Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengeluaran kilang S’pura naik 7.2% pada Jun
Pengeluaran kilang S’pura naik 7.2% pada Jun
Pengeluaran kilang S’pura naik 7.2% pada Jun
Pengeluaran perkilangan pada Jun meningkat sebanyak 7.2 peratus tahun ke tahun, didorong oleh peningkatan permintaan dalam kelompok elektronik, kejuruteraan jitu dan kejuruteraan pengangkutan.
Namun, peningkatan itu lebih rendah berbanding ramalan 9.3 peratus yang diunjurkan para penganalisis dalam satu tinjauan, berikutan penurunan pengeluaran merentasi kelompok lain seperti kimia, bioperubatan dan perkilangan am.
Tidak termasuk perkilangan bioperubatan, pengeluaran mencatatkan peningkatan sebanyak 9.6 peratus, menurut data yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) pada 27 Julai.
Pengeluaran daripada kelompok elektronik mencatat pertumbuhan tertinggi pada Jun iaitu 21.3 peratus.
Ia didorong oleh permintaan berterusan berkaitan kecerdasan buatan (AI), yang menyaksikan peningkatan dalam segmen infokom dan elektronik pengguna sebanyak 32.1 peratus, manakala segmen semikonduktor meningkat 21.1 peratus.
Pengeluaran modul dan komponen elektronik lain turut berkembang 5.2 peratus, manakala pengeluaran bagi segmen peranti komputer dan penyimpanan data meningkat 8.2 peratus selepas mencatat penurunan pada Mei.
Kelompok kejuruteraan jitu mencatat pertumbuhan kedua terbaik, iaitu sebanyak 14.9 peratus.
Peningkatan ini didorong oleh pengeluaran peralatan semikonduktor lebih tinggi dalam segmen mesin dan sistem, yang berkembang sebanyak 16.6 peratus.
Segmen komponen dan modul jitu pula mencatat peningkatan sebanyak 6.6 peratus, disokong oleh hasil pengeluaran lebih tinggi bagi alat optik, penyambung elektronik, serta acuan, perkakas, dan lekapan.
Sementara itu, kelompok kejuruteraan pengangkutan berkembang sebanyak 4.6 peratus.
Segmen darat mencatat pertumbuhan tertinggi, iaitu 41.2 peratus, manakala segmen aeroangkasa meningkat 11.2 peratus.
Peningkatan tersebut dipacu oleh pengeluaran alat ganti pesawat lebih tinggi serta kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih berterusan daripada syarikat penerbangan komersial.
Namun, peningkatan ini sebahagiannya diimbangi oleh penguncupan 14.1 peratus dalam segmen kejuruteraan marin dan luar pantai, yang merekodkan tahap kegiatan lebih rendah serta permintaan semakin perlahan bagi peralatan minyak dan gas di lapangan.
Kelompok perkilangan bioperubatan pula menguncup 11.4 peratus, didorong oleh kejatuhan 34.4 peratus dalam segmen farmaseutikal berikutan perbezaan campuran bahan aktif farmaseutikal yang dihasilkan.
Segmen teknologi perubatan pula mencatat penguncupan kecil 0.7 peratus.
Kelompok kimia pula merosot 11.7 peratus disebabkan oleh gangguan dalam bekalan bahan mentah.
Masalah tersebut mengakibatkan pengeluaran lebih rendah dalam segmen petroleum dan petrokimia, yang masing-masing menguncup 10.2 peratus dan 52.7 peratus.
Hasil pengeluaran bagi segmen kimia khusus kekal tidak berubah, manakala segmen kimia lain berkembang 22 peratus.
Sementara itu, industri perkilangan umum mencatat penurunan 6.8 peratus.
Segmen makanan, minuman dan tembakau turun 16.9 peratus berikutan pengeluaran lebih rendah dalam produk susu tepung, minuman serta koko.
Namun, segmen industri pelbagai (miscellaneous industries) mencatat pertumbuhan 16.3 peratus, disokong oleh pengeluaran produk logam struktur dan pakaian lebih tinggi.
Manakala, pengeluaran dalam industri percetakan pulih daripada penguncupan pada Mei, sekali gus mencatat pertumbuhan 2.9 peratus.