Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengilangan S’pura naik 2.9% pada Mei susuli pemulihan elektronik

Jun 26, 2024 | 5:53 PM
Semikonduktor, yang membentuk kira-kira 41 peratus daripada jumlah keluaran kilang, melonjak 20.6 peratus.
Semikonduktor, yang membentuk kira-kira 41 peratus daripada jumlah keluaran kilang, melonjak 20.6 peratus. - Foto ST

Pengeluaran sektor perkilangan Singapura bertukar positif pada Mei, didorong oleh pemulihan dalam sektor elektronik utama.

Jumlah keluaran meningkat lebih baik daripada jangkaan 2.9 peratus tahun ke tahun pada Mei, selepas turun 1.2 peratus disemak pada April dan penguncupan 9.2 peratus dialami pada Mac.

Ahli ekonomi dalam tinjauan Bloomberg meramalkan pengembangan 1.4 peratus, lapor akhbar The Straits Times.

Tidak termasuk industri bioperubatan yang lebih tidak menentu, pengeluaran meningkat 10.1 peratus, menurut data yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Ekonomi (EDB) pada 26 Jun,

Berdasarkan pelarasan musim bulan ke bulan, pengeluaran meningkat sebanyak 1.1 peratus pada bulan Mei. Tidak termasuk pembuatan bioperubatan, ia meningkat 7.7 peratus.

Industri elektronik, yang menyumbang hampir separuh daripada pengeluaran pengilangan Singapura, menyaksikan pengeluaran berkembang sebanyak 20.1 peratus tahun ke tahun, selepas menyusut 1.1 peratus pada April.

Dalam bidang elektronik, semikonduktor, yang membentuk kira-kira 41 peratus daripada jumlah keluaran kilang, melonjak 20.6 peratus.

Segmen modul dan komponen elektronik lain meningkat 30.2 peratus berikutan pesanan yang lebih baik, manakala peranti komputer dan storan data meningkat 24.9 peratus, dan pengeluaran elektronik pengguna naik 7 peratus.

Pakar ekonomi DBS Bank, Encik Chua Han Teng, berkata prestasi kelompok elektronik itu akan memainkan peranan penting kepada pemulihan kilang Singapura pada 2024.

Beliau berkata: “Pengeluaran elektronik mula naik pada Mei, selepas lemah dalam empat bulan pertama 2024, dan ia akan menjadi kunci untuk melihat rentak positif yang berterusan di tengah-tengah kitaran teknologi global yang sedang meningkat.

“Kitaran teknologi global mungkin akan disokong oleh penggantian telefon pintar dan komputer peribadi, serta meluaskan penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI).”

Sebaliknya, industri perkilangan bioperubatan mempamerkan prestasi paling teruk pada Mei, dengan pengeluaran menjunam 42.6 peratus tahun ke tahun.

Dalam kelompok itu, pengeluaran segmen teknologi perubatan meningkat 7.8 peratus, berikutan eksport peranti perubatan yang lebih tinggi.

Tetapi segmen farmaseutikal menguncup 67.2 peratus disebabkan campuran berbeza bahan farmaseutikal aktif, yang dihasilkan berbanding setahun lalu.

Pengeluaran dalam sektor kejuruteraan pengangkutan meningkat 7.8 peratus pada Mei, berbanding bulan yang sama pada 2023.

Segmen kejuruteraan marin dan luar pesisir menunjukkan usaha baik dengan pengembangan sebanyak 16 peratus, berikutan tahap aktiviti yang lebih tinggi di limbungan kapal, serta peningkatan pengeluaran dalam peralatan medan minyak dan gas.

Segmen aeroangkasa berkembang 6.9 peratus hasil daripada permintaan yang lebih tinggi untuk bahagian pesawat dan lebih banyak kerja penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih daripada syarikat penerbangan komersial.

Dalam industri kejuruteraan ketepatan, pengeluaran jatuh 8.3 peratus tahun ke tahun dengan semua segmen merekodkan penyusutan pengeluaran.

Segmen jentera dan sistem menguncup 5.6 peratus, diterajui oleh pengeluaran peralatan semikonduktor dan peralatan kawalan proses yang lebih rendah.

Pengeluaran perkilangan umum jatuh 4.4 peratus berbanding Mei 2023, terjejas oleh pengeluaran yang lebih rendah dalam segmen industri percetakan.

Tetapi segmen makanan, minuman dan tembakau meningkat 0.3 peratus.

Ketua ekonomi OCBC Bank, Cik Selena Ling, berkata ekonomi global berada di landasan untuk pemulihan bertahap.

“Tapak pertumbuhan global kukuh... Ini akan memberi manfaat kepada sektor perkilangan Singapura, tetapi terdapat kebimbangan ketegangan Amerika Syarikat-China mungkin muncul semula menjelang pilihan raya Amerika,” katanya.

Ahli ekonomi Maybank, Encik Brian Lee, menyatakan bahawa peningkatan dalam pengeluaran menunjukkan bahawa pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) suku kedua Singapura boleh mengukuh kepada sekitar 3 peratus.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg