Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengerusi Singtel mohon potongan bayaran yuran khidmatnya

Syarikat itu juga percepat sasaran sifar bersih kepada 2045
Jun 27, 2023 | 3:01 PM
USAHA KEMAMPANAN: Singtel mempercepat sasaran sifar bersih kepada 2045
USAHA KEMAMPANAN: Singtel mempercepat sasaran sifar bersih kepada 2045 - Foto ST

Pengerusi Singtel, Encik Lee Theng Kiat, telah meminta bayaran lebih rendah bagi khidmatnya sebagai pengerusi syarikat itu bagi tahun kewangan (FY) 2023 berakhir Mac.

Beliau telah menerima $960,000 sebagai yuran pengerusi, bukannya yuran keseluruhan sebanyak $1.15 juta.

Encik Lee juga telah meminta jumlah rendah yang sama bagi FY 2024, menurut laporan tahunan Singtel 2023 yang dikeluarkan pada Selasa.

Syarikat itu juga menyatakan pengerusinya menerima faedah berkaitan kereta sebanyak $15,908 bagi FY 2023.

Pada FY 2023, Encik Lee tidak hadir satu daripada empat mesyuarat jawatankuasa tadbir urus korporat dan pencalonan, dan kedua-dua mesyuarat jawatankuasa penasihat Optus.

Dalam laporan kemampanan berasingan yang dikeluarkan pada Selasa, Singtel menyatakan ia akan mempercepat matlamat sifar bersihnya kepada 2045 dari 2050.

Ini akan dicapai dengan mengurangkan penggunaan tenaga, meningkatkan kecekapan tenaga dan meningkatkan perkadaran penggunaan elektrik yang dijana sumber tenaga diperbaharui, kata syarikat itu.

Singtel juga telah mengemas kini sasaran berasaskan sains 2030 untuk memastikan syarikat itu sejajar dengan senario iklim 1.5 darjah Celsius, seperti yang terkandung dalam Perjanjian Paris. Sasaran itu masih menanti pengesahan daripada inisiatif Sasaran Berasaskan Sains.

Di bawah program pembiayaan kemampanan syarikat itu, ia mengeluarkan bon berkaitan kemampanan dan dua kemudahan kredit berkaitan kemampanan dengan sasaran prestasi kemampanan (SPT) berkaitan iklim pada FY 2023.

Ini termasuk bon berkaitan kemampanan digital sebanyak AS$100 juta ($135 juta), kemudahan kredit pusingan berkaitan kemampanan bernilai $500 juta dan kemudahan kredit pusingan berkaitan kemampanan bernilai A$1.4 bilion ($1.3 bilion).

Syarikat itu juga menyatakan bahawa jumlah pelepasan gas rumah hijaunya pada FY 2023 merentas ketiga-tiga skop pelepasan berjumlah 4,007,299 tan bersamaan karbon dioksida (tCO2e), turun 53.6 peratus berbanding FY 2022.

Pelepasan Skop 1 dan 2 berada pada 438,957 tCO2e, 11.3 peratus lebih rendah daripada FY 2022 dan 20.5 peratus lebih rendah daripada garis dasar Singtel 2015.

Ia menambah bahawa ia telah memenuhi SPTnya untuk pinjaman dan bon berkaitan kemampanannya untuk tahun tersebut.

Saham Singtel ditutup rendah dua sen, atau 0.8 peratus, pada $2.48 pada Isnin sebelum laporan dikeluarkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg