SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Dua inisiatif baru dilancar perkukuh upaya, tadbir urus persatuan dagang, dewan niaga

Dua inisiatif baru dilancar perkukuh upaya, tadbir urus persatuan dagang, dewan niaga

Apr 9, 2026 | 1:45 PM

Dua inisiatif baru dilancar perkukuh upaya, tadbir urus persatuan dagang, dewan niaga

Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, dalam Sidang Kemuncak TAC 2026, pada 9 April di Hotel Grand Copthorne Waterfront.
Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, dalam Sidang Kemuncak TAC 2026, pada 9 April di Hotel Grand Copthorne Waterfront. - Foto SBF

Dua inisiatif baru dilancarkan pada 9 April untuk memperkasa pembangunan keupayaan dan tadbir urus Persatuan Perdagangan dan Dewan Perniagaan (TAC) sebagai sebahagian daripada usaha lebih besar untuk meningkatkan keberkesanannya.

Inisiatif pertama, Rangka Kerja Pengukuran TAC, dibangunkan oleh Enterprise Singapore (EnterpriseSG).

Ia menampilkan alat diagnostik kendiri dan buku panduan langkah demi langkah, membolehkan TAC menilai keupayaan mereka merentasi pelbagai fungsi dan amalan organisasi.

“Ini seterusnya membantu TAC mengenal pasti jurang, dan mengutamakan pembangunan serta pengukuhan,” jelas EnterpriseSG.

Dibangunkan dengan sokongan 60 TAC dan PwC Singapore, rangka kerja baru itu meluaskan Rangka Kerja Tadbir Urus TAC sedia ada kepada enam bidang keupayaan organisasi tambahan iaitu kepimpinan; sumber manusia dan perubahan organisasi; kestabilan kewangan; kedudukan industri dan rekod prestasi; saranan nilai; serta teknologi.

Presiden Persatuan Syarikat-syarikat Kecil dan Sederhana (ASME), Encik Ang Yuit, berkata rangka kerja baru itu menyediakan cara berstruktur untuk menilai dan meningkatkan keberkesanan persatuan, membolehkan mereka “beroperasi pada tahap terbaik untuk ahli kami”.

Pengerusi EnterpriseSG, Encik Lee Chuan Teck, menyifatkan TAC sebagai “rakan penting dalam memacu pembangunan perusahaan dan sektor” dan ekosistem yang kukuh akan menyokong perniagaan mengharungi persekitaran sejagat yang kian rumit.

Daya usaha kedua, Lencana Pengarah TAC Bertauliah, telah dilancarkan oleh Institut Pengarah Singapura (SID) sebagai pengiktirafan kepada kepakaran khusus pengarah.

Disokong oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), lencana itu “mengesahkan kecekapan pengarah dalam prinsip dan tanggungjawab tadbir urus korporat”.

Ia merangkumi kefahaman kukuh tentang Kod Tadbir Urus Korporat, Rangka Kerja Tadbir Urus TAC, serta Kod Tadbir Urus bagi Pertubuhan Berdaftar.

Lencana tersebut dikeluarkan secara digital untuk “pengiktirafan segera dan boleh disahkan,” serta boleh dilihat pada wadah digital seperti Accredible dan LinkedIn.

Kedua-dua daya usaha itu diumumkan sempena pembaharuan Perikatan TAC 2.0, yang dilancarkan Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, pada 9 April semasa Sidang Kemuncak TAC 2026 di Hotel Grand Copthorne Waterfront.

Peningkatan konflik di Timur Tengah telah menyebabkan Singapura berdepan dengan prospek pertumbuhan yang perlahan serta inflasi yang lebih tinggi, akibat gangguan terhadap bekalan sejagat, kata Cik Low.

Dalam tempoh mencabar ini, beliau menyatakan bahawa TAC “berada dalam kedudukan yang baik untuk membina perkongsian erat” dalam kalangan ahli mereka dan merentasi pelbagai sektor, dan semangat perpaduan itu akan membantu mengukuhkan perusahaan serta membolehkan mereka mengatasi cabaran yang mendatang.

“Apabila TAC menggabungkan sumber, pengetahuan dan kepakaran, mereka mewujudkan kesan berganda yang memberi manfaat kepada ahli, syarikat, persatuan dan seluruh ekosistem perniagaan,” tambah Cik Low.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg