Penduduk bekerja sepenuh masa dengan gaji 20 peratus terendah (P20) dan pertengahan (P50) telah menyaksikan pendapatan mereka tumbuh lebih tinggi pada 2025, namun pada kadar lebih sederhana berbanding tahun sebelumnya, menurut data yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 28 November.
Pendapatan bulanan nominal di P20 tumbuh sebanyak 4.6 peratus daripada $3,026 pada 2024 kepada $3,164 pada 2025.
Menurut Laporan Awal Tenaga Pekerja 2025, kenaikan itu lebih perlahan berbanding pertumbuhan 7.1 peratus yang dicatatkan dari 2023 hingga 2024, namun adalah sama seperti yang dilihat setiap tahun sepanjang tempoh 2015 hingga 2025.
Pendapatan nominal merujuk kepada pendapatan bulanan kasar daripada pekerjaan yang dilakukan penduduk yang bekerja sepenuh masa, termasuk sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) oleh majikan atau syarikat platform.
Dengan Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) dan pembayaran yang berkaitan, pendapatan nominal di P20 tumbuh 6.1 peratus dari 2024 hingga 2025.
Sementara itu, pendapatan nominal di P50 pula meningkat $5,500 pada 2024 kepada $5,775 pada 2025 – kenaikan 5 peratus, tetapi lebih rendah berbanding pertumbuhan 5.8 peratus dari 2023 hingga 2024.
Selepas diselaraskan dengan inflasi, pendapatan sebenar meningkat 3.8 peratus dari 2024 hingga 2025 bagi P20, dan 4.3 peratus bagi P50 dalam tempoh yang sama.
Ini lebih tinggi berbanding pertumbuhan yang dilihat sepanjang sedekad lalu dari 2015 hingga 2025 – 2.9 peratus setiap tahun bagi P20, dan 2.1 peratus setiap tahun bagi P50.
MOM dalam kenyataannya berkata Model Gaji Progresif (PWM) yang diperluas telah terus membantu mempertingkat golongan pekerja berpendapatan rendah, sekali gus merapatkan jurang pendapatan.
“Nisbah pendapatan P20 kepada P50 meningkat kepada 0.55 pada 2025, daripada 0.52 pada 2020 dan 0.51 pada 2015.
“Produktiviti dan peningkatan kemahiran yang berterusan akan membantu mengekalkan pertumbuhan pendapatan yang inklusif,” kata kementerian itu.
Dalam pada itu, laporan tersebut menunjukkan bahawa kadar penduduk yang bertukar pekerjaan telah merosot daripada 7.6 peratus pada 2024 kepada 6.2 peratus pada 2025.
Ini terutamanya dilihat dalam kalangan pekerja muda berusia 25 hingga 29 tahun, yang sebahagiannya mencerminkan kegiatan pencarian kerja yang semakin berkurangan.
Namun begitu, mereka yang bertukar kerja meraih hasil yang positif, dengan enam dalam 10 penduduk bekerja sepenuh masa berusia 25 hingga 64 tahun yang bertukar kerja dalam setahun yang lalu menyaksikan pertumbuhan pendapatan sebenar sekurang-kurangnya 5 peratus.
MOM berkata langkah melabur dalam rakyat Singapura kekal satu keutamaan pemerintah, dan mereka menggalak majikan dan pekerja memanfaatkan sepenuhnya program yang sedia ada untuk mempertingkat daya saing.
Antara program itu termasuk Sokongan bagi Rekaan Semula Pekerjaan di bawah Geran Meningkatkan Daya Penghasilan (PSG), dan Program Penukaran Kerjaya (CCP) di bawah Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) yang menyediakan sokongan gaji kepada pekerja yang menjalani latihan.
“Kami menggalak pekerja menjaga kesihatan kerjaya mereka dengan terus mempertingkat kemahiran, dan bersikap terbuka kepada peluang baru.
“Kami juga menggalak majikan agar terus mempertingkat amalan di tempat kerja untuk menarik dan mengekalkan kumpulan bakat lebih luas, termasuk warga emas,” kata MOM.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg