NTUC gesa pemerintah, majikan perkasa sokongan bagi pekerja berusia
NTUC gesa pemerintah, majikan perkasa sokongan bagi pekerja berusia
Tinjauan dapati lebih ramai berhasrat terus bekerja selepas usia 70 tahun, mahukan fleksibiliti
Menurut dapatan tinjauan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), lebih ramai pekerja berusia berhasrat mahu terus bekerja selepas mencapai usia 70 tahun, dan mahukan fleksibiliti dalam aturan kerja mereka.
Oleh itu, kesatuan pekerja itu menggesa majikan dan pemerintah agar melakukan lebih banyak usaha untuk menyokong pekerja berusia melalui reka bentuk semula pekerjaan, peningkatan kemahiran dan amalan kerja yang inklusif, kata Timbalan Setiausaha Agung NTUC, Encik Desmond Tan.
Satu tinjauan yang dilaksanakan NTUC antara September dengan Oktober 2025 mendapati lebih 46 peratus daripada 591 responden daripada pelbagai peringkat umur menyatakan mereka ingin terus bekerja selepas umur pekerjaan semula – iaitu 70 tahun.
Sementara itu, 48 peratus responden memilih pekerjaan sepenuh masa, manakala 46 peratus memilih pekerjaan separuh masa.
Maka, Encik Tan, yang juga Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), berkata tiga pihak – pemerintah, NTUC dan majikan – mesti bekerjasama rapat untuk memastikan sokongan sewajarnya dapat diberikan kepada kumpulan berusia itu.
Ini termasuk reka bentuk semula pekerjaan dan penggunaan teknologi bagi menjadikan tempat kerja lebih inklusif serta lebih sesuai bagi pekerja berusia.
Bercakap kepada wartawan selepas lawatannya ke Hospital Tan Tock Seng (TTSH) pada 28 Januari, Encik Tan berkata:
“Melalui usaha ini, saya percaya bahawa menyokong warga emas bukan sahaja dapat meningkatkan kadar penyertaan tenaga kerja, bahkan memastikan kita mempunyai tenaga kerja yang lebih berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dengan kecerdasan buatan (AI) serta tuntutan pekerjaan masa hadapan.”
Dapatan Encik Tan dan NTUC itu bertepatan dengan data Kementerian Tenaga Manusia (MOM) yang dikeluarkan pada November 2025.
Menurut data itu, kadar pekerjaan bagi pekerja berusia 65 tahun dan ke atas meningkat daripada 24.7 peratus pada 2015 kepada 31.5 peratus pada 2025.
Ini mencerminkan keinginan tinggi dalam kalangan pekerja berusia untuk kekal aktif bekerja, serta peningkatan peluang bagi mereka untuk terus bekerja.
Encik Tan melawat TTSH untuk mengetahui usaha yang dilakukan hospital itu dalam menyesuaikan alat dan aliran pekerjaan bagi menyokong pekerja lebih berusia, memandangkan sekitar 1,000 daripada lebih 10,000 kakitangan TTSH berusia 55 tahun dan ke atas.
Melalui kerjasama dengan Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan serta memanfaatkan Geran Jawatankuasa Latihan Syarikat Kluster (CTC) NTUC, TTSH telah melaksanakan beberapa projek transformasi.
Antaranya, Sistem Pemantauan Pesakit Ramalan Pintar PreSAGE (PreSAGE) yang menggunakan kamera haba yang dipasang pada dinding serta analitik video.
Ini sekali gus mengatasi ciri penyediaan yang rumit, di samping memberikan jururawat tempoh tindak balas yang lebih cepat sehingga 15 saat, serta mengurangkan jumlah amaran palsu berbanding alat tradisional seperti tikar penderia, dengan ketara.
Bagi jururawat berdaftar kanan di TTSH, Cik Lilian Teng Ngwen Hua, 69 tahun, teknologi telah memberi kesan terhadap keupayaannya untuk terus kekal dalam kerjayanya.
Sebelum hospital itu melaksanakan PreSAGE pada 2022, Cik Teng berkata bahagian belakangnya akan sakit ketika memasang penggera pengesan pesakit jatuh secara manual bagi setiap pesakit yang berisiko.
“Dengan teknologi menjadikan kerja lebih ringan dari sudut fizikal dan bersifat ramalan, saya dapat terus bekerja dengan berkesan, selagi mana saya kekal sihat dari sudut fizikal dan mental,” kata Cik Teng yang telah berkhidmat di TTSH selama 19 tahun.
Kini, dengan bantuan kedua-dua kesatuan dan geran CTC, TTSH akan memperluaskan pelaksanaan PreSAGE hampir empat kali ganda, menambah 311 katil yang sedia ada kepada lebih 1,180 katil menjelang akhir 2026.
Selain mempertingkatkan PreSAGE, TTSH telah memanfaatkan geran CTC untuk satu lagi projek transformasi.
Ia adalah sistem penjadualan tenaga kerja yang telah mengurangkan masa yang diperlukan oleh pengurus jururawat untuk menyiapkan jadual tugasan daripada 90 minit kepada 15 minit.
Sistem AI ini mampu mengurus sembilan jenis syif berbeza, melakukan pengkhususan mikro dan peranan hibrid, membolehkan jadual jururawat yang lebih fleksibel dan boleh diramal, sambil menyeimbangi keperluan kerja, kesihatan dan keluarga.

