Pekerja migran boleh mendapatkan rawatan di lebih banyak klinik berdekatan dormitori mereka apabila beberapa peningkatan dilaksanakan pada pelan penjagaan utama (PCP) golongan tersebut mulai 1 April 2027.
Ini bermakna, sebahagian besar pekerja migran boleh mengunjungi klinik yang terletak tidak melebihi dua kilometer dari tempat tinggal mereka, ujar Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, semasa mengumumkan perkara tersebut pada 14 Disember.
Berucap di acara Hari Pekerja Migran Antarabangsa yang diadakan di Downtown East, D’Marquee, Dr Tan berkata:
“Ini bermakna masa perjalanan yang lebih singkat, akses lebih cepat untuk mendapatkan bantuan apabila mereka tidak sihat, dan kurang gangguan kepada rutin kerja dan rehat mereka.”
Antara lain, kos bayaran bersama bagi setiap konsultasi doktor di klinik dan melalui khidmat teleperubatan akan distandardkan pada harga $5 untuk pekerja migran.
Ini meningkat sedikit berbanding harga $2 bagi konsultasi teleperubatan buat masa ini, untuk mengambil kira peningkatan kos penyediaan khidmat tersebut. Harga konsultasi di klinik kekal sama pada $5.
Sejak 2022, majikan perlu mendapatkan PCP untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang boleh dimampui untuk pekerja migran, termasuk konsultasi doktor secara fizikal di klinik dan melalui teleperubatan bagi penyakit akut atau kronik.
Pada masa ini, majikan membayar antara $108 dengan $138 bagi setiap pekerja, setiap tahun.
Pekerja didaftarkan dengan penyedia khidmat perubatan, atau dikenali sebagai pengendali utama (AO), dalam zon kediaman mereka, supaya mereka boleh pergi ke klinik yang lebih dekat dengan tempat tinggal mereka.
Peningkatan kepada PCP itu akan dilaksanakan apabila AO baru bagi klinik PCP dilantik mulai April 2027.
MOM akan melancarkan permintaan bagi cadangan (RFP) pada suku pertama 2026 untuk mengundang penyedia khidmat perubatan menghantar cadangan bagi PCP dipertingkat itu.
Kementerian itu dijangka menetapkan supaya terdapat 15 klinik yang beroperasi dalam RFP tersebut, tambahan lima klinik.
Namun, bilangan klinik keseluruhan yang sedia ada di bawah PCP dipertingkat itu akan bergantung pada cadangan yang diberikan AO, dengan mengambil kira kos operasi dan aksesibiliti klinik PCP untuk pekerja migran.
Di bawah model semasa, terdapat 10 klinik PCP yang diuruskan empat AO yang dilantik – Fullerton Healthcare Group Pte Ltd; SATA CommHealth; StarMed Specialist Centre Pte Ltd; dan St Andrew’s Mission Hospital.
Lokasi klinik tersebut terbahagi kepada enam zon di serata negara.
Namun, dengan peningkatan yang akan dilaksanakan, enam zon tersebut akan digabungkan menjadi empat zon lebih besar, kata Dr Tan.
Perubahan ini membolehkan AO memberi perkhidmatan kepada kumpulan pekerja yang lebih besar, mencapai penjimatan sumber yang lebih baik dan memastikan kadar bayaran tahunan bagi pelan itu berpatutan untuk majikan.
Dr Tan berkata perubahan dalam bilangan zon itu tidak akan menjejas aksesibiliti pekerja untuk mendapatkan penjagaan perubatan.
“Bahkan, ia akan memberi manfaat kepada pekerja, majikan dan AO kita.
“Kami akan meningkatkan jumlah klinik yang terletak lebih dekat dengan tempat tinggal pekerja kita, sementara memastikan kos mudah diurus bagi majikan kita,” kata beliau.
Selain itu, MOM akan membangunkan sebuah laman ‘PCP Enrolment Portal’ baru untuk memudahkan proses bagi majikan mendaftarkan pekerja mereka ke dalam pelan itu.
Kementerian itu juga akan membolehkan majikan pemegang Pas S daripada sektor pembinaan, limbungan kapal dan proses (CMP) yang tidak menetap di domitori untuk memilih tidak menyertai PCP.
Ini sekiranya mereka dilindungi pelan penjagaan kesihatan korporat yang mempunyai perlindungan yang setanding.
Langkah ini akan berkuat kuasa mulai awal 2026, dengan butiran lanjut akan diberikan sebelum pelaksanaan, kata MOM.
Semasa acara itu, Dr Tan turut mengumumkan beberapa perkembangan bagi sokongan sosial untuk pekerja migran.
Ini termasuk pelantikan konsortium diterajui Hope Initiative Alliance untuk memulakan operasi di pusat rekreasi Kaki Bukit, dan Persatuan Dormitori Singapura di pusat rekreasi Woodlands, dalam beberapa bulan mendatang.
Dengan ini, pekerja migran boleh menanti-nantikan kemudahan diperbaharui dan lebih banyak inisiatif, daripada sukan hingga ke hiburan dan persembahan budaya serta program latihan seperti kelas celik digital, kata beliau.
Sementara itu, dua kumpulan sukarelawan pekerja migran – program sukarelawan ‘Friends of ACE’ MOM dan Rangkaian Duta Pusat Pekerja Migran (MWC) – akan digabungkan di bawah satu program pada 2026.
Di bawah program baru itu, sekumpulan ‘Duta Bintang’ akan dikenal pasti dengan peranan khusus untuk menjadi model peranan dalam masyarakat mereka.
“Ini akan membolehkan MOM dan MWC mengendalikan dan mengerahkan sukarelawan pekerja migran kita dengan lebih berkesan, dan untuk memperluaskan pendekatan kita kepada lebih ramai pekerja merentas masyarakat,” kata Dr Tan.
Sebanyak 97,000 pekerja migran dan pembantu rumah asing menyertai sambutan Hari Migran Antarabangsa yang dianjurkan MOM dan 200 rakan kongsi di serata negara pada 14 Disember.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg