Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelaburan halal boleh jana pendapatan setanding pelaburan lain

Banyak pilihan pelaburan halal yang ada di pasaran Asia termasuk S’pura, M’sia, Indonesia dan Thailand
Sep 24, 2024 | 3:08 PM
Festival Pelaburan Rizq diadakan di Institut Pekerjaan dan Daya Kerja Devan Nair dengan bilangan yang hadir meningkat dua kali ganda berbanding 2023.
Festival Pelaburan Rizq diadakan di Institut Pekerjaan dan Daya Kerja Devan Nair dengan bilangan yang hadir meningkat dua kali ganda berbanding 2023. - Foto BH oleh KHAIRUL AKMAL ALI

Mereka yang ingin melabur dalam pelaburan halal kini mempunyai banyak pilihan di pasaran Asia, bukan sahaja di Singapura, malah di Malaysia, Indonesia dan Thailand, menurut beberapa pengamat industri kewangan.

Para pakar itu juga mengatakan bahawa pelaburan yang berlandaskan syariah turut memberi pulangan yang baik serta tidak mendatangkan kerugian.

“Jika ada orang mengatakan bahawa kita tidak mempunyai pilihan banyak untuk pelaburan halal, ia tidak benar. Anda hanya perlu melihat pasaran tempatan kita, kita sudah mempunyai 100 lebih pilihan,” kata pengarah bersekutu CGS International, Syed Muhammad Alsagoff.

Beliau merupakan antara anggota panel perbincangan yang sebahagian daripada acara tahunan Festival Pelaburan Rizq (RIF), yang diadakan di Institut Pekerjaan dan Daya Kerja Devan Nair pada 21 September.

Panelis lain adalah Pengarah (Ekonomi dan Pemasaran) Financial Alliance, Encik Sani Hamid; Pengurus Pelaburan Kanan Sidra Capital, Encik Syazwan Sultan; dan Penasihat Kewangan Islam, Ascent Islamic, Ustaz Nasiruddin Hussen, selaku moderator.

Mereka bukan sahaja berkongsi tentang trend, peluang dan tinjauan dalam pelaburan halal kini, malah mereka juga berkongsi tentang pengalaman dan pemerhatian mereka dalam pelaburan.

Syed Muhammad juga berkongsi langkah-langkah untuk mula melabur, dengan salah satu caranya adalah untuk kekal mendidik diri sendiri sepanjang proses pelaburan.

“Kita harus hayati proses pembelajaran semasa melabur, setiap pelabur bermula dari titik yang berbeza,” jelas Syed Muhammad.

Beliau juga menekankan bahawa adalah penting untuk mula melabur secepat mungkin, sebaik sahaja seseorang itu sudah bersedia.

“Dengan usaha hari ini, ia boleh membantu mengurangkan ketidaktentuan individu dan membina keyakinan mereka untuk masa depan,” jelas beliau.

Encik Sani juga berkongsi tentang pelbagai dana pelaburan serta menunjukkan bukti bahawa pelaburan halal sebenarnya hampir-hampir sama pendapatannya jika dibandingkan dengan pelaburan yang tidak dikira halal.

“Jangan punyai tanggapan bahawa jika ia sesuatu yang patuh syariah, ia tidak akan menjana pendapatan yang baik,” kongsi Encik Sani.

“Pada akhirnya, saya ingin para hadirin sedar bahawa mereka tidak melabur dalam sesuatu yang dikirakan tidak setaraf pelaburan lain,” tambah beliau.

Encik Syazwan Sultan pula berkongsi tentang pelaburan alternatif seperti kredit swasta dan pelaburan perladangan.

Beliau jelaskan bahawa pelaburan alternatif bukan untuk setiap pelabur dan individu tersebut harus membuat penilaian sendiri untuk menyemak jika mereka sesuai untuk melabur dalam aset alternatif.

Selain memberi keterangan ringkas mengenai pilihan pelaburan halal, Pengarah Urusan RizqX, Encik Ridhwaan Radzi, juga melancarkan aplikasi web RizqX semasa acara itu.

Aplikasi itu bertujuan menghubungkan 240 juta penduduk Islam di Asia Tenggara kepada pelbagai pelaburan halal yang kurang disebarkan.

Menurut Encik Ridhwaan, aplikasi tersebut mempunyai pelbagai alat dan wadah untuk membantu para pelabur mempertingkat kebolehan melabur mereka.

“Kami sudah pun menyediakan sekitar 20 semakan bebas demi membantu pelabur membuat keputusan yang diteliti, dan kami akan sediakan lebih semakan secara mingguan,” kongsi Encik Ridhwaan.

Melalui aplikasi RizqX, pengguna juga boleh menilai tahap kewangan mereka, dengan pemeriksaan kesihatan kewangan dan sertai forum bersama para pelabur yang lain.

“Dengan ini, pelabur bukan sahaja belajar daripada kami, malah mereka akan pelajari daripada pengalaman pelabur seperti mereka juga,” jelas Encik Ridhwaan.

Topik mengenai pelaburan dari sudut keagamaan juga dibincangkan Penasihat Syariah, Ustaz Kamal Mokhtar dan Ketua Pengurusan Kekayaan Islam, Maybank Singapura, Encik Abdul Halim Abdul Rashid, dengan Penerbit Podcast No Tapis Berita Harian (BH), Cik Natasha Mustafa, bertindak selaku moderator.

Isu pelaburan bagi golongan wanita turut dibincangkan.

Panel ini merangkumi Pengasas Hayaa’ Network, Ustazah Liyana Musfirah; Ejen Hartanah ERA, Cik Nona Kirana; Pengasas Lepak Conversations, Cik Yulianna Frederika; dan Penolong Editor Berita BH, Cik Atiyyah Mohd Said; dengan Penerbit kanan Berita Mediacorp, Cik Emillia Amin, selaku moderator.

“Saya sangat ghairah mendengar panel semua wanita yang diadakan yang menyentuh tentang pelaburan dan keluarga kerana ia merupakan topik yang dekat bagi saya,” kongsi jurutera mekanikal, Cik Hairawanie Hairudinsah.

“Saya pernah cuba buat kajian sendiri tetapi acara-acara seperti ini memberi saya ketenangan dan keyakinan selepas mendengar pakar-pakar bidang ini yang memberi pandangan terutama sekali dalam konteks seorang pelabur yang baru bermula,” kongsi beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg