Singapura dan lima negara Asean lain kini menerima sebahagian besar aliran pelaburan, sedang banyak syarikat kini mempelbagai rantaian bekalan dan mengamalkan strategi ‘China plus one’, menurut beberapa pakar ekonomi.
Aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke ekonomi Asean, iaitu, Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand, Singapura dan Vietnam kian rancak, walaupun terdapat beberapa perbezaan dari segi pelaburan dalam setiap sektor dan negara, tambah mereka.
Aliran masuk FDI ke rantau ini meningkat kepada AS$236 bilion ($318 bilion) pada 2023, berbanding AS$190 bilion setahun secara purata dari 2020 hingga 2022, lapor The Straits Times (ST).
Negara penyumbang utama bagi pelaburan tersebut ialah Amerika Syarikat, Jepun, Eropah, China dan Hong Kong, yang tertarik dengan langkah pembaharuan domestik yang kukuh di rantau ini, dan sekali gus memperbaiki asas ekonomi makro Asean.
Banyak syarikat kini mempelbagai operasi mereka ke negara selain China, menyusuli pandemik Covid-19 dan disebabkan ketegangan geopolitik yang meningkat antara Beijing dengan Washington.
Strategi ‘China plus one’ yang diamalkan oleh banyak syarikat di seluruh dunia bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada pasaran China, dan sebaliknya menarik arus pelaburan ke Asean.
Menurut Dewan Perniagaan Amerika di Shanghai, sebanyak 40 peratus daripada syarikat yang ditinjau pada 2023 telah mengalihkan pelaburan atau merancang mengalihkan pelaburan yang pada mulanya disasarkan kepada China, ke negara lain.
Bagi syarikat tersebut, Asia Tenggara menjadi destinasi pelaburan paling diminati, dengan syarikat perkakasan teknologi, perisian dan perkhidmatan berminat melabur di Singapura.
Amerika adalah destinasi pelaburan kedua paling disukai, diikuti Mexico, menurut tinjauan itu.
Dalam laporan terbaru OCBC Bank mengenai Asean yang ditulis oleh pakar ekonominya, Cik Lavanya Venkateswaran, Encik Ahmad Enver dan Encik Jonathan Ng, bank tersebut menyatakan Singapura menerima sebahagian besar wang pelaburan tersebut, diikuti Indonesia, Vietnam, Filipina, Malaysia dan Thailand.
Kebanyakan pelaburan tersebut melibatkan sektor perkilangan, kewangan dan insurans, pengangkutan, pembinaan dan jualan borong.
Aliran masuk FDI dari China ke rantau ini, yang menjunam semasa pandemik pada 2020, telah pulih.
Bagaimanapun, jenis pelaburannya di Asean telah beralih daripada prasarana kepada industri elektronik, sumber dan makanan.
Sektor perkilangan, niaga jualan borong dan runcit, kewangan dan insurans, hartanah dan khidmat profesional turut mencatat aliran masuk FDI lebih tinggi dari China.
China kini menjadi antara negara penyumbang utama kepada aliran masuk FDI di Indonesia, mengatasi Amerika dan Jepun.
Indonesia menikmati hampir satu pertiga daripada pelaburan China di Asean pada 2022. Kebanyakan pelaburan tersebut dibuat dalam sektor perkilangan, menurut pakar ekonomi OCBC.
Namun, Filipina tidak meraih banyak manfaat daripada pelaburan China. Ini tidak menghairankan, memandangkan ketegangan geopolitik antara dua negara itu menjadi bertambah buruk sejak beberapa tahun lalu, kata mereka.
Singapura terus menjadi penerima terbesar FDI dari China, mencerminkan status negara ini sebagai hab kewangan dengan sinergi kukuh dalam sektor perkilangan, hartanah dan perkhidmatan.
Jumlah FDI dari China dan Hong Kong di Singapura terus meningkat sejak beberapa tahun lalu, daripada hampir AS$52 bilion pada 2015 kepada AS$113.2 bilion pada akhir 2022.
Ini termasuk pelaburan daripada syarikat teknologi China seperti Alibaba, Tencent dan ByteDance yang menubuhkan pejabat serantau di Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg