Pemindahan dana antara Singapura dengan Malaysia kini boleh dilakukan menerusi aplikasi PayNow dan DuitNow, hasil pelancaran sistem bayaran masa nyata antara kededua pihak.
Menyatakan demikian dalam kenyataan bersama antara Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dengan Bank Negara Malaysia (BNM) pada Jumaat, pengguna kini dapat memindahkan dana secara segera antara kedua negara dengan hanya menggunakan nombor telefon bimbit atau Alamat Pembayaran Alamat Maya (VPA) penerima.
Pengarah Urusan MAS, Encik Ravi Menon dan Gabenor BNM Encik Abdul Rasheed Ghaffour, merasmikan pelancaran sistem tersebut di Festival FinTech Singapura pada Jumaat.
Susulan kejayaan pelancaran pautan pembayaran QR pada Mac, yang membolehkan pembayaran QR rentas sempadan kepada pedagang, pautan PayNow-DuitNow ini selanjutnya menawarkan pemindahan dana dan kiriman wang dari pengguna-ke-pengguna (P2P) yang cepat, selamat dan kos efektif.
Pautan sistem ini merupakan yang pertama melibatkan institusi kewangan bukan bank dari kededua negara, menyediakan akses kepada kumpulan pengguna yang lebih luas.
Pengguna daripada institusi ini boleh menghantar dan menerima dana sehingga S$1,000 atau RM 3,000 sehari menggunakan nombor telefon bimbit penerima atau VPA.
Perkhidmatan ini akan tersedia bagi pelanggan Liquid Group, Maybank Singapura, OCBC dan UOB di Singapura, di bawah fasa berfasa, di mana institusi tersebut akan meningkatkan bilangan kumpulan pengguna yang layak mulai Jumaat hingga akhir Januari 2024.
Ini sebagai menyokong kebiasaan pelanggan dengan khidmat itu.
Bagi pengguna di Malaysia, perkhidmatan ini pada mulanya akan tersedia bagi pengguna CIMB, Maybank dan TNG Digital, dengan institusi kewangan lain dijangka menyertainya selepas itu.
“Hubungan PayNow-DuitNow adalah kemuncak aspirasi bersama oleh Singapura dan Malaysia untuk memudahkan pembayaran rentas sempadan antara kedua-dua negara. Hubungan ini merupakan satu lagi langkah ke arah visi ASEAN untuk ketersambungan pembayaran serantau,” kata Encik Menon.
Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, berkata:
“Bayaran rentas sempadan yang pantas, selamat dan menjimatkan kos boleh tawarkan manfaat besar terutamanya bagi individu dan perniagaan kecil di negara-negara yang mempunyai hubungan ekonomi rapat seperti Malaysia dan Singapura.”
Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Kumpulan Pengurusan Harta dan Perkhidmatan Kewangan Masyarakat Maybank, Encik Alvin Lee, berkata bahawa pihaknya gembira menjadi salah satu institusi kewangan pertama yang membolehkan pelanggan melakukan pemindahan dana segera, selamat dan lebih cekap antara Singapura dengan Malaysia.
“Dengan pelanggan yang semakin celik digital, kami akan terus menyediakan penyelesaian kewangan yang lancar dan selamat untuk memudahkan ketersambungan pembayaran serantau, yang menyokong teras strategik bank yang tertumpu kepada pelanggan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg