Usaha Singapura mengukuhkan negara ini sebagai kuasa kuantum menerima penambahan pelaburan hampir $300 juta dalam tempoh lima tahun akan datang, apabila perlumbaan global untuk menggunakan komputer generasi akan datang semakin hangat.
Jumlah peruntukan itu akan dibelanjakan bagi melatih 100 pakar tempatan, daripada peringkat PhD dan sarjana, serta menawarkan geran kepada syarikat untuk membina komputer dan peralatan kuantum secara tempatan.
Tambahan $295 juta menokok bajet penyelidikan dan pembangunan $400 juta yang telah dibelanjakan pihak berkuasa ke dalam teknologi kuantum sejak 2002, apabila Yayasan Penyelidikan Kebangsaan membuat pelaburan pertamanya.
Pelaburan dan rancangan untuk sektor kuantum itu diumumkan pada 30 Mei oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, yang berucap pada Sidang Kemuncak Asia Tech x yang diadakan di Hotel Capella Singapore, Sentosa.
Persidangan dari 29 hingga 31 Mei itu menghimpunkan pemain industri teknologi global, untuk perbincangan dan perbahasan mengenai pendigitalan.
Komputer kuantum berupaya menggunakan sifat cahaya atau atom menghuraikan masalah yang terlalu kompleks untuk komputer tradisional, dan dijangka membawa kepada penemuan baru dalam bidang perubatan, bahan dan kecerdasan buatan (AI) yang lebih baik.
Mengumumkan Strategi Kuantum Kebangsaan, Encik Heng berkata sama seperti pendigitalan semasa pandemik Covid-19 dan AI hari ini, teknologi kuantum menjanjikan penghasilan gelombang kemajuan teknologi seterusnya.
Teknologi itu dijangka memberi keupayaan pemprosesan yang jauh lebih tinggi, yang akan memajukan banyak bidang, seperti penemuan dadah, keselamatan siber yang dipertingkatkan dan model AI yang lebih maju, kata Encik Heng.
Sektor kuantum dijangka mencipta nilai ekonomi antara $600 bilion dengan $1.1 trilion secara global dalam tempoh 30 tahun akan datang, menurut anggaran daripada Boston Consulting Group.
Gergasi teknologi seperti IBM, Google dan lain-lain dari China telah membuat kemajuan dalam perlumbaan ke komputer kuantum, tetapi masih belum mengeluarkannya ke pasaran.
“Namun, masih terdapat banyak cabaran untuk merealisasikan komputer kuantum,” kata Encik Heng, sambil menambah bahawa pembangun sedang mencari cara terbaik menyejukkan sistem dan meningkatkan ketepatan keputusan komputer.
“Penyelidik di seluruh dunia juga mengejar pendekatan berbeza, untuk mencapai skala dalam pengkomputeran kuantum dan berdaya maju secara komersial,” tambahnya.
Sebagai sebahagian daripada strategi kuantum Singapura, $295 juta yang diperuntukkan daripada rancangan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan 2025 akan mengutamakan empat bidang: kajian saintifik, bakat, perusahaan dan keupayaan kejuruteraan, kata Pejabat Kuantum Kebangsaan dalam satu kenyataan.
Pejabat itu akan mengetuai usaha nasional, mengawasi ekosistem pengkomputeran kuantum, daripada usaha niaga hingga ke akademik.
Antara keutamaannya ialah membina pemproses kuantum Singapura sendiri, bagi memastikan ia kekal berdaya saing di peringkat global.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg