Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) telah menghentikan semakan terhadap rangka kerja cadangan Skim Persaraan Tambahan (SRS), susulan penarikan balik permohonan bersama tiga bank tempatan yang mengendali skim itu – DBS, OCBC dan UOB – untuk melaksanakan perubahan kepada skim tersebut.
Diumumkan pada November 2023, rangka kerja yang dicadangkan itu bertujuan menyelaras proses pendaftaran dan pengurusan penyedia produk dan tawaran SRS, seterusnya memperluaskan kepelbagaian produk yang tersedia bagi membantu orang ramai mengembangkan simpanan persaraan mereka.
Jika dilaksanakan, rangka kerja tersebut dijangka meningkatkan persaingan dengan membenarkan lebih banyak institusi kewangan yang berminat menyertai skim itu untuk menawarkan produk SRS, sekali gus memperluaskan pilihan bagi pelabur yang ingin mengembangkan dana persaraan mereka.
Dana SRS adalah simpanan persaraan secara sukarela yang disumbang pekerja setempat di samping skim Tabung Simpanan Pekerja (CPF), lapor The Business Times (BT).
Pekerja boleh memilih untuk membuka akaun dengan mana-mana pengendali (DBS, OCBC dan UOB) dan menggunakan sumbangan mereka ke dalam SRS untuk membeli pelbagai produk pelaburan.
Sumbangan tahunan ke SRS dihadkan pada $15,300 bagi warga dan penduduk tetap Singapura, dan $35,700 bagi warga asing.
Penyumbang SRS layak mendapat pengecualian cukai pendapatan peribadi sehingga $80,000 setiap tahun penilaian, dengan hanya 50 peratus daripada pengeluaran SRS dikenakan cukai semasa persaraan.
Menyusuli penarikan balik permohonan bersama tiga bank tersebut, CCCS mengeluarkan kenyataan pada 26 Disember bahawa operasi semasa SRS akan diteruskan seperti biasa dan pemegang akaun sedia ada tidak akan terjejas.
Dalam satu kenyataan bersama, ketiga-tiga bank tersebut berkata:
“Kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan bahawa kami komited untuk terus menyediakan khidmat SRS bagi menyokong keperluan persaraan mereka.
“Mereka boleh terus melabur dalam pelbagai produk menggunakan dana SRS mereka termasuk bon, Sekuriti Pemerintah Singapura (SGS), simpanan tetap, amanah saham, saham dan insurans premium tunggal.”
Keputusan yang diambil bank itu menamatkan penilaian CCCS, yang turut melibatkan pengumpulan maklum balas daripada orang ramai antara November 2023 dengan awal Januari 2024 – mengenai sama ada pelaksanaan bersama itu mungkin mempengaruhi persaingan pasaran atau pilihan pengguna.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg