Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelanggan CIMB dapati baki sifar, negatif dalam akaun; bank kata sistem selamat

Jul 1, 2024 | 5:39 PM
Seorang penolong logistik, Encik Irman Suratnor, mendapati dua akaun simpanannya mempunyai baki sifar apabila beliau menyemak aplikasi bank itu sekitar 2.30 petang 29 Jun.
Seorang penolong logistik, Encik Irman Suratnor, mendapati dua akaun simpanannya mempunyai baki sifar apabila beliau menyemak aplikasi bank itu sekitar 2.30 petang 29 Jun. - Foto IRMAN SURATNOR

Bank CIMB Singapore menyatakan bahawa sistem perbankan utama dan akaun pelanggannya tidak terjejas, selepas sebilangan pelanggan melaporkan mengalami baki sifar atau negatif dalam akaun mereka.

Dalam jawapannya kepada pertanyaan media pada 29 Jun, bank tersebut menyatakan bahawa masalah tersebut disebabkan “isu teknikal”, tanpa memberi perinciannya.

Menurut bank itu, ia berjaya menjalankan kededua urus niaga wang yang masuk dan keluar, tetapi catatan transaksi tertentu tidak dipaparkan dalam akaun bank bagi “sekumpulan kecil pelanggan yang terjejas”.

Bagi semua pelanggan yang terjejas, “catatan (transaksi) dana akan dipaparkan ke dalam akaun mereka dalam masa 24 jam akan datang,” tambahnya.

Bank tersebut turut memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi pelanggan yang terjejas.

Awal dari itu, dalam satu catatan Facebook pada 1.45 petang, CIMB Singapore menyatakan bahawa ia maklum mengenai insiden gangguan itu, dan sedang berusaha menyelesaikan masalah tersebut.

“Puncanya telah dikenal pasti... Kami memberi jaminan kepada semua pelanggan kami bahawa akaun mereka selamat. Kami berterima kasih kepada anda kerana memahami,” katanya.

Seorang penolong logistik, Encik Irman Suratnor, memberitahu The Straits Times (ST) bahawa beliau mendapati dua akaun simpanannya mempunyai baki sifar apabila beliau menyemak aplikasi bank itu sekitar 12.30 tengah hari.

Akaun ketiganya malah menunjukkan baki negatif $29.

Lelaki berusia 42 tahun itu berkata beliau mempunyai gabungan simpanan sekitar $5,000 dalam tiga akaun itu.

“Saya terkejut melihat baki akaun bank saya ialah $0. Saya fikir (sistem) bank ini telah diceroboh,” katanya.

Encik Irman menghubungi bank itu untuk mendapat bantuan, namun tiga akaunnya masih menunjukkan baki sifar atau negatif pada 7 malam 29 Jun.

“Saya rasa tertekan sepanjang hari. Saya mempunyai beberapa bil dan hutang yang perlu dibayar hari ini. Bagaimana saya hendak kirim wang?” luahnya.

Beberapa pelanggan lain turut berkongsi pengalaman serupa melihat baki sifar, malah negatif dalam akaun, melalui halaman Facebook CIMB Singapore.

Dalam satu kemas kini di Facebook pada 30 Jun, CIMB Singapore menyatakan bahawa catatan transaksi bagi kebanyakan pelanggan yang terjejas sudah dipaparkan dalam akaun bank masing-masing.

Ia sedang berusaha menghuraikan masalah yang dihadapi sebilangan kecil pelanggan yang terjejas, dengan akaun yang memerlukan semakan tambahan.

“Kami ingin memberi jaminan bahawa sistem perbankan utama kami kekal selamat, dan saluran kami masih berkesan,” kata bank itu.

Ia akan menyediakan kemas kini mengenai gangguan tersebut di laman web dan halaman Facebook CIMB, katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg