Pengeluaran perkilangan Singapura menurun 1.3 peratus tahun ke tahun pada Februari, mengakhiri tempoh peningkatan selama tujuh bulan selepas sektor bioperubatan dan elektronik mengalami penguncupan.
Ini tidak bertepatan dengan ramalan ahli ekonomi sektor privet yang menjangkakan pertumbuhan 7 peratus, menurut tinjauan Bloomberg.
Data Februari juga merupakan satu penurunan ketara berbanding dengan pertumbuhan 8 peratus yang disemak semula pada Januari.
Jika sektor bioperubatan yang kurang stabil dikecualikan, pengeluaran industri pada Februari mencatatkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus berbanding tempoh sama pada 2024, menurut data yang dikeluarkan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) pada 26 Mac.
Namun, ia menunjukkan penurunan ketara berbanding pertumbuhan yang telah disemak semula sebanyak 6 peratus pada Januari, lapor The Straits Times (ST).
Pengeluaran perkilangan yang diselaraskan mengikut musim secara bulanan mencatatkan penurunan 7.5 peratus pada Februari.
Jika sektor pembuatan bioperubatan dikecualikan, pengeluaran menurun 7.9 peratus berbanding Januari.
Pertumbuhan pengeluaran kilang keseluruhan bagi Januari dan Februari adalah 3.5 peratus – satu penurunan berbanding peningkatan 5.8 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2024.
Namun, angka keseluruhan bagi suku pertama “mungkin lebih stabil berikutan kesan asas yang sangat menggalakkan, yang sepatutnya meningkatkan pertumbuhan pengeluaran perusahaan pada Mac”, kata penganalisis Barclays, Encik Brian Tan.
Beliau meramalkan pengeluaran perkilangan suku pertama akan “berada pada landasan yang betul” untuk berkembang sebanyak 4.6 peratus, merosot sedikit berbanding pertumbuhan 5 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2024.
Pengeluaran dalam sektor elektronik utama merosot 6.4 peratus tahun ke tahun pada Februari, satu penurunan berbanding pertumbuhan 15.4 peratus pada Januari.
Sebahagian besar segmen dalam sektor itu turut mengalami penguncupan, dengan hanya segmen infokom dan elektronik pengguna mencatatkan pertumbuhan 32.2 peratus.
Segmen semikonduktor jatuh 9.5 peratus, manakala segmen peranti komputer dan penyimpanan data menurun 1.5 peratus.
Segmen modul elektronik dan komponen lain pula susut 7.3 peratus.
Sementara itu, pengeluaran bioperubatan menyusut 14.3 peratus tahun ke tahun pada Februari, terjejas oleh segmen farmaseutikal yang merosot sebanyak 30 peratus.
Sektor kimia turut mencatatkan penurunan sebanyak 0.1 peratus, manakala sektor perkilangan am menyusut 0.7 peratus.
Sebaliknya, sektor kejuruteraan pengangkutan dan kejuruteraan jitu menunjukkan prestasi yang berbeza dengan masing-masing mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 16 peratus dan 16.2 peratus pada Februari.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg