Pekerja di syarikat gergasi teknologi Samsung Electronics, di Korea Selatan, melancarkan mogok pertama mereka di syarikat itu pada 7 Jun, kata ketua kesatuan besar yang mewakili puluhan ribu pekerja.
Samsung Electronics adalah salah satu pembuat telefon bijak terbesar di dunia dan salah satu syarikat global yang menghasilkan cip memori bermutu tinggi yang digunakan untuk teknologi kecerdasan buatan (AI) generatif, termasuk perkakasan AI utama daripada peneraju industri seperti Nvidia.
Pihak pengurusan pengeluar cip memori terbesar di dunia itu telah terikat dalam perundingan bersama kesatuan berkenaan gaji sejak Januari, tetapi kedua-dua pihak gagal menemui kata sepakat.
“Mogok pertama di Samsung Electronics akan diadakan pada 7 Jun menerusi penggunaan cuti berbayar, dan difahamkan bahawa ramai pekerja akan turut serta,” kata ketua Kesatuan Nasional Samsung Electronics, Encik Son Woo-mok, kepada agensi berita AFP.
“Sukar untuk menyatakan angka yang tepat, tetapi daripada apa yang saya lihat berdasarkan kehadiran di tempat kerja pada pagi 7 Jun, terdapat perbezaan ketara daripada biasa.”
Mogok adalah langkah pertama diambil pekerja syarikat teknologi itu.
Samsung Electronics adalah anak syarikat utama Samsung Group, yang sejauh ini merupakan konglomerat milik keluarga terbesar yang menguasai pasaran perniagaan di ekonomi keempat terbesar di Asia itu.
Firma penyelidikan yang berpangkalan di Taiwan, TrendForce, berkata mogok itu tidak akan memberi kesan kepada pengeluaran Dram and Nand Flash, dan juga tidak akan menyebabkan kekurangan penghantaran.
Samsung menyumbang sebahagian besar keluaran global cip bermutu tinggi, tetapi mogok itu melibatkan pekerja di ibu pejabat, bukan pekerja di barisan pengeluaran, kata TrendForce.
Selain itu, ia hanya mogok sehari, dan jatuh pada tempoh cuti panjang yang dirancang di Korea Selatan.
“Oleh itu, mogok itu dijangka tidak akan memberi kesan yang besar ke atas bekalan cip memori pada masa hadapan,” tambahnya, dalam satu laporan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg