Jumlah pinjaman hijau, sosial dan berkaitan kemampanan yang dikeluarkan di Singapura meningkat secara berterusan selama enam tahun berturut-turut kepada $30.4 bilion pada 2023.
Ini adalah kenaikan daripada $25.2 bilion pada 2022 dan $21.1 bilion pada 2021, menurut laporan kemampanan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) yang dikeluarkan pada 4 Julai.
Pinjaman hijau digunakan untuk membiayai projek mampan, manakala hasil pinjaman sosial mesti disalurkan kepada projek sosial.
Pinjaman berkaitan kemampanan pula menyediakan insentif kepada peminjam untuk maju ke arah matlamat kemampanan yang ditetapkan terlebih dahulu.
Singapura juga merupakan pasaran terbesar Asean bagi bon dan pinjaman hijau, sosial, kemampanan dan berkaitan kemampanan, membentuk lebih separuh daripada pasaran, menurut MAS.
Namun, jumlah bon hijau, sosial, kemampanan dan berkaitan kemampanan menurun pada 2023 kepada $7.4 bilion, daripada $10.1 bilion pada 2022, lapor The Straits Times (ST).
Ini berlaku di tengah-tengah kelembapan dalam pengeluaran bon di serata dunia disebabkan kadar faedah dan inflasi yang meningkat, kata MAS.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, yang juga pengerusi MAS, berkata dalam laporan tersebut:
“MAS yang mempromosikan Singapura sebagai pusat kewangan antarabangsa, bekerjasama dengan pelbagai institusi kewangan untuk membangunkan ekosistem kewangan hijau dan mampan yang bertenaga bagi menyokong peralihan Asia kepada masa depan rendah karbon.
“Perubahan iklim mempunyai implikasi mendalam terhadap ekonomi kita.
“Sektor kewangan terdedah kepada perkara ini melalui kegiatan pembiayaan, insurans dan pelaburannya.
“Institusi kewangan perlu mengurangkan risiko fizikal dan peralihan yang timbul daripada perubahan iklim.”
Beliau menambah bahawa institusi kewangan yang berpangkalan di Singapura juga berpeluang besar menyokong peralihan yang dipercayai dan lancar untuk mencapai pelepasan sifar bersih di Asia.
“Ini boleh dilakukan dengan menyalur modal kepada teknologi hijau dan peralihan, serta menggalak huraian pembiayaan inovatif untuk membina masa depan yang mampan,” kata Encik Gan.
Beliau menyatakan MAS juga merupakan penjaga rizab asing rasmi Singapura.
Ini bermakna ia perlu menyertakan pertimbangan risiko dan peluang perubahan iklim dalam rangka kerja pelaburannya.
Ini akan melindungi portfolio perniagaan rizab asing Singapura daripada kesan risiko peralihan iklim, katanya.
Langkah sedemikian termasuk memantau usaha penglibatan pengurus dana luar negara MAS dalam mempengaruhi perubahan positif, selain melabur dalam huraian rendah karbon.
Langkah lain termasuk tidak menyertakan syarikat yang meraih lebih 10 peratus daripada pendapatannya daripada kegiatan perlombongan arang batu dan pasir minyak.
Pasir minyak adalah mendapan semula jadi yang mengandungi bitumen, sejenis petroleum.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg