Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Platform Shopee mudahkan SME S’pura urus penghantaran ke M’sia, Thailand

Feb 7, 2025 | 7:03 PM
Hadir di pelancaran Platform Antarabangsa Shopee ialah (dari kiri) pengarah Shopee, Encik Chua Kel Jin; naib presiden Shopee, Encik Ian Ho; pengarah urusan EnterpriseSG, Cik Cindy Khoo; dan penolong pengarah urusan EnterpriseSG, Encik Geoffrey Yeo. 
Hadir di pelancaran Platform Antarabangsa Shopee ialah (dari kiri) pengarah Shopee, Encik Chua Kel Jin; naib presiden Shopee, Encik Ian Ho; pengarah urusan EnterpriseSG, Cik Cindy Khoo; dan penolong pengarah urusan EnterpriseSG, Encik Geoffrey Yeo.  - Foto SHOPEE SINGAPORE

Perusahaan kecil dan sederhana (SME) Singapura kini boleh menjual barangan mereka kepada pelanggan di Malaysia dan Thailand – dan tidak lama lagi, Filipina – tanpa kos tambahan di platform e-dagang Shopee.

Mereka boleh melakukannya di Platform Antarabangsa Shopee (SIP) baru yang dilancarkan pada 7 Februari, dengan sokongan Enterprise Singapore (EnterpriseSG).

Agensi pemerintah itu, yang membantu syarikat membina keupayaan, berinovasi dan menjadi global, enggan memberi butiran sokongan yang diberikannya.

Mengenai SIP, penjual di Singapura terus mengurus kedai digital mereka dengan Shopee Singapura menyelia logistik penghantaran rentas sempadan, lapor The Business Times.

Apabila pembeli luar negara membuat pesanan, penjual akan menghantar barangan itu ke gudang Shopee di Singapura.

Dari situ, Shopee akan bersandar pada ekonomi skala untuk pengendalian seterusnya – penghantaran antarabangsa, memenuhi pesanan dan khidmat sokongan pelanggan.

Hasilnya, usaha penjual Singapura untuk berkembang ke pasaran antarabangsa menjadi lebih berdaya maju secara komersial, kata pengarah urusan EnterpriseSG, Cik Cindy Khoo.

“Dalam landskap ekonomi yang mencabar hari ini, adalah penting bagi syarikat-syarikat kita mempelbagaikan aliran pendapatan di luar negara,” katanya.

Pengarah Shopee, Encik Chua Kel Jin, berkata perkongsian itu membolehkan Shopee Singapura memanfaatkan rangkaian SME EnterpriseSG.

Beliau menambah, banyak SME berharap dapat berkembang ke luar negara, tetapi tidak pasti tentang pulangan pelaburan.

“Kami telah memperkemas proses itu untuk memastikan penyertaan yang lancar dan membolehkan penjual menumpukan pada operasi perniagaan teras mereka, manakala Shopee menguruskan yang lain,” kata beliau.

Pelancaran rasmi platform itu menyusuli satu percubaan perintis tiga bulan yang bermula September 2024, apabila lebih 8,000 penjual Singapura menyertainya.

Secara kolektif, pesanan dan nilai kasar barangan mereka meningkat lapan kali ganda, kata Cik Khoo.

Tahun 2025, Shopee berhasrat mengembangkan platform itu untuk memasukkan Filipina.

Turut dalam perancangan ialah satu ciri platform baru yang akan memberi penjual SIP yang berjaya, kelonggaran untuk menyesuaikan produk dan harga mereka.

Ciri itu akan diperkenalkan di Malaysia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg