Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerjanjian M1-Simba dibatalkan selepas semakan IMDA digantung
Perjanjian M1-Simba dibatalkan selepas semakan IMDA digantung
Perjanjian M1-Simba dibatalkan selepas semakan IMDA digantung
Syarikat tersenarai di Australia, Tuas Limited, yang merupakan pemilik pengendali syarikat telekomunikasi Simba, berkata ia telah menamatkan perjanjian jual beli untuk memperoleh saham dalam syarikat telekomunikasi, M1.
Pengambilalihan M1, yang dimiliki oleh Keppel, pengurus aset berpangkalan di Singapura, telah diumumkan pada 11 Ogos 2025.
Mengikut terma perjanjian, kontrak ini akan tamat jika syarat-syarat yang ditetapkan gagal dipenuhi atau dikecualikan sebelum tarikh 21 Mei.
Tarikh ini merupakan tarikh akhir perjanjian (long-stop date) yang membenarkan penamatan tanpa sebarang penalti sekiranya syarat-syarat itu tidak dipenuhi.
Simba akan terus memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan yang sedang dijalankan oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media Singapura (IMDA) berhubung kemungkinan pelanggaran Akta Telekomunikasi dan syarat lesen pengendali Simba, kata Tuas dalam kenyataan ASX pada 22 Mei.
Tuas akan terus memaklumkan perkembangan terkini kepada para pemegang saham berkaitan siasatan tersebut.
Sementara itu, Tuas menambah bahawa Simba akan terus mengendalikan perniagaannya dalam pasaran telekomunikasi Singapura.
Keppel telah membiarkan perjanjian bernilai $1.43 bilion itu luput pada 21 Mei selepas IMDA menggantung semakan terhadap cadangan perjanjian berkenaan.
Penggabungan antara Simba dan M1 itu sepatutnya menjadi detik bersejarah yang menyaksikan penggabungan syarikat telekomunikasi pertama dalam sejarah Singapura.
IMDA berkata pihaknya sedang menyiasat sama ada Simba telah menggunakan jalur frekuensi radio yang tidak diperuntukkan kepadanya untuk menyediakan perkhidmatan mudah alih.
Jika disahkan, ia merupakan satu pelanggaran yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Sebelum ini, IMDA sedang meneliti kesan penggabungan tersebut terhadap dinamik persaingan pasaran serta kesannya kepada kepentingan masyarakat umum secara menyeluruh.
Penilaian itu turut bertujuan memastikan terdapat daya ketahanan prasarana komunikasi negara daripada ancaman siber yang kian meruncing dalam landskap digital masa kini, tegas IMDA.
“Oleh kerana M1 mengendalikan rangkaian mudah alih dan jalur lebar yang besar di Singapura, penilaian tersebut sememangnya perlu dilakukan secara terperinci dan menyeluruh,” kata IMDA.
“Ketika semakan sedang dijalankan, IMDA mendapat tahu Simba mungkin telah menggunakan jalur frekuensi radio yang tidak diperuntukkan, demi tujuan penyediaan perkhidmatan mudah alih.”
Pihak berkuasa, tambah IMDA, kini sedang menyiasat isu tersebut dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan.
Simba, entiti milik syarikat Tuas yang tersenarai di Australia, ditubuhkan pada Mac 2020 sebagai sebahagian Kumpulan TPG Australia.
Penjenamaan semula syarikat telekomunikasi itu berlaku pada 2022, selepas hak penggunaan jenama TPG luput.
Kegagalan penggabungan M1 dan Simba, masing-masing pemain ketiga dan keempat terbesar Singapura, menjunamkan saham Tuas lebih 60 peratus pada 18 Mei, sejurus kenyataan IMDA.
Dalam pada itu, saham Keppel melonjak pada 22 Mei, mengesahkan penamatan jualan perniagaan telekomunikasi M1 kepada Simba Telecom.
Saham Keppel melonjak 6.1 peratus atau $0.64 kepada $11.06 setakat 9.04 pagi, dengan 932,800 saham bertukar tangan.
Walaupun merosot sedikit, saham Keppel kekal didagangkan pada $10.93 pada 2 petang, mencatatkan kenaikan sebanyak 4.89 peratus atau $0.51.
