Belanjawan 2026: NTUC bakal gesa syarikat beri notis henti kerja lebih awal kepada MOM
Belanjawan 2026: NTUC bakal gesa syarikat beri notis henti kerja lebih awal kepada MOM
Langkah beri sokongan lebih baik kepada pekerja terjejas
Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) akan menggesa pemerintah dalam Belanjawan akan datang, agar notis pemberhentian kerja mandatori yang diberikan kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) oleh syarikat apabila ia memberhentikan pekerja, dapat dilakukan lebih awal berbanding lima hari seperti sekarang.
Langkah itu bertujuan memberikan sokongan yang lebih baik kepada pekerja yang terjejas.
Ini memandangkan lebih ramai pekerja, termasuk golongan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME), yang prihatin akan nasib pekerjaan mereka di tengah-tengah arus kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Pada masa ini, syarikat dengan sekurang-kurangnya 10 kakitangan mesti memberitahu MOM jika mereka memberhentikan kakitangan, dalam tempoh lima hari bekerja selepas pekerja yang terjejas dimaklumkan.
Ini supaya rakan kongsi tiga pihak, yang terdiri daripada pemerintah, kesatuan dan majikan, dapat membantu para pekerja yang diberhentikan itu mencari kerja baru dan mengenal pasti latihan relevan untuk mempertingkat daya kerja mereka.
Jika gagal melakukan demikian, majikan boleh dikenakan denda pentadbiran $1,000.
Antara lain, dalam Belanjawan nanti, NTUC akan menggesa supaya diadakan sokongan pekerjaan yang dipertingkat daripada syarikat untuk membantu pekerja yang diberhentikan mengakses lebih banyak pekerjaan.
Selain itu, ia akan mencadangkan agar sokongan pemerintah yang sedia ada, seperti Skim Bantuan Pencari Kerja yang menyediakan bantuan kepada mereka yang menganggur tanpa pilihan, dipertingkatkan.
Ditemui media semasa lawatan ke syarikat perakaunan awam SIN Assurance PAC pada 9 Februari, Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, berkata satu bidang tumpuan bagi pihaknya dalam Belanjawan kelak adalah dalam cara mempertingkat sokongan untuk golongan pekerja kolar putih.
“Kami tahu PME bimbang tentang kesan AI ke atas pekerjaan mereka. Kami juga tahu ramai yang bersedia menyesuaikan diri dan mempertingkat kemahiran.
“Dalam Belanjawan nanti, kami akan berusaha menyokong mereka dalam meningkatkan kemahiran dan sekiranya berlaku pemberhentian kerja, pemerintah dan NTUC akan bersama mereka untuk membolehkan mereka kembali relevan dan mendapat mata pencarian yang baik,” kata beliau.
Golongan PME kini membentuk sekitar 45 peratus daripada lebih 1.4 juta anggota NTUC.
Pada Februari 2025, Berita Harian melaporkan bahawa peratusan pencari kerja PME yang mendekati Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC untuk mendapatkan bantuan telah meningkat – daripada 45 peratus dalam suku keempat 2023 kepada 61 peratus dalam suku keempat 2024.
Menurut dapatan Tinjauan Sentimen Ekonomi NTUC 2025, 56 peratus PME rasa mereka perlu mempertingkatkan kemahiran agar kekal relevan, yang mencerminkan keprihatinan bahawa laluan kerjaya dan kemahiran yang dimiliki hari ini mungkin tidak seiring dengan gangguan AI.
Sementara itu, lebih 800 projek Geran Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) telah diluluskan untuk mempertingkat daya penghasilan perniagaan dan tenaga kerja sehingga Disember 2025 – lebih tinggi berbanding sekitar 700 projek yang diluluskan pada September 2025.
Geran tersebut menyediakan pembiayaan bagi membantu syarikat menjalani transformasi dan mempertingkat kemahiran pekerja.
Hampir satu dalam enam projek tersebut adalah berkaitan peranan kewangan, perakaunan dan pemerolehan, dengan lebih banyak projek dalam perancangan, sedang permintaan terus tumbuh dalam sektor tersebut, kata NTUC.
Projek tersebut dijangka memberi manfaat kepada hampir 1,700 pekerja, yang sebahagian besar peranannya diisi golongan PME.
Antara syarikat yang telah meraih manfaat daripada geran itu ialah firma perakaunan SIN Assurance PAC, yang telah menerapkan penggunaan teknologi berkaitan AI untuk mempertingkat produktiviti.
Encik Ng berkata NTUC sedang mempertingkatkan usaha untuk melihat bagaimana mereka boleh memanfaatkan CTC untuk memperkukuh perniagaan dan golongan karyawan.
Ini khususnya bagi kerjaya yang akan terjejas oleh AI, seperti akauntan dan juga “mungkin doktor pada masa depan”, tambahnya.
“Kami mahu AI menjadi pendaya maju yang dapat memberikan kita peluang baru.
“Bagi membolehkan ekonomi Singapura berkembang maju ke tahap yang lebih tinggi, kami mahu membantu semua pekerja kita, termasuk karyawan, pekerja kolar putih, dalam perjalanan ini,” kata beliau.

