Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kiat How: Akta Maklumat Kesihatan perkukuh perlindungan data pesakit

Jan 12, 2026 | 9:29 PM
Penyedia penjagaan kesihatan dari sektor awam dan swasta akan diwajibkan untuk berkongsi maklumat kesihatan pesakit menerusi Sistem Rekod Kesihatan Elektronik Kebangsaan (NEHR) menjelang 2027.
Penyedia penjagaan kesihatan dari sektor awam dan swasta akan diwajibkan untuk berkongsi maklumat kesihatan pesakit menerusi Sistem Rekod Kesihatan Elektronik Kebangsaan (NEHR) menjelang 2027. - Foto ZAOBAO

Akta Maklumat Kesihatan akan memastikan perlindungan yang kukuh terhadap data perubatan pesakit, kata Menteri Kanan Negara (Pembangunan Digital dan Penerangan merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How.

Ini, di samping mewajibkan penyedia penjagaan kesihatan berkongsi maklumat agar pesakit dapat menikmati khidmat perubatan yang lebih menyeluruh dan berkesan.

Berucap di Parlimen pada 12 Januari, Encik Tan berkata akta itu akan membolehkan penciptaan ringkasan kesihatan bersepadu untuk setiap pesakit, memastikan kesinambungan penjagaan apabila pesakit berpindah antara tetapan penjagaan kesihatan yang berbeza.

“Hanya dengan membolehkan perkongsian data dan ringkasan kesihatan bersepadu untuk setiap pesakit, kita dapat menyokong kesinambungan penjagaan apabila pesakit berpindah antara tetapan penjagaan kesihatan yang berbeza dan menerima penjagaan daripada pelbagai penyedia penjagaan kesihatan,” kata Encik Tan.

Semasa perbahasan Rang Undang-Undang Maklumat Kesihatan, seramai 14 Anggota Parlimen (AP) telah membangkitkan beberapa kebimbangan seperti privasi pesakit, keselamatan siber dan potensi penyalahgunaan maklumat kesihatan.

Cik Mariam Jaafar (GRC Sembawang), yang juga Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) Kesihatan, berucap tentang kepentingan kesinambungan penjagaan untuk pesakit.

Ini supaya doktor akan mempunyai gambaran lebih menyeluruh tentang rawatan perubatan yang telah dijalani oleh pesakit dari pelbagai institusi perubatan.

“Kesinambungan penjagaan secara langsung dikaitkan dengan kesihatan awam dan campur tangan awal.

“Apabila penduduk pertengahan usia menunjukkan diri mereka menghidap penyakit kencing manis peringkat lanjutan, ia memberitahu kita, kita tidak berjumpa mereka cukup awal, menyokong mereka dengan cukup konsisten, atau menghubungkan titik-titik merentasi tempoh penjagaan.

“Sistem maklumat kesihatan yang membolehkan kita mengenal pasti corak, bukan untuk mengawasi individu, untuk mengesan komuniti yang berisiko, memberi kita keupayaan untuk campur tangan sebelum penyakit yang boleh dicegah menjejas kehidupan,” kata Cik Mariam.

Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar), yang juga merupakan AP pekerja, membangkitkan kebimbangan pekerja mengenai perkongsian data kesihatan tidak akan membawa kepada penggunaan maklumat kesihatan secara “tidak langsung atau menerusi pintu belakang”.

Dalam responsnya, Encik Tan berkata akses kepada Sistem Rekod Kesihatan Elektronik Kebangsaan (NEHR) akan kekal dikawal ketat dan karyawan penjagaan kesihatan hanya akan dapat melihat maklumat yang diperlukan untuk peranan mereka.

Perlindungan teknikal dan audit berkala untuk mengesan akses tanpa kebenaran juga akan dijalankan, tambahnya.

“Senarai pemeriksaan perubatan berkanun adalah terhad kepada mereka yang memerlukan akses NEHR untuk melindungi orang ramai dan menjaga kesihatan individu. Inilah prinsip utamanya.

“Kami tidak mempunyai rancangan untuk memperluas senarai ini untuk memasukkan pemeriksaan berkaitan pekerjaan yang tidak diperlukan untuk melindungi orang ramai dan individu,” kata Encik Tan.

Di bawah Rang Undang-Undang ini, kesalahan kali pertama untuk akses tanpa kebenaran kepada data NEHR akan membawa hukuman sehingga $50,000 dalam bentuk denda dan/atau dua tahun penjara, dengan hukuman yang lebih berat untuk pesalah berulang.

Kes juga boleh dirujuk kepada lembaga profesional untuk tindakan tatatertib.

Perlindungan tambahan akan dikenakan kepada maklumat kesihatan yang lebih sensitif, seperti jangkitan kelamin dan keadaan psikiatri tertentu, tambah Encik Tan.

Bagi kes sedemikian, akses akan dihadkan kepada sekumpulan karyawan yang diberi kuasa lebih kecil, memerlukan log masuk berganda, dan tertakluk kepada audit lebih teliti, kata Encik Tan.

Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied) juga bertanya tentang tahap perincian maklumat kesihatan utama yang akan disumbangkan kepada NEHR.

Dalam jawapannya, Encik Tan berkata: “Rang Undang-Undang ini mewajibkan penyedia penjagaan kesihatan untuk menyumbang maklumat kesihatan yang tepat dan lengkap tepat pada masanya.

“Ini akhirnya memberi manfaat kepada pesakit, dengan membolehkan penyedia penjagaan kesihatan mereka mengakses semua maklumat kesihatan yang berkaitan untuk memberikan penjagaan terbaik.”

Encik Tan menambah NEHR direka bentuk untuk menjadi “Ringkasan Satu Kesihatan” untuk pesakit dan penyedia penjagaan kesihatan hanya dikehendaki menyumbang maklumat kesihatan yang ditetapkan dalam Jadual Pertama Rang Undang-Undang ini.

“Kami tidak akan menerima butiran tambahan seperti nota klinikal doktor,” tambahnya.

“Contohnya, jika pesakit menghidap kencing manis dan ditetapkan insulin, doktor hanya perlu menyumbang “kencing manis” sebagai diagnosis, dan “insulin” sebagai ubat.”

Encik Tan berkata Rang Undang-Undang Maklumat Kesihatan, yang diluluskan di Parlimen pada 12 Januari, akan berkuatkuasa pada awal 2027, bagi memberi masa kepada penyedia penjagaan kesihatan untuk membuat persediaan.

“Kesinambungan penjagaan secara langsung dikaitkan dengan kesihatan awam dan campur tangan awal... Sistem maklumat kesihatan yang membolehkan kita mengenal pasti corak, bukan untuk mengawasi individu, untuk mengesan komuniti yang berisiko memberi kita keupayaan untuk campur tangan sebelum penyakit yang boleh dicegah menjejaskan kehidupan,”
Anggota Parlimen GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar.

“Ramai warga emas menguruskan pelbagai keadaan dan kerap berinteraksi dengan sistem penjagaan kesihatan. Mereka bimbang tentang privasi, tentang persetujuan, dan sama ada maklumat peribadi mereka dihormati. Apabila rakyat Singapura percaya bahawa maklumat kesihatan mereka dikendalikan dengan berhati-hati, perlindungan yang kukuh, dan sempadan yang jelas, mereka lebih bersedia untuk mendapatkan rawatan, berkongsi maklumat dengan jujur, dan mengambil bahagian sepenuhnya dalam sistem penjagaan kesihatan kita.”
Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.

“Sudah tentu pangkalan data penjagaan kesihatan elektronik kebangsaan akan membantu mengoptimumkan penjagaan pesakit dan kesinambungan penjagaan. Walau bagaimanapun, kejayaan NEHR bergantung pada memupuk kepercayaan bahawa pemerintah boleh mengumpul, menyusun dan menyatukan maklumat kesihatan kita dengan selamat dan bertanggungjawab. Kepercayaan itu hanya boleh wujud jika kita mengutamakan privasi pesakit dan autonomi pesakit.”
Anggota Parlimen GRC Aljunied, Encik Fadli Fawzi.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg