Pengamat: Sokongan buat pekerja, cabaran AI, antara bakal tumpuan
Pengamat: Sokongan buat pekerja, cabaran AI, antara bakal tumpuan
Kebimbangan pekerja bergaji rendah, pertengahan kerjaya, pencari kerja bakal menjadi tumpuan selain kos operasi, gaji, tenaga kerja syarikat
Kebimbangan tentang masa depan pekerjaan bagi pekerja bergaji rendah, pekerja pertengahan kerjaya dan pencari kerja, serta isu jaminan persaraan untuk warga emas, dijangka menjadi tumpuan utama Belanjawan 2026, yang akan dibentangkan pada 12 Februari, kata pemerhati.
Ini penting kerana pekerjaan dan mata pencarian kekal menjadi keutamaan rakyat Singapura tatkala ekonomi bergelut dengan ketidaktentuan sejagat, lonjakan teknologi, dan penyesuaian operasi serta amalan industri syarikat.
Dr Faizal Yahya, Zamil Penyelidik Kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), meramalkan pemerintah mungkin akan memperluas sokongan peningkatan kemahiran.
Ini bagi membantu tenaga kerja menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, terutama kuasa kecerdasan buatan (AI).
“Elaun latihan baru dan pengambilan pekerja berasaskan kemahiran terutama pada peringkat pertengahan kerjaya mungkin antara perkara yang akan dipertimbangkan.
“Kesan AI terhadap transformasi tenaga kerja juga akan menjadi salah satu cabaran utama yang perlu dipertimbangkan,” kata Dr Faizal.
Beliau turut menekankan perlunya pemerintah “melaksanakan langkah-langkah yang berkesan” untuk membantu perniagaan mengatasi ketidakpastian global dan tekanan kos. Ini penting bagi memastikan syarikat tempatan terus mampu bersaing.
Ini termasuk mendorong perniagaan mengamalkan tempat kerja mesra warga emas, menawarkan pilihan kerja yang fleksibel, dan mengurus kos kesihatan serta insurans pekerja yang lebih tua.
“Pemerintah mungkin akan meneruskan atau meningkatkan geran sokongan dan rebat cukai untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (SME) menguruskan kos operasi yang semakin meningkat dan memacu produktiviti dan transformasi,” kata Dr Faizal.
Zamil Penyelidik di IPS, Dr Teo Kay Key berpendapat kos sara hidup dan kelestarian pekerjaan mungkin menjadi tumpuan utama menjelang Belanjawan 2026.
Ini, memandangkan pekerja dan syarikat menghadapi persekitaran ekonomi antarabangsa yang tidak menentu, amalan industri yang berubah-ubah seperti penggunaan AI dan automasi, dan syarikat yang menjalankan latihan penyelarasan.
Isu-isu ini, kata Dr Teo, secara langsung akan menjejas keupayaan rakyat untuk menghadapi cabaran mendatang.
“Saya fikir (Belanjawan 2026) mungkin akan memberi sedikit tumpuan kepada AI dan perkembangannya, sama ada untuk membantu perusahaan menjalani transformasi atau menggalak mereka berinovasi atau berkembang.”
Naib Presiden Persatuan Syarikat Kecil dan Sederhana (ASME), Cik Hamidah Aidillah Mustafa berkata pendemokrasian AI yang pesat telah mewujudkan “kekangan kecekapan” dalam kalangan tenaga kerja.
Meskipun mengakui “usaha mantap” pemerintah dalam memantapkan kemahiran tenaga kerja Singapura, Cik Hamidah membangkitkan risiko “jurang struktur” antara tenaga kerja dan peluang pekerjaan sedia ada, sekiranya SME tidak dibantu untuk berubah dan mengadaptasi AI.
Dalam video yang disiarkan di media sosial pada 27 Januari, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong berkata pemerintah telah mendengar aspirasi dan kebimbangan yang dibangkitkan, dan mengambil maklum balas dan pandangan rakyat dan syarikat sebelum beliau menyediakan penyata Belanjawannya.
Beberapa pemimpin perniagaan dan persatuan perdagangan menjangkakan Belanjawan ini akan meredakan kebimbangan perniagaan terhadap kesan ketidakpastian ekonomi sejagat, teknologi dan peningkatan tekanan kos.
Ini, kata mereka, mungkin bakal dicapai melalui langkah-langkah terukur seperti menyediakan sokongan bersasar kepada syarikat tempatan dari pelbagai saiz dan industri.
Cik Hamidah memerhatikan “dua kelajuan ekonomi” di ASME – di mana syarikat yang lebih besar terus kukuh, sementara sebahagian besar perusahaan tempatan, yang merangkumi 94 peratus ekonomi negara, “berdepan dengan cabaran yang amat berbeza di lapangan”.
Beliau berkata walaupun tarif rendah yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap Singapura telah menjadikannya “titik pendaratan semula jadi” bagi firma asing, ia secara tidak langsung mencetus gelombang “persaingan besar” daripada pendatang baru yang menggantikan SME tempatan.
Dalam hal ini, beliau berharap pemerintah akan bergerak ke arah dasar ekonomi yang lebih terperinci dan berperingkat yang akan menyediakan sokongan yang disasarkan untuk pelbagai jenis dan saiz syarikat tempatan semasa Belanjawan 2026.
“Kami percaya pemerintah akan mempertimbangkan secara formal untuk membezakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana, bagi memastikan sokongan dasar negara mencerminkan realiti operasi yang berbeza bagi setiap kumpulan dengan tepat.
“Bagi merapatkan jurang AI dan mencegah ketidakpadanan struktur antara bekalan pekerja yang mahir dalam AI dengan permintaan untuk kemahiran mereka, kami menjangkakan pengenalan rangka kerja baru yang mengutamakan transformasi perusahaan di samping latihan semula tenaga kerja,” tambahnya.
Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) berkata peningkatan kos operasi seperti tenaga kerja, gaji, sewa, utiliti, pembiayaan, kadar faedah, bahan mentah, logistik dan pematuhan syarikat kekal menjadi kebimbangan utama dalam kalangan perusahaan.
Justeru, ia menggesa pemerintah menyalurkan sokongan bermakna, seperti meningkatkan akses kepada pembiayaan dan geran, di samping memperkemas proses permohonan dan menjelaskan kriteria kelayakan.
Ia turut menyeru pemerintah memperkenalkan skim yang dapat melegakan tekanan perbelanjaan operasi, sewa dan tenaga kerja, sambil menawarkan sokongan kepada syarikat yang ingin meneroka peluang di luar negara, seperti di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Kampong Gelam ialah contoh yang jelas tentang bagaimana SME, termasuk mereka yang beroperasi di sekitar kawasan warisan, sedang mengharungi peningkatan kos dan tekanan operasi.
“Menjelang Belanjawan 2026, penting bagi pemerintah menggariskan dasar yang menjamin kemampanan perniagaan di samping memacu pertumbuhan dan pembangunan keupayaan merentasi semua sektor,” ujar Presiden DPPMS, Encik Abdul Malik Hassan.
Dewan perniagaan Melayu itu berkata peningkatan kos, pertukaran penyewa, dan tekanan pasaran memberi kesan kepada perusahaan yang berakar umbi dari segi budaya di Kampong Gelam, yang membentuk tulang belakang warisan hidup Singapura.
Ia menekankan Kampong Gelam bukan sekadar kawasan terpelihara dan bersejarah, tetapi juga daerah yang yang penuh semangat – yang diukir oleh generasi usahawan, artisan, dan perniagaan keluarga.
DPPMS berharap langkah-langkah Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan oleh Encik Wong akan kekal responsif, inklusif, dan sejajar dengan keperluan praktikal komuniti perniagaan Singapura yang beroperasi di kawasan warisan seperti Kampong Gelam dan Geylang Serai.
“
“Pemerintah dalam Belanjawan 2026 berkemungkinan akan menumpukan pada peningkatan kemahiran bagi membantu tenaga kerja menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, terutama kecerdasan buatan (AI). Elaun latihan baru dan pengambilan pekerja berasaskan kemahiran terutamanya pada peringkat pertengahan kerjaya mungkin antara perkara yang akan dipertimbangkan.”“
“Kami percaya pemerintah akan mempertimbangkan secara formal untuk membezakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana, bagi memastikan sokongan dasar negara mencerminkan realiti operasi yang berbeza bagi setiap kumpulan dengan tepat. Bagi merapatkan jurang AI dan mencegah ketidakpadanan struktur antara bekalan pekerja yang mahir dalam AI dengan permintaan untuk kemahiran mereka, kami menjangkakan pengenalan rangka kerja baru yang mengutamakan transformasi perusahaan di samping latihan semula tenaga kerja.”“
“Kampong Gelam ialah contoh yang jelas tentang bagaimana SME, termasuk mereka yang beroperasi di sekitar kawasan warisan, sedang mengharungi peningkatan kos dan tekanan operasi. Memandangkan Belanjawan 2026 semakin dekat, adalah penting untuk pemerintah mempunyai dasar-dasar yang menyokong kemampanan perniagaan sambil membolehkan pertumbuhan dan pembangunan keupayaan merentasi semua sektor.”
