Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HSA rampas 970,000 produk kesihatan terlarang, turunkan 7,300 penyenaraian dalam talian pada 2024

Feb 3, 2025 | 7:30 PM
Angka yang dikeluarkan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada 2024 lebih rendah berbanding angka pada 2023, dengan sebanyak 1.12 juta unit produk kesihatan terlarang dirampas.
Angka yang dikeluarkan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada 2024 lebih rendah berbanding angka pada 2023, dengan sebanyak 1.12 juta unit produk kesihatan terlarang dirampas. - Foto HSA

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) merampas 970,707 unit produk kesihatan terlarang dan mengeluarkan 7,351 penyenaraian produk terlarang pada 2024, dengan 2,868 penjual dalam talian turut diberi amaran.

Namun angka tersebut lebih rendah daripada angka pada 2023, apabila 1.12 juta unit produk kesihatan terlarang dirampas dan lebih 12,000 penyenaraian dalam talian dikeluarkan, tetapi melebihi angka pada 2022.

Pada 2022, lebih 737,000 unit produk kesihatan terlarang dan 4,565 penyenaraian dalam talian diturunkan.

Mengulas mengenai usaha berterusan dalam mengekang penjualan dan pembekalan produk kesihatan terlarang, HSA menyatakan dalam satu kenyataan pada 3 Februari bahawa angka terbaru itu hasil usaha terselaras melibatkan operasi tersasar, perkongsian perisikan serta penguatkuasaan bersama dengan agensi tempatan dan luar negara.

Hampir separuh jumlah penyenaraian yang dikeluarkan pada 2024, sebagai contoh, hasil kerjasama berskala besar pertama HSA dengan wadah perdagangan elektronik (e-dagang) dan media sosial tempatan pada September dan Oktober, dedah pihak berkuasa itu.

Wadah dalam talian yang terlibat dalam operasi itu termasuk Amazon Singapore, Carousell, eBay Singapore, Facebook, Lazada, Qoo10, Shopee dan TikTok.

Dari segi operasi darat pada 2024, HSA menyatakan salah satu operasi “paling penting” berlaku pada Mei, melibatkan kerjasama pihak berkuasa itu dengan polis untuk menyerbu sebuah unit kondominium di Geylang yang digunakan bagi pembuatan dan pembekalan sirap batuk codeine secara haram.

Sekitar 165 liter sirap batuk dan lebih 57,000 unit pelbagai ubat, bernilai $130,000, dirampas – salah satu rampasan ubat haram terbesar di Singapura sepanjang lima tahun lalu.

Sirap batuk codeine membentuk majoriti (54 peratus) daripada semua produk haram yang dirampas pada 2024, diikuti oleh ubat pertingkat seksual (19 peratus), penenang (18 peratus) dan ubat preskripsi lain (9 peratus).

Selain merampas produk terlarang, HSA juga mengeluarkan amaran awam mengenai 14 produk kesihatan terlarang, termasuk suplemen kesihatan probiotik tiruan.

Sebanyak 13 daripada produk yang dikesan didapati mengandungi bahan terlarang.

Sibutramine, bahan cemar yang telah diharamkan di Singapura sejak 2010, ditemui dalam lima produk penurunan berat badan – jumlah yang sama seperti pada 2023.

Steroid yang kuat juga dikesan dalam tujuh produk yang dipasarkan bagi melegakan kesakitan, rawatan ekzema, pemutihan kulit dan kesejahteraan umum.

HSA memberi amaran bahawa ia akan mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap mereka yang menjual atau membekalkan produk kesihatan haram.

Jika disabit kesalahan, penjual dan pembekal produk boleh dipenjara hingga tiga tahun dan didenda hingga $100,000.

Pada 2024, 30 orang didakwa atas penjualan dan pembekalan produk kesihatan haram.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg