Pemerintah akan bekerjasama dengan pengendali bank Skim Persaraan Tambahan (SRS) untuk menambah baik proses pengeluaran dana pemegang akaun daripada akaun mereka.
Respons pemerintah itu dikeluarkan sejurus selepas The Straits Times (ST) menerbitkan surat pembaca di ruangan forum pada 16 Jun oleh seorang pemegang akaun, Encik Francis Yeoh.
Beliau menyifatkan proses semasa sebagai “menyusahkan” kerana memerlukan pemegang akaun hadir secara fizikal ke bank.
SRS adalah skim sukarela yang diwujudkan untuk melengkapi Tabung Simpanan Pekerja (CPF), bagi membolehkan rakyat Singapura menabung lebih banyak untuk persaraan mereka.
Melalui skim itu, pemegang akaun boleh menyumbang sehingga $15,300 ke dalam akaun yang dikendalikan oleh DBS, OCBC dan UOB.
Pada penghujung 2024, satu rangka kerja yang diusulkan untuk memperluas tawaran dan mempermudah proses pengeluaran SRS ditangguhkan selepas ketiga-tiga bank tempatan menarik balik permohonan bersama mereka.
Langkah itu menyebabkan Suruhanjaya Persaingan dan Pelanggan Singapura (CCCS) menghentikan semakan terhadap usul tersebut.
Rangka kerja itu bertujuan meningkatkan akses kepada produk SRS serta menggalakkan persaingan antara para penyedia.
Berbeza dengan pengeluaran, sumbangan ke SRS – yang layak untuk pelepasan cukai – boleh diproses secara digital.
Dalam suratnya, Encik Yeoh berkata proses yang mengehendaki pemegang akaun hadir secara fizikal ke bank untuk mengeluarkan dana daripada akaun SRS mereka memakan masa.
Beliau turut menggambarkan proses tersebut sebagai “amat ketinggalan zaman dan mengecewakan”, berbeza dengan kaedah pengeluaran dana CPF yang boleh dilakukan secara dalam talian.
Encik Yeoh menambah bahawa keadaan itu “tidak sejajar dengan usaha Singapura memacu pendigitalan”.
“Dengan peningkatan umur penduduk, lebih ramai pesara akan memerlukan akses kepada dana SRS mereka.
“Mengehendaki mereka beratur selama berjam-jam untuk mengurus simpanan persaraan mereka adalah tidak cekap, menyusahkan dan sebenarnya, tidak perlu,” tambah beliau.
Beliau juga berharap pihak bank dan pihak berkuasa dapat menyemak semula proses itu.
Sebagai respons kepada surat Encik Yeoh, Pengarah Komunikasi dan Perhubungan Kementerian Kewangan (MOF), Cik Farah Abdul Rahim, pada 20 Jun mengakui bahawa proses pengeluaran semasa “boleh diperbaiki bagi kemudahan yang lebih baik”.
Namun, beliau menjelaskan bahawa proses semasa yang memerlukan pemegang akaun hadir secara fizikal ke bank ketika membuat pengeluaran, bertujuan membolehkan pengendali SRS memberi nasihat yang disesuaikan mengikut keadaan individu tersebut.
“Ini membantu memastikan pemegang akaun sedar tentang kelayakan mereka mendapat pelepasan cukai dan/atau penalti, jika ada, berkaitan dengan jenis urus niaga yang ingin mereka lakukan.”
Penasihat kewangan memberitahu The Business Times (BT), bahawa maklum balas yang diberikan Encik Yeoh adalah wajar dan menekankan keperluan menawarkan pilihan pengeluaran yang lebih fleksibel.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bill Morrisons Capital, Dr Ben Fok, berkata memandangkan CPF dan SRS sama-sama direka untuk menyediakan pendapatan persaraan, proses pengeluarannya seharusnya diselaraskan untuk kemudahan pengguna.
Beliau menambah bahawa penyepaduan kedua-dua skim ke dalam satu sistem digital boleh membantu mengurangkan kekeliruan dan memastikan ia berfungsi dengan lebih lancar.
Langkah itu sekali gus dapat mengurangkan keperluan pemegang akaun hadir secara fizikal dan meningkatkan pengalaman pengguna secara keseluruhan.
“Pendekatan ini dapat membantu pesara mengurus dana persaraan mereka dengan lebih cekap, serta menyediakan cara yang mudah dan lancar untuk mengakses simpanan mereka,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg