LONDON: Lembaga pengarah bank mesti bertanggungjawab bagi perkhidmatan sumber luar dan mendokumenkan cara mereka mengurus risiko gangguan kepada perkhidmatan pelanggan.
Demikian saranan Jawatankuasa Basel mengenai Pengawal Selia Perbankan sedunia pada 9 Julai.
Bank semakin menggunakan syarikat teknologi pihak ketiga seperti Microsoft, Amazon dan Google, bagi khidmat pengkomputeran awan untuk menjalankan pelbagai khidmat utama.
Langkah tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengawal selia bank mengenai kesan terhadap sektor kewangan sekiranya khidmat pengkomputeran awan syarikat tersebut, yang digunakan oleh banyak bank, tergendala.
“Pendigitalan yang berterusan telah membawa kepada penggunaan pendekatan inovatif secara pantas dalam sektor perbankan.
“Akibatnya, bank kini menjadi semakin bergantung kepada pihak ketiga bagi perkhidmatan yang tidak pernah mereka lakukan sebelum ini,” kata Jawatankuasa Basel dalam satu kenyataan.
Jawatankuasa tersebut, yang terdiri daripada pengawal selia dari negara anggota Kumpulan 20 (G20) dan negara lain, mencadangkan 12 prinsip untuk bank dan pengawal selia amalkan bagi mengurus risiko gangguan perkhidmatan, sambil menekankan bahawa lembaga pengarah bank memikul tanggungjawab untuk mengawasi aturan pihak ketiga.
“Seperti semua proses perniagaan, dokumentasi yang membuktikan keputusan penting (contohnya, strategi pihak ketiga, minit mesyuarat lembaga pengarah yang mencerminkan keputusan untuk membuat satu perjanjian aturan kritikal) harus disimpan dalam rekod bank,” tambah Basel dalam kertas perundingannya.
Perkhidmatan pihak ketiga kian mendapat perhatian kerana penggodam secara berterusan cuba melanggar pertahanan siber bank dan melemahkan daya tahan operasi bank, sehingga mengakibatkan khidmat pelanggan yang tergantung selama berjam-jam, malah berhari-hari.
Kesatuan Eropah telah meluluskan satu Akta Ketahanan Operasi Digital (Dora) untuk meningkatkan daya tahan dalam sektor kewangan mulai Januari 2025, dengan Britain turut mengambil langkah serupa.
Menurut Basel, bank harus menjalankan “usaha wajar yang sesuai” terhadap risiko sebelum ia menandatangani kontrak perniagaan dengan pihak ketiga, selain memantau prestasi perkhidmatan berkenaan.
Bank juga harus mengekalkan pengurusan “kesinambungan perniagaan yang teguh” supaya ia dapat terus beroperasi semasa berlakunya gangguan perkhidmatan, kata Basel. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg