Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pertumbuhan pengeluaran kilang S’pura naik 3.9% pada Mei

Namun ia lebih rendah berbanding pertumbuhan 5.6% pada April, 6.9% pada Mac
Jun 26, 2025 | 5:58 PM
manufacturing, economy
Pengeluaran kilang Singapura mencatat kenaikan lebih perlahan untuk bulan kedua berturut-turut, meskipun masih melebihi jangkaan 2.2 peratus yang diramalkan oleh penganalisis. - Foto ST

Pengeluaran kilang Singapura meningkat pada kadar lebih perlahan bagi bulan kedua berturut-turut, namun kekal melebihi jangkaan penganalisis.

Pengeluaran kilang meningkat sebanyak 3.9 peratus tahun ke tahun, selepas kenaikan disemak semula sebanyak 5.6 peratus pada April, yang merupakan penurunan berbanding pertumbuhan 6.9 peratus pada Mac.

Namun, prestasi pada Mei melebihi ramalan pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus yang dijangkakan oleh ahli ekonomi dalam tinjauan Bloomberg.

Tidak termasuk industri bioperubatan yang lebih tidak menentu, pengeluaran kilang meningkat 4.9 peratus, menurut data Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) pada 26 Jun, lapor The Straits Times (ST).

Namun, petunjuk yang lebih jelas tentang momentum yang semakin perlahan ialah pengeluaran perkilangan yang merosot secara bulanan – susut 0.4 peratus dari April selepas penyesuaian musiman.

Jika tidak termasuk sektor bioperubatan, pengeluaran meningkat 0.7 peratus.

Bagi sektor elektronik utama, pengeluaran meningkat 3.9 peratus tahun ke tahun pada Mei, namun ia jauh lebih perlahan berbanding pertumbuhan 14.6 peratus yang dicatat pada April.

Dalam kelompok ini, pengeluaran semikonduktor meningkat 3.4 peratus, merosot daripada peningkatan 11.1 peratus pada April. 

Segmen infokom dan elektronik pengguna pula mencatat pertumbuhan 42.6 peratus, merosot daripada 67.4 peratus pada bulan sebelumnya.

Segmen peranti perisian komputer dan penyimpanan data mencatat prestasi lebih lemah, dengan pengeluaran merosot sebanyak 18.7 peratus.

Pengeluaran bagi modul dan komponen elektronik lain pula susut 20.8 peratus.

Sektor pengilangan bioperubatan meningkat 6.1 peratus tahun ke tahun pada Mei, sekali gus mengatasi penurunan 1.8 peratus pada April.

Dalam sektor ini, segmen farmaseutikal berkembang 17.9 peratus, hasil peningkatan pengeluaran produk biologi serta perubahan campuran bahan aktif farmaseutikal berbanding tahun sebelumnya. 

Segmen teknologi perubatan pula meningkat 3.2 peratus, didorong oleh permintaan eksport berterusan bagi peralatan perubatan.

Kesemua industri pembuatan lain, kecuali satu, menyaksikan pertumbuhan pengeluaran tahun ke tahun pada Mei.

Pengeluaran kejuruteraan jitu meningkat 10.3 peratus tahun ke tahun pada Mei.

Segmen jentera dan sistem berkembang 12.3 peratus, didorong peningkatan pengeluaran peralatan semikonduktor dan alat pengukur.

Segmen modul dan komponen jitu pula meningkat 3 peratus.

Pengeluaran kejuruteraan pengangkutan meningkat 25.6 peratus tahun ke tahun, dipacu segmen aeroangkasa yang melonjak 43.6 peratus berikutan peningkatan pengeluaran alat ganti pesawat serta lebih banyak kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih oleh syarikat penerbangan komersial.

Segmen kejuruteraan marin dan luar pesisir pula naik 5.3 peratus, manakala segmen darat merosot 12 peratus.

Pengeluaran bahan kimia naik 0.3 peratus, dengan kebanyakan segmen mencatatkan pertumbuhan.

Segmen kimia lain meningkat 3.1 peratus hasil pengeluaran produk wangian lebih tinggi, manakala segmen petroleum naik 2 peratus dan petrokimia naik 1.1 peratus. 

Namun, segmen khas menurun 7.1 peratus disebabkan pengeluaran gas industri, biobahan api dan bahan tambahan makanan yang lebih rendah.

Segmen percetakan naik 2.2 peratus, sementara makanan, minuman dan tembakau turun 4.5 peratus akibat pengeluaran minuman dan produk roti yang lebih rendah. 

Segmen industri pelbagai turut menyusut 16.6 peratus, terutama disebabkan pengeluaran komponen logam, kotak dan papan kertas yang lebih rendah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg