleisure dan Golden Village (GV) ditamatkan, selain memberi tumpuan semula kepada cawangan asalnya di Golden Mile Tower. - Foto SHIN MIN

Pengendali pawagam ‘indie’ tempatan, The Projector, mengumumkan akan melalui proses pembubaran secara sukarela kerana cabaran industri menjadikan usaha “mengekalkan model bebas di Singapura amat mencabar”.

The Projector, dalam satu kenyataan media pada 19 Ogos, berkata operasinya akan dihentikan serta-merta selepas pengumuman itu.

Menurut The Business Times (BT), sebelum pengumuman tersebut, The Projector masih mempromosikan tayangan filem selepas 19 Ogos.

Penutupan itu juga berlaku beberapa minggu selepas ia mengumumkan kerjasamanya dengan rangkaian pawagam Cineleisure dan Golden Village (GV) ditamatkan, selain memberi tumpuan semula kepada cawangan di Golden Mile Tower.

Langkah itu mengejutkan sesetengah pihak, kerana The Projector mengumumkan pada April bahawa ia tidak lagi akan mengadakan tayangan harian di Golden Mile Tower, sebaliknya menumpukan pada penganjuran acara di sana, sambil menayangkan filem harian di Cineleisure.

Pada 1 Ogos, pawagam itu berkata ia akan memberi tumpuan kembali kepada ruang asal di Golden Mile Tower selepas proses jualan kolektif terbaru untuk bangunan tersebut ditutup tanpa sebarang urus niaga.

Penutupan pawagam itu berlaku selepas lebih sedekad ia “menyokong filem alternatif, kreativiti tempatan, dan program diterajui masyarakat”, sejak ia dibuka di Golden Mile Tower pada 2014.

The Projector berkata ia “terus komited memperluas definisi pawagam dan ruang masyarakat di Singapura”.

“Namun, realiti industri pawagam semakin mencabar,” tambah pengendali ‘indie’ itu, merujuk kepada cabaran seperti kos operasi yang meningkat, perubahan tabiat penonton, dan trend penurunan kehadiran penonton di pawagam di seluruh dunia.

Menurutnya, “realiti lebih luas dalam mengendalikan sektor seni dan budaya di Singapura” telah menambah tekanan itu, kerana pengendali ‘indie’ perlu “mengurus sumber terhad sambil menyumbang kepada landskap budaya negara yang terus berkembang”.

Pengasas The Projector, Cik Karen Tan, merakamkan penghargaan kepada “pasukan berdedikasi, rakan usaha sama, rakan kongsi, dan penonton setia” yang percaya pada pawagam itu.

“Kami berjuang untuk memastikan The Projector terus bertahan mengharungi pelbagai cabaran – daripada menghidupkan semula pawagam terbiar di Golden Mile Tower, menempuh pandemik, hingga mengembangkan ruang baru.

“Namun, gabungan (masalah) kos operasi yang meningkat, perubahan tabiat penonton, dan keadaan pasaran pengguna terburuk dalam sedekad ini, meninggalkan kami tanpa pilihan berdaya maju untuk meneruskan langkah,” kata Cik Tan. 

Beliau menambah, “meskipun The Projector akan tutup, kami tetap berharap semangatnya akan terus hidup melalui perbualan, idea, dan masyarakat yang telah kami bina”.

“Jika Singapura mahu berkembang, ia mesti meneroka cara supaya perniagaan kreatif dan budaya dapat bertahan – kerana budaya adalah asas identiti dan (nadi) masyarakat,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg