Bursa Singapura (SGX) sedang melihat peningkatan dalam perancangan syarikat yang menghala ke tawaran awam permulaan (IPO), dan berharap bilangan penyenaraiannya pada 2025 akan melebihi 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif SGX, Encik Loh Boon Chye, berkata beliau belum dapat memberikan maklumat terkini mengenai kumpulan semakan yang ditubuhkan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) untuk memberi nafas baru kepada pasaran saham Singapura, tetapi pengendali bursa itu melihat momentum yang bertambah baik dalam syarikat yang ingin disenaraikan di sini.
Kumpulan semakan itu dijangka mengeluarkan laporannya pada Ogos.
“Saya fikir adalah penting bagi pasaran saham Singapura berkembang dan mengekalkan trajektorinya. Isu struktur, isu dasar, perlu ditangani dengan jelas, termasuk oleh SGX, semua peserta dalam ekosistem ini, penggubal dasar dan pengawal selia,” katanya.
Beliau membuat kenyataan itu pada taklimat penyata kewangan SGX pada 6 Februari, lapor The Straits Times.
Syarikat itu melaporkan kenaikan keuntungan bersih sebanyak 20.7 peratus dari tahun ke tahun kepada $340 juta bagi separuh tahun pertama berakhir Disember 2024 (Tahun Kewangan SGX ialah 1 Julai hingga 30 Jun tahun berikutnya).
Pada taklimat itu, ketua jualan dan pengasalan urus janji (origination) global SGX, Encik Pol de Win, berkata bursa itu menyaksikan pengeluar saham menjadi lebih aktif.
“Tahap ekuiti secara amnya agak tinggi. Prospek mengenai kadar faedah stabil, dan dalam beberapa kes telah menurun. Jadi pelabur jelas kembali yakin.
“Pada masa sama, penyedia modal swasta mempunyai keperluan semakin meningkat untuk pengedaran semula modal, mewujudkan kecairan bagi rakan kongsi terhad mereka sendiri.
“Jadi kami benar-benar menjangka pasaran IPO secara amnya di dunia akan bergerak kembali dan kami akan mendapat manfaat daripadanya juga,” katanya.
Beliau menambah bahawa syarikat yang ingin menyenarai adalah pelbagai dan merentasi sektor, dengan lebih banyak firma dalam ekonomi baru – merujuk kepada perusahaan baru yang berkembang pesat dan secara aktif menggunakan teknologi paling maju dan inovatif dalam bidang mereka.
Syarikat yang merancang penyenaraian juga datang daripada sektor seperti segmen pengguna dan bidang penjagaan kesihatan.
Encik Loh berkata SGX optimistik dalam mencapai sasaran pendapatannya, iaitu pertumbuhan 6 peratus hingga 8 peratus pada jangka sederhana, tidak termasuk pendapatan perbendaharaan.
“Kami memulakan tahun fiskal ini (2024-2025) dengan kukuh, dengan pendapatan setengah tahun dan keuntungan bersih tertinggi kami sejak penyenaraian.
“Keluasan dan kedalaman tawaran berbilang aset dan ekosistem kami, ditambah dengan gabungan produk dan pangkalan pelanggan yang diperluas, meletakkan kami di kedudukan baik untuk meraih peluang pasaran,” katanya.
Lembaga SGX pada 6 Februari mengisytiharkan dividen suku tahunan interim sebanyak 9 sen sesaham, dibayar pada 21 Februari, menjadikan jumlah dividen pada separuh pertama tahun kewangan 2025 sebanyak 18 sen sesaham.
Ekuiti tunai dan ekuiti derivatif menerajui prestasi baik SGX, kata Encik Loh.
Ini diikuti oleh mata wang dan komoditi.
Prestasi separuh pertama SGX adalah kukuh merentas pelbagai segmennya.
Pendapatan bersih daripada ekuiti tunai meningkat 22.3 peratus kepada $192.6 juta dan menyumbang 29.8 peratus kepada jumlah pendapatan bersih.
Pendapatan bersih daripada ekuiti derivatif meningkat 21.6 peratus, manakala mata wang dan komoditi meningkat 13.1 peratus.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg