Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengamalan pidato cetus inspirasi bantu peniaga tingkat keyakinan

Buka syarikat ajar strategi bisnes, bantu bina kredibiliti
Apr 7, 2025 | 5:30 AM
Sebagai pembimbing strategi perniagaan bagi mendapat keyakinan, Encik Abu Sofian Eunos, membantu pengasas, eksekutif C-suite (pegawai teratas) dan jurujual melakar strategi yang membuat orang ramai mahu mempercayai dan mengikuti mereka.
Sebagai pembimbing strategi perniagaan bagi mendapat keyakinan, Encik Abu Sofian Eunos, membantu pengasas, eksekutif C-suite (pegawai teratas) dan jurujual melakar strategi yang membuat orang ramai mahu mempercayai dan mengikuti mereka. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pengalaman Encik Abu Sofian Eunos dalam tahun awal kehidupannya telah membawa satu pengajaran bermakna bahawa orang ramai tidak mendengar suara yang paling kuat, tetapi mereka mengikuti suara yang membuat diri mereka rasa difahami.

Kesedaran dan kepercayaan itu telah membentuk hala tujuan pemuda berusia 33 tahun itu, termasuk dalam bidang kerja yang beliau lakukan kini, sebagai pembimbing strategi perniagaan bagi mendapat keyakinan atau buy-in business strategy coach.

Dalam bidang perniagaan, buy-in bermaksud meraih persetujuan dan sokongan aktif daripada pihak berkepentingan utama untuk sesuatu rancangan dalam perniagaan.

Tugasnya termasuk membantu pengasas, eksekutif C-suite (pegawai teratas) dan jurujual melakar strategi yang membuat orang ramai mahu mempercayai dan mengikuti mereka.

“Sama ada mereka mahu mempersiapkan penyampaian perniagaan berjuta dolar, menetapkan semula jenama peribadi seorang CEO (ketua pegawai eksekutif) atau mencapai persetujuan dalam urus niaga enam angka bersama klien, tugas saya adalah memastikan apa yang mereka katakan, bagaimana mereka menampilkan diri dan cara mereka menjual dipilih.

“Tugas saya adalah membantu mereka membina kredibiliti bagi hasil perniagaan mereka,” jelas Encik Abu Sofian, yang memulakan khidmat bimbingannya, Seyrul Consulting, pada 2022.

Keyakinan yang ditampilkan bapa dua anak itu hari ini jauh berbeza dengan keperibadiannya semasa muda dahulu.

Lulusan ijazah sarjana muda dalam sosiologi itu ketika kecil merupakan kanak-kanak yang pemalu.

Ketika di tadika, beliau tidak akan memberi sebarang tindak balas jika gurunya bercakap dengannya dalam bahasa Inggeris kerana beliau cuma tahu berbahasa Melayu.

Beliau pernah menjadi mangsa buli, namun setelah mula melakukan kerja sukarelawan, beliau belajar tentang nilai persahabatan yang baik serta kebijaksanaan, yang membantunya mencari suaranya.

Ketika berusia 17 tahun, Encik Abu Sofian, memenangi pertandingan pidato peringkat sekolah ketika menuntut di Politeknik Ngee Ann.

“Detik itu mencetuskan bukan sahaja minat saya dalam pidato, malah mengajar saya sesuatu yang lebih mendalam: orang ramai tidak mengikut suara yang paling kuat; mereka mengikut suara yang membuatkan mereka rasa difahami.

“Kepercayaan itu telah membentuk semua yang saya lakukan.

“Saya mula belajar tentang penjualan apabila saya menjual lolipop, dan ketika itulah saya mengetahui bahawa sebelum orang membeli apa yang anda jual, mereka mempercayai cerita anda dan mereka bersetuju dengan anda terlebih dahulu,” tambah beliau.

Encik Abu Sofian, yang berpengalaman bekerja di pusat panggilan dan dalam bidang penganjuran acara, mula memberi latihan tentang kepimpinan dan pidato kepada syarikat dan individu sebelum mula berkhidmat kepada penasihat kewangan, pengasas dan pemilik perniagaan.

“Lama-kelamaan, saya menyedari bahawa pemimpin yang hebat, tulen dan jujur terlepas daripada pandangan bukan kerana kekurangan bakat, tetapi kerana kekurangan kemahiran mendapatkan keyakinan atau buy-in.

“Ketika itulah saya memutuskan untuk menumpukan pada satu perkara: membantu orang ramai menguasai seni buy-in ini,” katanya.

Encik Abu Sofian, yang kliennya termasuk eksekutif daripada KPMG, mastercard dan J.P. Morgan, telah mencipta strategi mendapatkan keyakinan dalam tiga langkah yang terdiri daripada percakapan, penjenamaan dan penjualan.

Beliau mengajar cara dan teknik percakapan yang boleh membuat orang ramai memilih seseorang itu melalui kata-kata.

“Ramai orang bercakap. Kurang yang meyakinkan. Saya membimbing pemimpin, eksekutif dan penasihat agar menampilkan keyakinan, meraih kepercayaan dan mencapai persetujuan dalam urus niaga dengan kata-kata mereka,” kata Encik Abu Sofian.

Dalam mendapatkan keyakinan melalui penjenamaan, beliau membantu kliennya mendapatkan pelanggan bernilai tinggi untuk datang kepada mereka dengan meletakkan mereka sebagai pakar dalam industri.

Di bawah langkah penjualan pula, Encik Abu Sofian membantu kliennya mengubah pengaruh mereka menjadi pendapatan.

“Lebih banyak tontonan di media sosial tidak bermakna lebih ramai pelanggan.

“Kita memerlukan penjualan yang mendapat keyakinan untuk mengubah bakal pelanggan menjadi pelanggan berbayar,” terang beliau.

Buat masa ini, Encik Abu Sofian, menawarkan bimbingan secara perseorangan, bengkel korporat, penyampaian ucaptama dan menulis kandungan untuk pakar dalam bidang tertentu.

Kliennya buat masa ini rata-rata terdiri daripada masyarakat Melayu/Islam.

“Mereka adalah klien yang mempunyai keinginan berkembang, ingin memajukan diri dan ingin membina perniagaan yang bermakna untuk diri mereka sendiri dan masyarakat mereka.

“Kelebihan unik yang saya ada adalah nilai kita biasanya sejajar dengan Islam, yang memudahkan kita berhubung antara satu sama lain.

“Kita bukan hanya membangunkan perniagaan untuk kepentingan sendiri, walaupun pada mulanya kita mungkin membangunkannya untuk keuntungan semata-mata, akhirnya dalam sesi bimbingan saya, orang ramai mula meneroka apa lagi yang ada selain membuat banyak wang?” ujarnya.

Encik Abu Sofian melancarkan, The Buy-In Academy, pada 2024 iaitu satu masyarakat pembelajaran dan bimbingan untuk pemilik perniagaan dan usahawan yang ingin mempertajam pengaruh mereka dan mempercepat pertumbuhan perniagaan mereka.

“Mereka semua bersemangat untuk belajar dan kami bertemu setiap bulan.

“Saya berkongsi taktik jualan dan perniagaan terbaik yang membantu saya dan pelanggan mendapatkan tawaran besar.

“Saya juga berkongsi apa yang saya pelajari daripada pelanggan saya, yang telah membangunkan perniagaan tujuh, lapan angka, supaya kami boleh belajar bersama.

“Saya percaya bahawa cara ini memberikan sokongan 3M, iaitu bimbingan (mentoring), metodologi dan momentum, kepada pemilik perniagaan dalam perjalanan mereka ke arah meningkatkan skala perniagaan dan impak mereka,” ujar beliau.

“Lebih banyak tontonan di media sosial tidak bermakna lebih ramai pelanggan. Kita memerlukan penjualan yang mendapat keyakinan untuk mengubah bakal pelanggan menjadi pelanggan berbayar.
Encik Abu Sofian Eunos, pembimbing strategi perniagaan dan pengasas, Seyrul Consulting.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg