Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perang dagang sejagat: Risiko dan peluang bagi Dunia Arab

Tetap terkena tempias tarif dagang Amerika Syarikat melalui turun naik harga minyak, kekuatan dolar atau ketegangan dalam hubungan dagang dunia
Mar 24, 2025 | 5:30 AM
Bagi negara yang amat bergantung kepada barangan luar seperti Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain, dolar Amerika yang kuat, akan menjadikan barangan import lebih mahal dan ini akan menaikkan kos sara hidup rakyat dan mengurangkan kuasa beli.
Bagi negara yang amat bergantung kepada barangan luar seperti Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain, dolar Amerika yang kuat, akan menjadikan barangan import lebih mahal dan ini akan menaikkan kos sara hidup rakyat dan mengurangkan kuasa beli. - Foto AFP

DUBAI: Ketika Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, meneruskan dasar perlindungan ekonominya dengan mengenakan tarif ke atas negara seperti China, Mexico, Canada dan Kesatuan Eropah, gelombang ketidaktentuan turut merebak ke rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (Mena).

Secara umum, negara Teluk seperti Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Oman, Kuwait dan Bahrain masih belum menjadi sasaran tarif langsung oleh Amerika.

Ini memberikan gambaran seolah-olah Timur Tengah “terlindung” daripada gelombang pertama perang tarif yang dicetuskan oleh Presiden Amerika itu.

Walaupun negara Teluk masih terselamat daripada beban tarif secara langsung, bahang perang perdagangan itu tetap terasa – sama ada melalui turun naik harga minyak, kekuatan dolar, ataupun ketegangan dalam hubungan dagang peringkat sejagat.

Sektor tenaga masih menjadi nadi ekonomi bagi kebanyakan negara Teluk.

Dalam konteks perang perdagangan sejagat, permintaan terhadap minyak mentah boleh terjejas jika pertumbuhan ekonomi dunia menjadi perlahan.

Minyak mentah kekal sebagai sumber utama pendapatan negara Teluk.

Dalam keadaan perang perdagangan, apabila pertumbuhan sejagat mula perlahan, permintaan terhadap minyak turut menurun.

Ini akan menyebabkan harga minyak jatuh, seperti yang telah berlaku sebelum ini.

Dengan demikian, ia akan memberi tekanan kepada harga minyak, sekali gus mengurangkan pendapatan utama negara-negara pengeksport itu.

Pakar ekonomi Standard Chartered untuk Mena, Cik Carla Slim, menjelaskan:

“Kesan tidak langsung tarif ke atas harga minyak adalah kebimbangan utama bagi negara-negara Teluk. Ketidaktentuan ekonomi makro dunia akan menjadi penghalang kepada kestabilan harga minyak Brent.”

Bagi negara seperti Arab Saudi yang menjalankan pelan reformasi ekonomi besar-besaran seperti Wawasan 2030 untuk mengurangkan kebergantungan kepada minyak, kejatuhan harga minyak boleh melambatkan perubahan tersebut.

Kebanyakan negara Teluk seperti Arab Saudi, UAE, Bahrain, Oman dan Qatar menetapkan nilai mata wang mereka terhadap dolar Amerika.

Dalam jangka pendek, pengukuhan dolar hasil ketegangan perdagangan akan menaikkan pendapatan eksport minyak – kerana minyak diniagakan dalam dolar.

Namun, ada juga risikonya – dolar yang kuat menjadikan barangan import lebih mahal.

Bagi negara yang amat bergantung kepada barangan luar seperti UAE dan Bahrain, ini akan menaikkan kos sara hidup rakyat dan mengurangkan kuasa beli.

Lebih membimbangkan, negara yang mempunyai hutang luaran tinggi dalam dolar – seperti Mesir, Jordan dan Lebanon – akan berdepan kos pembayaran hutang yang meningkat.

Ketua Ekonomi Sementara di Emirates NBD, Encik Edward Bell, berkata:

“Bagi ekonomi seperti Lebanon dan Jordan, risiko pembayaran hutang adalah nyata dan boleh mencetuskan tekanan ekonomi yang lebih besar.”

Menurut pakar ekonomi pasaran sedang pesat membangun di Capital Economics, Encik James Swanston, Jordan merupakan negara paling terdedah kerana hampir 25 peratus eksportnya – terutama tekstil dan barang kemas bergantung kepada pasaran Amerika.

“Jordan sangat bergantung kepada pasaran Amerika. Tetapi hubungan diplomatik mereka yang rapat dengan Washington mungkin memberi kelebihan dalam perundingan tarif,” jelas Encik Swanston.

Namun di sebalik cabaran, perang perdagangan turut membuka peluang baru.

Negara Teluk kini giat membina laluan perdagangan alternatif – khususnya dengan Asia.

Cik Slim menyatakan bahawa koridor perdagangan Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-Asia kini berkembang pesat, dengan pertumbuhan 15 peratus dalam jangka panjang.

“Pertambahan hubungan dagang dengan Asia akan turut memperkukuh aliran pelaburan dan kewangan dua hala. Kami lihat semakin ramai syarikat Asia yang menubuhkan operasi di Timur Tengah,” katanya.

Inisiatif Jalur dan Laluan China (Belt and Road Initiative) menjadi antara pemangkin hubungan yang semakin erat antara Timur Tengah dengan Asia Timur, membentuk dinamik baru dalam struktur perdagangan sejagat.

Dasar, ‘Utamakan Amerika’, yang diuar-uarkan Encik Trump menekankan keutamaan kepada pekerja dan perniagaan Amerika.

Tarif yang dikenakan bukan sahaja ke atas China, malah terhadap negara jiran seperti Canada dan Mexico menunjukkan corak kepimpinan Encik Trump yang tidak menentu.

Ini memberi kesan jangka panjang terhadap kestabilan sistem perdagangan dunia.

Lebih membimbangkan, pendekatan agresif Amerika mungkin menyebabkan pelabur antarabangsa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan ekonomi negara itu dan dolar sebagai mata wang simpanan utama dunia.

Beberapa negara anggota Brics (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) sudah mula berbincang untuk membangunkan sistem perdagangan dan mata wang baru yang bebas daripada dominasi dolar.

“Presiden Trump mengubah pendekatan dasar luar dan perdagangan Amerika secara sepenuhnya. Jika ini berterusan, kesannya bukan sahaja kepada Amerika, malah seluruh sistem perdagangan dunia yang telah dibina sejak berdekad lalu,” tulis Felow Bukan Pemastautin, Majlis Hal Ehwal Global Timur Tengah di Doha, Qatar, Encik Paul Dyer, dalam analisisnya.

Sebagai hab kewangan dan pelaburan, negara Teluk harus memainkan peranan lebih besar untuk mengekalkan kestabilan ekonomi serantau.

Ini termasuk membantu negara jiran seperti Mesir dan Jordan melalui pelaburan atau penangguhan hutang luar.

Kerjasama dengan China dan Kesatuan Eropah juga boleh dijadikan strategi mengimbangi pengaruh Amerika yang semakin tidak menentu.

UAE, misalnya, telah menandatangani beberapa Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh (Cepa) dengan pelbagai negara yang merangkumi hampir 40 peratus pasaran eksportnya.

Menurut Penganalisis Perniagaan Kanan, Encik Edward Bell, langkah UAE itu patut dicontohi oleh negara Mena yang lain.

“Usaha UAE untuk membina lebih banyak hubungan dagang yang mengurangkan kos dan halangan perdagangan patut diteruskan, terutama dalam suasana sejagat yang tidak menentu ini,” ujarnya.

Negara Mena, katanya, harus segera menilai kembali dasar kewangan dan perdagangan mereka.

Sama ada menilai semula keperluan untuk menambat mata wang kepada dolar, atau merancang strategi pembayaran semula hutang dengan kerjasama institusi seperti Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Kerjasama serantau, pembinaan rantaian bekalan baru dan dasar industri bersama boleh menjadi benteng kepada krisis sejagat.

Selain itu, penglibatan aktif dalam institusi global seperti Pertubuhan Dagangan Dunia  (WTO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih penting untuk mempertahankan kerangka kerjasama antarabangsa yang sedia ada.

Meskipun sistem sedia ada dicabar oleh pendekatan satu pihak seperti dasar tarif Encik Trump, masih ada ruang untuk negara-negara itu membentuk pakatan baru dan menyesuaikan diri dengan realiti geopolitik semasa.

Walaupun Timur Tengah kelihatan agak ‘terlindung’ daripada kesan langsung perang perdagangan sejagat, realitinya, ia tetap terdedah kepada kesan sekunder yang boleh melemahkan ekonomi rantau itu.

Harga minyak, kekuatan dolar dan ketegangan geopolitik akan terus menjadi faktor penentu masa depan ekonomi Timur Tengah.

“Kunci sebenar terletak pada keupayaan rantau ini menyesuaikan diri, membina rantaian nilai baru dan tidak terlalu bergantung kepada kuasa besar yang kian tidak menentu. 

“Mengukuhkan permintaan domestik dan membina daya tahan ekonomi serantau adalah jalan terbaik untuk menghadapi kejutan sejagat,” tegas Cik Slim. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg