Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah tawar lebih tapak perindustrian pada separuh pertama 2025

7 tapak disertakan dalam senarai yang disahkan, 3 dalam senarai simpanan
Dec 31, 2024 | 3:28 PM
JTC Corporation akan menjadi ejen jualan untuk semua tapak tersebut.
JTC Corporation akan menjadi ejen jualan untuk semua tapak tersebut. - Foto ST

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) akan melancarkan tanah perindustrian seluas 14.07 hektar merentasi 10 tapak, melalui program Penjualan Tanah Perindustrian Pemerintah (IGLS) bagi separuh pertama 2025.

Pada 30 Disember, MTI menyatakan bahawa pemerintah akan terus menawarkan tanah yang mencukupi melalui program ini untuk memastikan bekalan ruang perindustrian di Singapura dapat memenuhi keperluan industri.

Tujuh tapak seluas 9.71 hektar tanah akan disertakan dalam senarai disahkan, manakala tiga tapak seluas 4.36 hektar akan dimasukkan dalam senarai simpanan.

Tujuh tapak disahkan itu terletak di Plot 3 Jalan Papan, Penjuru Road, Gul Drive, Tuas Avenue 11, Ubi Avenue 1, Kaki Bukit Avenue 5 dan Sengkang West, lapor The Business Times (BT).

Menurut Ketua Pegawai Penyelidikan Mogul.sg, Encik Nicholas Mak, keluasan tanah tujuh tapak yang disahkan berjumlah 1.05 juta kaki persegi itu adalah 68.3 peratus lebih luas berbanding lima tapak yang disahkan dalam program IGLS bagi separuh kedua 2024.

Selain itu, bekalan tanah perindustrian yang ditawarkan untuk dijual telah ditingkatkan buat separuh pertama 2025.

Ini berbanding kebiasaan sebelum ini yang hanya melibatkan tiga hingga lima tapak dalam senarai disahkan, tambah Encik Mak.

Langkah meningkatkan bekalan tanah ini mungkin bertujuan untuk “mengekalkan bekalan ruang perindustrian yang stabil menjangkau 2027”, ujarnya.

Langkah itu juga diambil ketika bekalan ruang kilang kegunaan tunggal dijangka turun kepada 2.2 juta kaki persegi selepas 2027, berbanding 5.16 juta kaki persegi pada 2025.

Sementara itu, harga dan kadar sewa hartanah perindustrian meningkat sedikit pada suku ketiga 2024 berbanding suku sebelumnya, menurut data JTC Corporation yang dikeluarkan pada Oktober.

Indeks harga hartanah perindustrian untuk suku ketiga turut meningkat sebanyak 0.5 peratus berbanding suku sebelumnya dan mencatatkan kenaikan 2 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.

Daripada tujuh tapak yang disahkan itu, Encik Mak menjangkakan ia dapat menghasilkan ruang perindustrian sekitar 2.47 juta kaki persegi – 74.9 peratus lebih tinggi berbanding ruang perindustrian daripada lima tapak yang disahkan dalam program IGLS pada 2024.

Menurut Encik Mak, peningkatan harga dan kadar sewa hartanah perindustrian dijangka akan disederhanakan dengan peningkatan bekalan tanah.

“Jika harga dan kadar sewa hartanah perindustrian meningkat pada kadar yang lebih tinggi, ia akan mengurangkan daya saing Singapura sebagai lokasi perniagaan… untuk perusahaan perkilangan, logistik dan teknologi,” katanya.

Namun, Encik Lee Sze Teck, Pengarah Kanan Analitik Data di Huttons Asia, menekankan bahawa sektor perkilangan Singapura mungkin menghadapi cabaran pada 2025.

Ini akibat tarif perdagangan yang berpotensi mempengaruhi permintaan untuk tanah perindustrian.

JTC akan menjadi ejen jualan untuk semua tapak tersebut.

Syarat jualan dan penyerahan tender dijangka dikeluarkan seawal Februari 2025 untuk dua tapak dalam senarai yang disahkan – iaitu Plot 3 Jalan Papan dan Penjuru Road, kededuanya terletak di Jurong.

Tapak dalam senarai simpanan pula akan dibuka untuk tender sekiranya pihak yang berminat menawarkan harga pembelian minimum yang diterima pemerintah, atau apabila terdapat permintaan pasaran yang mencukupi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg