Peniaga di Asia Tenggara perlu manfaat peluang, sesuaikan diri dengan perubahan pesat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peniaga di Asia Tenggara perlu manfaat peluang, sesuaikan diri dengan perubahan pesat

Tan See Leng: Perniagaan perlu bina ketahanan melalui kepelbagaian
Jan 27, 2026 | 5:56 PM

Peniaga di Asia Tenggara perlu manfaat peluang, sesuaikan diri dengan perubahan pesat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Perniagaan di Asia Tenggara perlu manfaatkan peluang, sesuaikan diri dengan perubahan, ahli panel, The Business Times Global (BT Global), Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng.
Perbincangan panel semasa pelancaran rasmi The Business Times Global (BT Global) pada 26 Januari disertai (dari kiri) Timbalan CEO SPH Media, Encik Kuek Yu Chuang; Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengasas bersama Kopi Kenangan, Encik Edward Tirtanata; dan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Amity, Encik Korawad Chearavanont. - Foto BT

Dalam persekitaran global yang tidak menentu dan trend teknologi yang bergerak pantas, perniagaan di Asia Tenggara perlu memanfaatkan peluang di rantau ini dengan menyesuaikan diri kepada perubahan, bukan menentangnya.

Perkara ini dinyatakan ahli panel semasa pelancaran rasmi The Business Times Global (BT Global) di Hotel The St. Regis di Tanglin Road pada 26 Januari.

Turut menyertai perbincangan tersebut ialah Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng.

Menurut beliau, perubahan geopolitik akan terus memaksa perniagaan di rantau ini menyesuaikan diri dengan cepat.

Dengan perubahan seperti ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China mengancam rantaian bekalan dan perniagaan rentas sempadan, Dr Tan berkata perniagaan perlu membina ketahanan melalui kepelbagaian.

“Pasaran sentiasa berubah, dan tidak semua perniagaan boleh menyesuaikan diri dengan segera,” kata Dr Tan.

Ketahanan sedemikian boleh dibina dengan memberi fleksibiliti lebih besar untuk membuat pilihan antara jaringan perniagaan utama, termasuk dalam rantaian bekalan atau pasaran sasaran, jelas Dr Tan.

“Jika satu aspek berdepan banyak halangan, anda mempunyai alternatif lain,” tambahnya.

Perkara ini turut disokong oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengasas bersama rangkaian kopi Indonesia, Kopi Kenangan, Encik Edward Tirtanata, yang berkata syarikat itu telah memilih strategi kepelbagaian dalam operasi.

Strategi ini diterapkan daripada penyedia perkhidmatan awan hingga kepada pembekal kopi, seiring ketidaktentuan sejagat yang semakin meningkat.

Perbincangan panel yang dikendalikan oleh Timbalan CEO SPH Media, Encik Kuek Yu Chuang, turut menyatakan keyakinan mereka terhadap potensi pertumbuhan Asia Tenggara, serta usaha perniagaan serantau dalam memperluas jangkauan rentas sempadan mereka.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif syarikat teknologi Amity, Encik Korawad Chearavanont, berkata reputasi rantau ini yang berkecuali dan terbuka kepada perniagaan menjadikan rakan kongsi dari serata dunia cenderung menjalankan kerjasama di sini meskipun wujud ketegangan perdagangan.

Beliau menambah, kumpulan bakat teknologi berkemahiran tinggi di Asia Tenggara turut menjadi faktor penting yang membolehkan Amity berkembang secara sejagat.

“Terdapat banyak peluang bagi teknologi Asia Tenggara menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Pada masa yang sama, transformasi teknologi sebegini, terutama melalui kecerdasan buatan (AI), berpotensi membawa gangguan kepada pekerjaan, namun ia turut meningkatkan keberkesanannya, tambah Encik Tirtanata.

Menurut Encik Tirtanata, Kopi Kenangan menggunakan AI untuk menyaring resume calon pekerja, manakala para pekerja juga boleh menggunakan teknologi ini untuk menganalisis data kewangan perniagaan dengan mudah.

Sementara itu, Encik Korawad berkata banyak sektor masih berdepan kesukaran menggunakan sistem AI untuk menggantikan pekerja manusia.

Ini menunjukkan tenaga kerja masih boleh memanfaatkan teknologi ini untuk melengkapkan peranan pekerja manusia, dan bukan menggantikan mereka.

Sebagai contoh, bot suara dipacu AI Amity digunakan untuk membuat 10 hingga 12 juta panggilan sehari, namun ia masih belum mampu menggantikan jururawat dalam sektor penjagaan kesihatan yang membuat janji temu melalui telefon.

“Ini memberi kami masa untuk menyesuaikan tenaga kerja dan benar-benar belajar bagaimana untuk meningkatkan daya penghasilan dengan AI,” katanya.

Justeru itu, Dr Tan berkata daripada bimbang tentang trend seperti AI, syarikat serantau sepatutnya menyesuaikan diri dan bertindak terhadap perubahan bagi memanfaatkan peluang pertumbuhan.

“Saya rasa syarikat tradisional yang enggan berinovasi dan membuat perubahan akan memasuki fasa kemerosotan,” ujar Dr Tan.

“Itulah hakikat semua perniagaan,” katanya lagi.

Dr Tan menyatakan pihak berkuasa serantau akan terus menyokong ekonomi masing-masing melalui perubahan transformatif ini – sama ada melalui perkongsian seperti Perjanjian Kerangka Ekonomi Digital Asean atau dengan menaik taraf perjanjian perdagangan bebas sedia ada.

Namun, beliau tetap menegaskan kepentingan syarikat membina ketahanan untuk menyesuaikan perniagaan mereka dengan perubahan ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg