Pesakit mesti dimaklum, setuju maklumat kesihatan dikongsi dengan firma insurans
Pesakit mesti dimaklum, setuju maklumat kesihatan dikongsi dengan firma insurans
MOH tegaskan akses kepada Rekod Kesihatan Elektronik Kebangsaan untuk tujuan insurans dilarang, dianggap satu kesalahan
Pesakit mesti dimaklumkan dan persetujuan mereka perlu didapatkan sebelum sebarang maklumat kesihatan mereka boleh dihantar oleh doktor untuk dikongsi dengan syarikat perlindungan insurans privet untuk tujuan tuntutan insurans.
Selain itu, hanya maklumat yang perlu dan berkaitan dengan tuntutan insurans pesakit atau penilaian taja jamin boleh dikongsi dengan syarikat insurans.
Ketetapan ini perlu dipatuhi meskipun doktor terikat dengan ketetapan kontrak yang bertujuan untuk memberikan hak kepada syarikat insurans untuk memeriksa dan mengaudit rekod perubatan pesakit.
Peringatan daripada Kementerian Kesihatan (MOH) ini dibuat selepas kelulusan undang-undang baru di Parlimen pada 12 Januari.
Akta Maklumat Kesihatan, yang dijangka berkuat kuasa pada awal 2027, akan mewajibkan semua penyedia penjagaan kesihatan menyumbang maklumat kesihatan utama pesakit ke repositori kebangsaan, sistem Rekod Kesihatan Elektronik Kebangsaan (NEHR).
Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), MOH berkata ia telah mengeluarkan pekeliling pada 9 Januari untuk menegaskan semula bahawa akses kepada NEHR untuk tujuan insurans “adalah dilarang sama sekali dan merupakan satu kesalahan”.
Di bawah undang-undang baru ini, mereka yang disabitkan dengan akses tanpa kebenaran kepada maklumat NEHR untuk tujuan yang dikecualikan, seperti untuk perkara insurans, akan dikenakan denda sehingga $100,000 dan/atau penjara sehingga empat tahun untuk kesalahan pertama mereka.
Pekeliling itu dihantar kepada pengamal perubatan dan pergigian berdaftar, serta pemegang lesen di bawah Akta Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan (HCSA), yang merangkumi semua hospital dan rumah jagaan.
Dalam jawapannya kepada ST, MOH menambah bahawa syarikat perlindungan insurans tidak mempunyai akses kepada NEHR, kerana ia terhad kepada mereka yang menyediakan khidmat penjagaan pesakit.
Syarikat insurans juga dilarang meminta atau meminta orang lain mengakses NEHR bagi pihak mereka.
Pada masa ini, berdasarkan kes demi kes, syarikat insurans boleh meminta maklumat perubatan daripada pengamal perubatan untuk memproses tuntutan pesakit atau untuk tujuan taja jamin.
Ini mungkin termasuk mengesahkan diagnosis dan rawatan, memastikan sama ada tuntutan perlu dibayar atau mengesahkan sejarah perubatan atau tanda dan gejala pemohon untuk menilai risiko taja jamin.
MOH berkata di Parlimen pada 12 Januari, penyedia perkhidmatan dan golongan karyawan harus menyediakan laporan, memo atau ringkasan klinikal yang berasingan untuk syarikat insurans, dan bukannya menyediakan rekod perubatan mentah pesakit, yang mungkin mengandungi maklumat terperinci, termasuk butiran yang tidak relevan.
Jika doktor telah merujuk kepada NEHR untuk mendapatkan maklumat dan mengesahkannya dengan pesakit sebagai sebahagian daripada pengambilan rekod perubatan, maklumat tersebut mungkin disimpan dalam rekod perubatan doktor itu sendiri, bersama-sama dengan penilaian klinikal.
Dalam kes sedemikian, MOH menarik perhatian bahawa penyedia perkhidmatan perlu menilai dengan teliti maklumat mana dalam rekod ini yang relevan dan perlu diberikan kepada syarikat insurans.
Kementerian itu berkata ia juga telah mengeluarkan nota panduan pada 9 Januari kepada Persatuan Insurans Hayat (LIA), Persatuan Insurans Am Singapura, dan kesemua tujuh penanggung insurans Pelan Perlindungan Bersepadu (IP).
Secara khusus, ia mengingatkan syarikat insurans tentang amalan dan skop yang sesuai apabila meminta rekod perubatan pesakit.
Syarikat insurans juga mesti memastikan perjanjian kontrak tidak menjejas keupayaan doktor panel untuk mematuhi kewajipan undang-undang di bawah HCSA dan undang-undang baru yang diluluskan pada 12 Januari, serta kod dan garis panduan etika profesional mereka.
Kewajipan undang-undang dan etika ini berkaitan dengan mengekalkan kerahsiaan pesakit dan melindungi rekod pesakit.

