Lebih 200,000 perniagaan kecil dan 2,000 badan amal di sini kini dapat mengemukakan aduan terhadap institusi atau syarikat kewangan berlesen kepada Pusat Huraian Pertikaian Perusahaan Kewangan (Fidrec), mulai 1 Julai.
Perniagaan kecil merujuk kepada syarikat berdaftar yang beroperasi di Singapura dengan jumlah jualan tahunan sebanyak $1 juta atau kurang, dalam tempoh dua tahun kewangan yang lalu.
Fidrec, yang mengendalikan pertikaian kewangan pengguna, menyatakan bahawa khidmatnya kini turut meliputi pelbagai tuntutan di bawah skop perkhidmatan yang diperluas.
Ini termasuk pertikaian mengenai insurans perubatan pekerja, insurans kenderaan syarikat, khidmat perbankan perniagaan, akaun kad korporat, dan perjanjian pinjaman, lapor The Straits Times (ST).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Fidrec, Cik Eunice Chua, berkata bahawa perniagaan kecil dan badan amal di sini sering menghadapi kesukaran yang sama seperti pengguna individu dalam menangani pertikaian kewangan, selain mengurus operasi harian perniagaan mereka.
“Rundingan awam kami pada 2024 menunjukkan sokongan padu untuk membolehkan perniagaan kecil mendapatkan khidmat Fidrec dengan lebih mudah, walaupun kami menangguhkan pelaksanaan perubahan ini bagi menangani kebimbangan yang disuarakan,” ujar beliau.
“Peluasan skop perkhidmatan Fidrec ini seiring dengan usaha Singapura yang lebih meluas untuk mengukuhkan sokongan kepada perniagaan kecil, dan membina sektor bukan meraih keuntungan yang lebih berdaya tahan,” tambahnya.
Pengarah Persatuan Bank Singapura (ABS), Cik Ong-Ang Ai Boon, berkata bahawa usaha meluaskan skop perkhidmatan Fidrec bagi membantu perniagaan kecil dan badan amal, adalah langkah yang disambut baik oleh sektor perbankan.
“Segmen ini, yang sering bergantung kepada perkhidmatan perbankan, kini mempunyai akses lebih baik kepada huraian pertikaian yang adil dan bebas.
“Ini mengukuhkan lagi keyakinan dalam ekosistem kewangan yang lebih luas,” katanya.
Fidrec adalah satu-satunya institusi huraian pertikaian kewangan di Singapura yang membantu pengguna menyelesaikan pertikaian dengan institusi kewangan berlesen, termasuk bank, syarikat insurans hayat dan penasihat kewangan, melalui pengantaraan atau proses adjudikasi.
Sekiranya timbul pertikaian antara pelanggan dengan sesebuah firma kewangan, pihak yang terlibat boleh memfailkan aduan dengan Fidrec.
Jika pengantaraan gagal menghasilkan huraian yang memuaskan, pengadu boleh memilih untuk membenarkan orang tengah yang membuat keputusan apabila berlaku pertikaian memberi keputusan berdasarkan fakta dan merit kes berkenaan.
Badan bebas tersebut telah mengendalikan lebih 23,000 tuntutan sejak ia ditubuhkan pada 2005.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg