Perebutan antara bapa dengan anak untuk mengawal syarikat gergasi hartanah City Developments Limited (CDL) terbongkar pada 26 Februari, dengan pengerusi eksekutif, Encik Kwek Leng Beng, secara terbuka mengkritik anaknya, Encik Sherman Kwek, yang merupakan ketua eksekutif kumpulan CDL.
Encik Kwek Leng Beng berkata beliau telah memfailkan kertas mahkamah untuk menangani “cubaan rampasan kuasa” oleh anaknya, Encik Sherman Kwek, 49 tahun; dua ahli lembaga pengarah, Encik Philip Lee dan Cik Wong Ai Ai; serta sekumpulan pengarah yang didakwa bertindak bersama mereka untuk menyatukan kawalan lembaga CDL.
“Ini adalah perlu untuk menangani percubaan rampasan kuasa ini di peringkat lembaga dan memulihkan keutuhan korporat.
“Kami berhasrat menukar ketua pegawai eksekutif (CEO) pada masa yang sesuai. Kami akan terus meneroka semua pilihan undang-undang yang ada kepada kami untuk mempertahankan dan melindungi kepentingan CDL dan pemegang sahamnya dengan bersungguh-sungguh,” kata Encik Kwek Leng Beng, yang akan berusia 84 tahun pada 2025, lapor The Straits Times.
Encik Kwek Leng Beng mendakwa kumpulan Encik Sherman Kwek telah memintas jawatankuasa pencalonan (NC) dua kali untuk menukar komposisi lembaga pengarah, dan tergesa-gesa membuat susulan dengan membuat perubahan ketara kepada jawatankuasa lembaga pengarah dan tadbir urus CDL.
Ini, katanya, bertentangan dengan prinsip tadbir urus korporat yang ditetapkan, Peraturan Penyenaraian Bursa Singapura dan Kod Tadbir Urus Korporat.
Pendedahan itu datang ketika Encik Kwek Leng Beng memperincikan rangkaian peristiwa dari Januari yang mendedahkan pergaduhan keluarga berhubung syarikat pemaju tersenarai di Singapura bernilai $4.7 bilion itu yang mempunyai hartanah di hampir 30 negara.
Encik Kwek Leng Beng berkata pada 28 Januari, hari sebelum Tahun Baru Cina, setiausaha korporat CDL telah menghantar e-mel kepada lembaga itu mengenai Encik Lee dan Cik Wong mencalonkan dua pengarah bebas tambahan.
Pada 7 Februari, lembaga CDL mengumumkan kelulusan pelantikan Cik Jennifer Duong Young, yang pernah bertugas di Credit Suisse selama 21 tahun, sebagai pengarah bebas bukan eksekutif berikutan peletakan jawatan Encik Tan Kian Seng.
Lembaga pengarah itu juga meluluskan pelantikan Cik Wong Su Yen sebagai pengarah bebas bukan eksekutif.
Cik Wong dikatakan mempunyai lebih 30 tahun pengalaman merentasi pelbagai perusahaan termasuk teknologi tinggi, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan profesional, pendidikan, peruncitan dan sektor awam.
Keesokan harinya, Encik Kwek Leng Beng mempersoalkan keperluan untuk melantik dua pengarah baru tanpa pemeriksaan sewajarnya.
“Sebagai bapa, memecat anak saya sememangnya bukan satu keputusan yang mudah.
“Saya menerima bahawa keputusan perniagaan adalah sukar dan orang muda mungkin melakukan kesilapan perniagaan dalam kerjaya mereka dan itu boleh difahami, tetapi memintas undang-undang tadbir urus korporat adalah satu garis merah.
“Sebagai pengerusi, tanggungjawab saya adalah kepada CDL, pemegang sahamnya, dan masa depannya. Saya mengambil serius peranan saya sebagai pengerusi eksekutif dan sentiasa mengutamakan kepentingan semua pemegang saham, bukan hanya kepentingan keluarga saya.
“Pertaruhannya terlalu tinggi untuk membenarkan rampasan kuasa melulu menjejaskan kestabilan syarikat,” kata Encik Kwek Leng Beng.
“
“Sebagai bapa, memecat anak saya sememangnya bukan satu keputusan yang mudah.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg