Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengaruh CEO Nvidia Jensen Huang dalam perlumbaan AI
Peranan tidak terhad kepada pembekalan cip, rizab tunai syarikat dimanfaat sebagai pelaburan strategik biaya pelbagai firma teknologi, penyelidikan
Pengaruh CEO Nvidia Jensen Huang dalam perlumbaan AI
SAN FRANCISCO: Di jalanan Taipei dan Seoul, peminat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia, Encik Jensen Huang, mengerumuninya untuk mendapatkan tandatangan beliau pada buku, poster, malah ada ketikanya, pada tubuh mereka sendiri.
Secara tertutup pula, hartawan terkemuka seperti pengasas bersama Oracle, Encik Larry Ellison, dan CEO Tesla, Encik Elon Musk, pernah terpaksa ‘merayu’ dengan Encik Huang demi mendapatkan cip kecerdasan buatan (AI) keluarannya yang menjadi rebutan ramai.
Pengaruh luar biasa yang diraih Encik Huang, 63 tahun, selaku pengawal utama cip Nvidia membuktikan betapa industri AI kini amat bergantung kepadanya bagi memperoleh unit pemprosesan grafik (GPU) yang melatih pelbagai model serta menyokong perkhidmatan seperti ChatGPT.
PERANAN LANGKAUI PEMBEKAL CIP
Namun, peranan beliau bukan hanya terhad kepada pembekalan cip.
Sebaliknya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Nvidia memanfaatkan rizab tunainya yang kian melimpah sebagai dana pelaburan strategik bagi membiayai pelbagai syarikat – merangkumi penyedia pengkomputeran awan AI, pembekal, sehingga ke makmal penyelidikan terbesar.
Penganalisis berpendapat keadaan itu meletakkan Encik Huang sebagai individu yang berpotensi membawa risiko kepada industri AI.
Ini lebih-lebih lagi ketika Nvidia sedang menyiasat sama ada beliau menjadi sasaran perisikan asing susulan pengakuan Encik Huang mengenai hubungan sulitnya dengan seorang ahli perniagaan wanita China yang dituduh menyalurkan maklumat kepada Beijing.
Encik Huang juga dikatakan pernah menjalin hubungan sulit dengan Cik Kimberly Powell, naib presiden penjagaan kesihatan syarikat tersebut.
Penganalisis di firma pembrokeran dan penyelidikan ekuiti sejagat Bernstein, Dr Stacy Rasgon, berkata:
“Sukar untuk tidak melihat berita pada hujung minggu lalu sebagai sesuatu yang negatif, memandangkan ia mula mencetuskan perdebatan mengenai kepimpinan salah sebuah syarikat paling penting di Amerika Syarikat, yang juga arkitek hala tuju AI negara itu.”
“Nvidia bukan syarikat biasa dan Jensen pula bukan CEO biasa; beliau ialah (tonggak) Nvidia, individu yang jelas menetapkan strategi serta hala tuju jangka panjang dan mengendalikan sebahagian besar urusan syarikat itu sendiri.”
Bukti kekuatan pengaruh Encik Huang terserlah apabila pertemuan santai sambil menikmati ayam goreng di Seoul bersama CEO Samsung dan Hyundai pada 2025 melonjakkan saham dua syarikat makanan Korea Selatan.
Malah, sokongan beliau terhadap Marvell Technology sebagai bakal ‘syarikat bernilai trilion dolar’ turut memacu saham pembuat cip itu ke paras tertinggi dalam sejarah.
Sebagai benteng utama yang menangkis keraguan terhadap AI, Encik Huang sering menepis kebimbangan mengenai kewujudan gelembung pasaran.
Ini selain menyangkal amaran CEO Anthropic, Dr Dario Amodei, bahawa teknologi itu boleh mencetuskan ancaman kewujudan terhadap manusia.
Gelembung AI merujuk pada keadaan apabila pelaburan, minat atau kecenderungan terhadap teknologi AI meningkat terlalu cepat sehingga nilai syarikat, syarikat pemula atau projek AI menjadi terlalu tinggi, berbanding nilai sebenar atau potensi jangka panjangnya.
Sebarang halangan terhadap Encik Huang dikhuatiri boleh melenyapkan suara pendukung paling lantang industri berkenaan, yang selama ini sering menegaskan bahawa AI bakal mengubah segalanya – daripada pengkomputeran dan perkilangan sehingga sektor penjagaan kesihatan serta robotik.
‘KETUA PENGAGIH CIP’ AI, MAJIKAN BERKUASA BESAR
Pengaruh Encik Huang melangkaui sekadar mempromosikan potensi AI.
Beliau menguasai rantaian bekalan cip yang menentukan kepantasan pertumbuhan syarikat AI yang membelanjakan puluhan bilion dolar.
Kedudukan itu diakui sendiri oleh Encik Ellison, pada September 2024 ketika menceritakan semula pertemuannya di sebuah restoran mewah, Nobu, di Palo Alto, California.
“Saya boleh gambarkan makan malam itu seperti saya dan Elon merayu kepada Jensen untuk mendapatkan GPU,” kata Encik Ellison kepada penganalisis.
“Ambillah wang kami... Kami merayu anda ambil lebih banyak wang kami.”
Encik Huang memegang kawalan ketat ke atas Nvidia menerusi struktur organisasi yang luar biasa mendatar, dengan puluhan eksekutif melapor terus kepadanya.
Namun, selaku pemegang saham kelima terbesar dengan pegangan kira-kira 3.6 peratus, beliau tidak memiliki saham mengundi khas seperti yang dinikmati pengasas Meta Platforms, Encik Mark Zuckerberg, dan pengasas SpaceX, Encik Musk, untuk menguasai pegangan majoriti syarikat masing-masing.
“Kebanyakan carta organisasi syarikat kelihatan serupa.
“Bagi saya, ia langsung tidak masuk akal. Struktur sesebuah syarikat sepatutnya mencerminkan persekitaran tempat ia beroperasi,” kata Encik Huang dalam wawancara, Lex Fridman Podcast, pada Mac.
Beliau berkata lebih 60 eksekutif melapor terus kepadanya dan hampir kesemuanya memegang peranan kejuruteraan, termasuk pakar cip memori, rangkaian, pemproses grafik serta pemproses pusat.
Keluarga Encik Huang turut terlibat secara langsung dalam operasi Nvidia.
Menantunya, Encik Nico Caprez, menyelia hubungan dengan syarikat penyedia awan AI (neocloud) dan pengendali pusat data selaku naib presiden pertumbuhan prasarana AI dunia.
Anak perempuannya, Cik Madison Huang, berkhidmat sebagai pengarah kanan yang menyelia pemasaran bagi produk fizikal AI Nvidia dan sering menemani bapanya dalam lawatan kerja, manakala anak lelakinya, Encik Spencer Huang, bertugas di bahagian robotik.
TIADA PENGGANTI JELAS
Penganalisis berpendapat Encik Huang – yang menerajui Nvidia sejak menjadi pengasas bersama syarikat pereka cip itu pada 1993 – tidak mempunyai pengganti yang jelas.
Syarikat itu, yang menyatakan pada hujung minggu lalu bahawa Encik Huang mendapat sokongan penuh lembaga pengarah, belum mendedahkan sebarang pelan peralihan kepimpinan.
“Jensen tidak boleh diganti... tiada individu lain dalam barisan pengurusan kanan yang mampu mengambil alih tugas sebagai CEO dengan lancar,” kata penganalisis teknologi veteran, Encik Dan Ives.
Selain Encik Huang, Nvidia hanya menyenaraikan empat eksekutif kanan pada laman kepimpinannya.
Individu paling dikenali ialah Ketua Kewangan, Cik Colette Kress, yang kerap mewakili syarikat dalam persidangan pelabur.
Tiga lagi eksekutif ialah Naib Presiden Eksekutif Operasi Lapangan Seluruh Dunia, Encik Nick Parker; Naib Presiden Eksekutif Operasi, Cik Debora Shoquist; serta Naib Presiden Eksekutif merangkap Penasihat Undang-Undang Am dan Setiausaha, Encik Tim Teter. – Reuters.