CALGARY (Canada): Permintaan bagi minyak dijangka kekal kukuh sepanjang dua setengah dekad akan datang sejajar dengan pertumbuhan penduduk dunia, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (Opec), Encik Haitham Al Ghais, pada 11 Jun.
Organisasi itu menjangkakan peningkatan sebanyak 24 peratus dalam keperluan tenaga dunia antara sekarang dengan 2050, dengan permintaan minyak melebihi 120 juta tong sehari dalam tempoh tersebut.
Anggaran itu selaras dengan jangkaan dalam Laporan Tinjauan Minyak Dunia 2024 oleh kumpulan tersebut.
“Tiada tanda bahawa permintaan minyak akan memuncak dalam masa terdekat,” kata Encik Al Ghais ketika berucap di acara ‘Global Energy Show’ di Calgary, Alberta.
Beliau turut menyatakan bahawa Opec mengagumi usaha perusahaan minyak Canada yang berjaya meningkatkan pengeluaran minyak dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Canada mencatatkan pengeluaran minyak tertinggi dalam sejarah pada 2024, berikutan siapnya projek pengembangan saluran paip Trans Mountain yang meningkatkan keupayaan syarikat-syarikat minyak memasarkan produk mereka.
Encik Al Ghais berkata bahawa Opec telah secara konsisten memberi amaran tentang bahaya kekurangan pelaburan global dalam sektor minyak dan gas, memandangkan ramalannya mengenai peningkatan permintaan.
Beliau berkata kegagalan melaburkan modal yang mencukupi bagi memenuhi pertumbuhan permintaan, boleh menjejaskan keselamatan tenaga dan menyebabkan ketidaktentuan kepada pengeluar dan pengguna.
Beliau menambah bahawa Opec percaya sebanyak AS$17.4 trilion (kira-kira $22.4 trilion) pelaburan modal diperlukan dalam sektor tenaga global sepanjang 25 tahun akan datang.
Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak dan sekutunya (Opec+) sedang melonggarkan pemotongan pengeluaran pada kadar yang lebih pantas daripada jangkaan awal, dengan peningkatan pengeluaran sebanyak 411,000 tong sehari untuk Mei, Jun dan Julai.
Peningkatan ini, bersama kebimbangan bahawa perang perdagangan yang dilancarkan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, akan melemahkan ekonomi global, telah memberi tekanan terhadap harga minyak dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Dalam pada itu, penanda aras minyak global Brent diniagakan AS$66.87 setong pada 11 Jun.
Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA) berkata ia menjangkakan harga minyak Brent akan jatuh kepada hampir AS$60 setong menjelang akhir 2025 dan purata AS$59 setong pada 2026, sekali gus menjejaskan pengeluaran minyak Amerika.
Encik Al Ghais juga berkata Opec menyambut baik tentangan terkini terhadap apa yang beliau rujuk sebagai matlamat iklim yang tidak realistik kerana terlalu menekankan pematuhan terhadap tarikh akhir tertentu.
Menurutnya, memang wujud keperluan untuk negara-negara mengurangkan pelepasan karbon, namun menegaskan ini tidak bermakna memilih dan meminggirkan sumber tenaga tertentu.
Sebaliknya, katanya, pemerintah dan syarikat seharusnya mencari cara untuk mengurangkan pelepasan daripada minyak dan gas melalui teknologi seperti penangkapan dan penyimpanan karbon. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg