Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penting bagi peniaga Melayu/Islam kekal relevan sedang ekonomi pesat berubah: See Leng

Aug 14, 2023 | 4:30 PM
KONGSI PENGALAMAN: Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng, berkongsi pengalamannya sebagai seorang usahawan bersama lembaga pengarah dan anggota Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) pada Jumaat di Wisma Geylang Serai.
KONGSI PENGALAMAN: Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng, berkongsi pengalamannya sebagai seorang usahawan bersama lembaga pengarah dan anggota Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) pada Jumaat di Wisma Geylang Serai. - Foto DPPMS

Sebelum menyertai politik pada 2020, Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng, terkenal sebagai seorang usahawan mapan.

Antara pencapaiannya termasuk sebagai pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Healthway Medical Group di Singapura dari 1993 hingga 2002, dengan beliau berjaya mengembangkan operasi syarikat itu ke 40 lokasi dengan perolehan $20 juta setahun, menjadikannya penyedia penjagaan kesihatan terkemuka swasta kedua terbesar di Singapura.

Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan di IHH HealthCare Berhad dari 2014 hingga 2019 dengan syarikat itu berjaya menggandakan pendapatannya daripada RM6 bilion ($1.67 bilion) kepada RM12 bilion.

Lantas, tidak hairan apabila Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) mengundang beliau untuk berkongsi pengalamannya yang luas bersama sebilangan peniaga dan usahawan muda Melayu/Islam pada Jumaat di Wisma Geylang Serai.

Dalam dialog yang diadakan bersama lembaga pengarah dan anggota DPPMS, serta wakil dari Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Enterprise Singapore (EnterpriseSG), Dr Tan turut berkongsi pengalamannya sebagai seorang usahawan dalam memimpin beberapa syarikat bagi mengharungi arus cabaran ekonomi yang tidak menentu.

“Kami membincangkan cabaran ekonomi yang akan datang, serta pelbagai peluang yang perlu dimanfaatkan oleh perniagaan untuk berkembang maju dalam ekonomi masa depan.

“Saya juga berkongsi pendapat tentang pentingnya untuk kekal relevan di tengah-tengah perubahan ekonomi yang pesat, terutama dalam bidang pendigitalan dan kemampanan,” kata Dr Tan dalam satu catatan Facebook.

Dialog yang dihadiri sekitar 30 peniaga dan wakil itu dianjurkan oleh DPPMS bagi membincangkan kebimbangan yang dihadapi masyarakat perniagaan Melayu, sambil mengetengahkan cabaran yang bakal dihadapi dan peluang yang boleh diraih dalam bidang pendigitalan, kemampanan dan pengilangan termaju.

Ia juga bertujuan merapatkan jurang antara dasar pemerintah dengan landskap perniagaan yang berkembang, menurut DPPMS.

“Kami bincang tentang perlunya bagi perniagaan menyesuaikan diri dan lincah.

“Dr Tan berkongsi pandangan berdasarkan pengalamannya sebagai ahli perniagaan, menekankan nilai pembelajaran daripada pengalaman ‘kehidupan lalu’ untuk mengemudi usaha masa depan,” kata presiden DPPMS, Encik Abu Bakar Mohd Nor.

“Kami meneroka bagaimana amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) boleh memberi faedah yang pelbagai. Daripada menarik pelabur dan pelanggan kepada memupuk penglibatan pekerja dan memastikan masa depan yang mampan, amat jelas bahawa ESG adalah kompas yang membimbing kita ke hadapan,” tambah beliau.

Menurut DPPMS, beberapa siri dialog bersama peniaga Melayu/Islam dan pemerintah akan dianjurkan bagi melengkapkan anggotanya dengan pandangan dan nasihat bagi membantu peniaga tempatan mengharungi landskap perniagaan yang kian berubah-ubah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg