Dengan inflasi mereda, pemerintah dijangka mengekalkan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) untuk rakyat Singapura – namun ‘habuan’ tersebut mungkin dikurangkan dengan ketara – susulan “tahun luar biasa” dengan tawaran lumayan baucar tersebut pada 2025, kata para penganalisis.
Bagaimanapun, rakyat Singapura masih boleh menjangkakan sokongan bagi menangani isu kos sara hidup dalam Belanjawan 2026 – yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 12 Februari – namun lebih banyak penekanan akan diberikan pada pekerjaan, kemahiran dan bantuan yang disasarkan, tambah mereka.
Semasa Belanjawan 2025 diumum, isi rumah rakyat Singapura menerima baucar CDC bernilai $800, dengan $500 diagihkan pada Mei 2025; dan $300 pada Januari 2026.
Ia adalah tambahan kepada baucar CDC $300 yang diberikan pada Januari 2025.
Di samping itu, rakyat Singapura dewasa turut menerima Baucar SG60 sekali sahaja bernilai $600 pada Julai 2025, dengan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas mendapat tambahan $200 sempena ulang tahun Singapura yang ke-60.
Meskipun kadar inflasi kekal sederhana, Profesor Madya (Adjung) Terence Ho daripada Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, Universiti Nasional Singapura (NUS), memberitahu Berita Harian (BH) ada kemungkinan pemerintah akan menyediakan sokongan meluas selanjutnya kepada rakyat dalam bentuk wang tunai atau baucar CDC.
Namun, sokongan itu mungkin akan disesuaikan mengikut keadaan.
“Baucar CDC kini merupakan bentuk sokongan yang dikenali peniaga dan rakyat.
“Namun, pemerintah kemungkinan akan menyesuaikan sokongan untuk mengelak daripada meningkatkan jangkaan awam terhadap pemberian pemerintah apabila keadaan ekonomi normal,” kata beliau.
Profesor Madya Eugene Tan, daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU) pula berkata beliau menjangkakan skim baucar CDC akan diteruskan dalam tahun kewangan 2026, namun “ia mungkin akan dikurangkan dengan ketara”.
“Tahun 2025 merupakan tahun luar biasa bagi baucar CDC, tetapi ia tentu sekali bukan satu norma,” tambah beliau.
Inflasi di Singapura telah turun dengan ketara sejak kemuncaknya pada 2022 dan 2023, dengan kedua-dua inflasi teras dan keseluruhan berada pada kadar 1.2 peratus pada November 2025.
Namun, pakar ekonomi menjangkakan inflasi terus meningkat secara sederhana pada 2026.
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) meramalkan inflasi keseluruhan dijangka berada pada purata antara 0.5 peratus dengan 1 peratus pada 2025; dan antara 0.5 peratus dengan 1.5 peratus pada 2026.
Tambahan pula, MTI dalam ramalan pertamanya bagi 2026, menjangkakan ekonomi negara berkembang perlahan antara 1 dengan 3 peratus.
Encik Wong, dalam Amanat Tahun Baru 2026, berkata ekonomi Singapura telah mencatat pertumbuhan lebih kukuh dan di luar jangkaan sebanyak 4.8 peratus pada 2025, lebih tinggi berbanding ramalan sekitar 4 peratus oleh MTI.
Memandangkan sebarang prospek inflasi tertakluk kepada ketidaktentuan – seperti kejutan bekalan, terutama yang terhasil daripada perkembangan geopolitik – Dr Tan berkata “pemerintah boleh dijangka menyediakan lebih banyak bantuan apabila keadaan memerlukannya pada lewat tahun”.
Para penganalisis berkata keadaan ekonomi dan cara mempersiapkan rakyat dalam menghadapi gangguan sedang aturan dunia baru diwujudkan dijangka menjadi antara teras utama dalam Belanjawan 2026.
Penyelidik Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata tema utama dalam Belanjawan akan datang akan tertumpu pada pekerjaan, peningkatan kemahiran, pengekalan pekerjaan dan isu gaji yang mendatar.
“Pemerintah akan terus menyokong peningkatan kemahiran dan latihan semula, dan memastikan keluarga berpendapatan pertengahan, atau golongan ‘sandwic’ (penjaga anak dan ibu bapa berusia senja sekali gus), akan dibantu,” kata beliau.
Beliau turut melahirkan harapan agar bantuan dapat diberikan kepada golongan penjaga dalam kelas ‘sandwic’ dan orang muda mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian.
Profesor Ho pula berkata perniagaan mungkin menerima sokongan untuk membina keupayaan, terutama dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi serta rekaan semula pekerjaan, manakala pekerja dan pencari kerja akan mendapat bantuan bagi latihan dan peningkatan kemahiran.
Antaranya, program pemerintah yang diumumkan sebelum ini, iaitu Program Pelatih Industri bagi Lepasan Baru (GRIT) dan GRIT@Gov, boleh ditingkatkan sekiranya keadaan ekonomi dan pasaran pekerja menjadi lemah dengan ketara, kata beliau.
Sementara itu, Zamil Penyelidik Kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Faizal Yahya, berkata sokongan bagi perniagaan pula kemungkinan tertumpu pada mengurangkan tekanan operasi dan menggalak penggunaan teknologi untuk mengekalkan daya saing.
Ini di samping sokongan bagi syarikat mengembangkan sayap ke luar negara seperti melalui Geran Bantuan Kesediaan Pasaran (MRA).
“Belanjawan 2026 bertujuan menyediakan bantuan segera di samping membina keupayaan jangka panjang dan jaringan keselamatan sosial dalam persekitaran sejagat yang mencabar, dengan input daripada rundingan awam yang meluas.
“Isu-isu utama mungkin akan tertumpu pada pengurusan ekonomi yang perlahan di tengah-tengah ketidaktentuan sejagat, menangani tekanan kos perniagaan dan tenaga kerja yang berterusan, serta memperkukuh sistem sokongan sosial untuk penduduk yang semakin tua,” kata beliau.
Para penganalisis turut menambah tema , atau Forward Singapore, seperti sokongan untuk keluarga dan warga emas serta perpaduan sosial dan negara, juga mungkin terus menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2026.
Dr Tan berkata agenda Melakar Hala Tuju Singapura akan terus membentuk Belanjawan masa depan sehingga 2030 dengan tumpuan berterusan demi mempertingkat golongan rakyat Singapura yang mudah terjejas agar pertumbuhan kekal terangkum.
Tambahnya, beliau tidak menjangkakan langkah atau skim baru yang besar, tetapi pengukuhan skim bantuan sedia ada bagi memastikan bantuan disasarkan bagi golongan memerlukan.
“Perlu diingat ekonomi yang rancak dalam banyak cara adalah satu bentuk sokongan sosial.
“Pekerjaan baik akan diwujudkan, gaji boleh meningkat, dan akan terdapat lebih banyak dana awam bagi pelbagai program untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Oleh itu, meskipun jika Belanjawan 2026 mempunyai tema ekonomi lebih menyerlah, ia tidak boleh dianggap aspek sosial Belanjawan kurang penting,” kata beliau.
“
“Baucar CDC kini merupakan bentuk sokongan yang dikenali peniaga dan rakyat. Namun, pemerintah kemungkinan akan menyesuaikan sokongan untuk mengelak daripada meningkatkan jangkaan awam terhadap pemberian pemerintah apabila keadaan ekonomi normal.”“
“Isu-isu utama mungkin akan tertumpu pada pengurusan ekonomi yang perlahan di tengah-tengah ketidaktentuan sejagat, menangani tekanan kos perniagaan dan tenaga kerja yang berterusan serta memperkukuh sistem sokongan sosial untuk penduduk yang semakin tua.”“
“Tema utama (dalam Belanjawan akan datang) akan tertumpu pada pekerjaan, peningkatan kemahiran, pengekalan pekerjaan dan isu gaji yang mendatar. Pemerintah akan terus menyokong peningkatan kemahiran dan latihan semula, dan memastikan keluarga berpendapatan pertengahan, atau golongan ‘sandwic’ (penjaga anak dan ibu bapa berusia senja sekali gus), akan dibantu.”“
“Perlu diingat ekonomi yang rancak dalam banyak cara adalah satu bentuk sokongan sosial. Pekerjaan baik akan diwujudkan, gaji boleh meningkat, dan akan terdapat lebih banyak dana awam bagi pelbagai program untuk membantu mereka yang memerlukan. Oleh itu, meskipun jika Belanjawan 2026 mempunyai tema ekonomi yang lebih menyerlah, ia tidak boleh dianggap aspek sosial Belanjawan kurang penting.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg