Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelaburan emas di S’pura naik 37% pada suku kedua

Namun permintaan bagi barang kemas emas berkurangan
Aug 1, 2025 | 2:33 PM
Singapura, pelaburan, emas, WGC
Majlis Emas Sedunia (WGC) menyatakan bahawa ketegangan geopolitik berserta ketidaktentuan pasaran dan makroekonomi akan terus merangsang permintaan emas sebagai aset pelaburan menarik.  - Foto ZAOBAO

Keinginan terhadap emas dalam kalangan pelabur Singapura terus kukuh pada suku kedua 2025 dengan pembelian sebanyak 2.2 tan jongkong dan syiling emas.

Demikian menurut laporan terkini Majlis Emas Sedunia (WGC) yang dikeluarkan pada 31 Julai.

Bagaimanapun, permintaan bagi barang kemas di Singapura turun 8 peratus kepada 1.5 tan, dengan harga emas yang tinggi mengekang perbelanjaan dan pembelian barang kemas di seluruh dunia merosot ke paras rendah seperti semasa era pandemik.

Pelaburan emas di Singapura melonjak 37 peratus kepada 2.2 tan pada suku kedua 2025 berbanding suku kedua 2024, namun ia masih lebih rendah berbanding 2.5 tan emas yang dibeli pada suku pertama 2025.

Di Asia Tenggara, permintaan terhadap emas yang dibeli sebagai aset pelaburan pada suku kedua 2025 terus berkembang di Indonesia, Malaysia dan Thailand, dengan pertumbuhan dua angka berbanding tempoh sama pada 2024.

Namun, pembelian emas di Vietnam merosot 20 peratus pada suku kedua 2025 berbanding suku kedua 2024.

Di peringkat sejagat, jumlah pelaburan jongkong dan syiling emas naik 11 peratus pada suku kedua 2025 berbanding suku kedua 2024, dengan tambahan 306.8 tan emas.

Pelabur China mendahului dengan pembelian 115 tan emas, manakala pelabur India terus menambah bahagian mereka dengan membeli 46 tan emas pada suku kedua.

Di Eropah, pelaburan bersih jongkong dan syiling emas, iaitu jumlah emas yang dibeli selepas ditolak penjualan emas, naik lebih seganda kepada 28 tan.

Pembelian jongkong dan syiling emas di Amerika Syarikat pula merosot separuh kepada 9 tan, lapor The Business Times (ST).

Ketua Asia-Pasifik (tidak termasuk China) dan Ketua Sejagat bagi Bank Pusat di Majlis Emas Sedunia, Encik Fan Shaokai, berkata bahawa ketegangan geopolitik berserta ketidaktentuan pasaran dan makroekonomi akan terus merangsang permintaan emas sebagai aset pelaburan menarik.

Sementara itu, pelaburan dalam Dana Dagangan Bursa (ETF) emas terus memacu jumlah permintaan, dengan pembelian ETF emas oleh pelabur meningkat kepada 170.5 tan pada suku kedua, berbanding suku kedua 2024, apabila lebih ramai pelabur menjual pegangan mereka.

Menurut WGC, permintaan ETF emas di peringkat sejagat mencapai 397 tan, iaitu jumlah tertinggi bagi enam bulan pertama 2025 sejak 2020.

“Walaupun pembelian emas oleh bank pusat adalah perlahan untuk dua suku berturut-turut, permintaan terus kukuh, menunjukkan daya tarikan berterusan emas sebagai penyimpan nilai dan (aset) yang mempelbagaikan portfolio (pelaburan),” kata Encik Fan, yang menjangka bank pusat akan terus menambah rizab emas mereka pada jangka panjang.

Laporan berkaitan
Harga emas tertinggi semingguJul 26, 2024 | 10:54 AM
Kilauan emas... dalam bahasaDec 6, 2023 | 2:40 PM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg