Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengarah wanita di 100 firma teratas SGX lebihi sasaran 25%

Namun kajian mendapati 31 peratus syarikat tersenarai di Singapura masih punyai lembaga yang kesemua ahlinya lelaki
May 30, 2025 | 4:12 PM
ekonomi, SGX
Antara kesemua 615 syarikat yang tersenarai di Singapura, peratusan pengarah wanita meningkat kepada 18.1 peratus pada 2024, berbanding 16.1 peratus pada 2023. - Foto fail

Peratusan pengarah wanita dalam 100 syarikat terbesar yang tersenarai di Bursa Singapura (SGX) meningkat kepada 25.1 peratus pada 2024, berbanding 23.7 peratus pada 2023, menurut edisi terkini Kajian Kepelbagaian Lembaga Pengarah Singapura (Singapore Board Diversity Review)

Pencapaian itu melepasi sasaran 25 peratus yang ditetapkan oleh Majlis bagi Kepelbagaian Lembaga (CBD) dan dicapai lebih awal daripada sasarannya iaitu akhir 2025.

Kajian yang dikeluarkan pada 30 Mei itu mengkaji syarikat utama di SGX dan keseluruhan pasaran.

CBD, yang menerbitkan kajian itu, berkata peningkatan jumlah pengarah wanita menunjukkan perubahan dalam sekitaran perniagaan, usaha yang dilakukan dalam ekosistem pengarah, serta pengenalan peraturan baru, lapor The Business Times (BT).

Antara kesemua 615 syarikat tersenarai di Singapura, peratusan pengarah wanita meningkat kepada 18.1 peratus pada 2024, berbanding 16.1 peratus pada 2023 dan hanya 8.1 peratus pada 2013. 

Namun begitu, 188 syarikat atau 31 peratus masih mempunyai lembaga pengarah yang kesemuanya lelaki.

Pada 2024, wanita memegang 13 peratus daripada semua jawatan kepimpinan lembaga pengarah dalam syarikat tersenarai di Singapura, naik daripada 11 peratus pada 2023.

Jawatan itu termasuk pengerusi lembaga atau jawatankuasa pencalonan (NC) serta jawatankuasa audit dan gaji.

Namun, hanya 8 peratus pengerusi lembaga adalah wanita, sejajar dengan purata global 8.4 peratus, menunjukkan bahawa wanita masih kurang mendapat peluang bagi jawatan tertinggi itu, menurut CBD.

Kajian itu juga mendapati bahawa campuran jantina lembaga bertambah baik apabila wanita menjadi pengerusi atau ahli NC. 

Antara syarikat yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang wanita dalam NC, 33 peratus pelantikan lembaga antara 2020 dengan 2024 adalah wanita, berbanding hanya 11 peratus dalam syarikat dengan NC yang dianggotai sepenuhnya oleh lelaki.

CBD menjelaskan bahawa wanita dalam peranan utama cenderung menggunakan rangkaian yang lebih luas untuk menjamin proses pencalonan yang terangkum dan memastikan wanita yang layak turut tersenarai sebagai calon.

“Wanita yang memegang peranan utama dalam lembaga pengarah merupakan penunjuk jelas terhadap budaya sesebuah lembaga, dan mampu menarik lebih ramai bakat wanita,” tambahnya.

Pengerusi Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Teo Siong Seng, berkata peningkatan kepelbagaian ini berlaku tanpa kuota jantina, menjadikan perubahan lebih mampan.

Kajian mendapati syarikat tersenarai di Singapura melantik 310 pengarah kali pertama pada 2024 – jumlah tertinggi sejak 2015.

Ini menunjukkan nilai lebih tinggi diberi kepada kemahiran, kepakaran dan potensi pengarah baru berbanding pengalaman terdahulu, kata CBD.

Kemahiran paling dicari adalah dalam kewangan dan pelaburan, diikuti strategi dan pengurusan.

Kajian itu juga menunjukkan keseimbangan yang lebih baik antara pengarah baru dengan mereka yang telah lama berkhidmat.

Di kalangan 100 syarikat teratas, purata tempoh perkhidmatan seorang pengarah menurun kepada 6.4 tahun, berbanding 6.8 tahun pada 2020.

Malah, empat daripada 10 pengarah bebas memulakan pelantikan mereka dalam tempoh kurang tiga tahun lalu (2022).

Secara keseluruhan, 55 peratus pengarah syarikat tersenarai pada 2024 adalah bebas, naik daripada 49 peratus pada 2016, selepas SGX mengehadkan tempoh perkhidmatan pengarah bebas kepada sembilan tahun sejak 2023.

Encik Teo daripada SBF berkata:

“Organisasi kini sedar kepelbagaian dalam lembaga adalah sebahagian daripada tadbir urus korporat, dan ia menjadikan lembaga serta perniagaan lebih kukuh.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg