Apabila rangkaian pasar raya Giant, menutup cawangan di Bishan pada Ogos, ia menimbulkan spekulasi bahawa perniagaan itu sedang memperkemas operasinya di tengah-tengah peningkatan kos dan persaingan yang sengit.
Spekulasi meningkat selepas rangkaian saingan, Sheng Siong, segera mengambil alih ruang runcit yang dikosongkan di Blok 512 Bishan itu dan membuka cawangan pasar raya baru dalam tempoh sebulan.
Beberapa hari kemudian, cawangan FairPrice yang berhampiran di Blok 510 dibuka semula selepas kerja pengubahsuaian.
Setakat 2024, sebanyak 11 cawangan Giant telah ditutup, dengan yang terbaru ialah pasar raya di Paya Lebar Square pada 24 November, lapor The Straits Times.
Selain cawangan Bishan dan Paya Lebar, cawangan lain yang telah ditutup termasuk pasar raya besar di Sembawang, pasar raya di Ang Mo Kio dan Toa Payoh, serta beberapa kedai ekspres yang lebih kecil di kawasan seperti Pasir Ris dan Punggol.
Namun, rangkaian pasar raya itu berkata ia tidak bercadang mengurangkan operasinya di sini, walaupun berdepan dengan inflasi meningkat dan persaingan sengit.
“Giant ialah jenama yang tidak asing dalam kalangan warga Singapura.
“Kami mempunyai rancangan jangka panjang untuk berkembang bersama pelanggan kami di Singapura,” kata Encik Yoep Man, pengarah urusan makanan di DFI Retail Group di Singapura.
Syarikat disenarai di bursa saham Singapura itu memiliki dan mengendalikan Giant, serta tiga rangkaian pasar raya lain yang menyasarkan segmen berbeza dalam pasaran tempatan, iaitu Cold Storage, CS (Cold Storage) Fresh dan Jason’s Deli.
Encik Yoep berkata bahawa setiap jenama ini mempunyai cadangan perniagaan yang berbeza dan memainkan peranan berbeza dalam menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan itu di Singapura.
“Kami ingin menembusi seluruh pasaran Singapura dan kami tidak boleh melakukannya dengan hanya satu jenama.
“Kita perlu mempunyai jenama yang berbeza untuk memenuhi tujuan yang berbeza,” katanya.
DFI juga memiliki kepentingan dalam ‘yuu Rewards Club’, program ganjaran bagi pelanggan dipacu kecerdasan buatan (AI) yang disokong oleh Temasek.
Ini membolehkan DFI mengoptimumkan hasil dengan menggunakan data yang dijana oleh lebih 1.8 juta ahli di Singapura.
Data telah menunjukkan bahawa pilihan pembeli semakin berkembang apabila demografi berubah dan pilihan barangan runcit meningkat di seluruh Singapura.
Setiap lokasi mempunyai gabungan pelanggan unik yang berkembang dari semasa ke semasa, kata Encik Yoep.
Oleh demikian, setiap kedai pasar raya baru di bawah kumpulan DFI ditempatkan dan dilancarkan secara strategik.
Sebagai contoh, kawasan yang pernah dihuni ramai ekspatriat seperti River Valley dan Holland Road, kini mengalami perubahan dalam gabungan pelanggan.
Ini kerana lebih ramai pemegang pas pekerjaan memilih untuk menginap di estet seperti Siglap, Joo Chiat, Clementi dan Serangoon.
Oleh itu, penting untuk membuka jenama pasar raya yang betul dengan barangan dan peringkat harga yang memenuhi keperluan kawasan itu, serta menutup cawangan yang tidak lagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin berubah.
Cold Storage memenuhi keperluan keluarga berpendapatan pertengahan di kawasan perumahan, manakala cawangan CS Fresh terletak di estet yang lebih mewah seperti Bukit Timah, Holland Road, Orchard Road, Joo Chiat dan Siglap.
Jenama yang disasarkan kepada pelancong dan eksekutif perniagaan, Jason’s Deli, pula terletak di pusat beli-belah mewah seperti Marina Bay Sands dan Ion Orchard, kata Encik Yoep.
Sementara itu, Giant adalah untuk penduduk majoriti dan terletak terutamanya di kawasan perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Di Bishan, sewa telah meningkat manakala bilangan pelanggan Giant yang setia semakin berkurangan.
“Itu membawa kepada keputusan kami untuk keluar (dari Bishan) dan memberi tumpuan kepada kawasan tumpuan di mana cawangan kami berpeluang berkembang dan di mana kami masih boleh menyesuaikan pilihan produk kami untuk menguasai pasaran,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg