Kawasan perumahan pertama di Turf City sedang disiapkan untuk pembangunan, menurut kenyataan di laman web Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 18 Oktober.
Bidang tanah itu berada di Dunearn Road dan berdekatan dengan Kawasan Banglo Kelas Baik Swiss Club Road.
“Cadangan pindaan itu adalah untuk memulakan pembangunan Bukit Timah Turf City bagi menyokong permintaan bagi perumahan di lokasi tengah Singapura. Ia bermula dengan kawasan yang lebih dekat dengan kemudahan pengangkutan sedia ada di sepanjang Dunearn Road seperti stesen MRT Sixth Avenue di Laluan Downtown,” kata URA.
Dua petak tanah dijangka menjadi sebahagian daripada Stables Commune, salah satu daripada empat kawasan kejiranan yang dicadangkan untuk Turf City.
Tiga lagi kawasan kejiranan yang dirancang ialah Racecourse, Saddle Club Knolls dan Tinggi Hills, lapor The Business Times.
Kira-kira 15,000 hingga 20,000 rumah berada dalam perancangan untuk tapak Turf City.
Ia termasuk blok perumahan awam pertama yang dirancang di Bukit Timah dalam tempoh 40 tahun.
Turf City akan dibangunkan semula secara progresif dalam tempoh 20 hingga 30 tahun.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, berkata pemerintah menggambarkan Turf City sebagai “estet inklusif dan mudah diakses” apabila beliau mendedahkan rancangan untuk kawasan itu pada Mei.
Antara 1933 dengan 1999, Turf City merupakan tempat lumba kuda yang popular.
Ia tempat asal Kelab Turf Singapura sebelum ia dipindahkan ke Kranji untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu.
Ruang di tapak itu telah disewakan kepada para penyewa termasuk penyedia penjagaan kanak-kanak, peniaga kenderaan bermotor, kedai makanan dan minuman serta kemudahan sukan sehingga akhir 2023.
Pada 18 Oktober, URA juga mengumumkan bahawa tapak rizab di Amber Road di kawasan East Coast sedang dicadangkan untuk kegunaan kediaman.
Tapak seluas 28,966.2 meter persegi terletak bersebelahan stesen MRT Tanjong Katong dan akan mempunyai pemandangan laut.
Tapak seluas 11,212.7 meter persegi di Little India juga sedang dicadangkan untuk kegunaan kediaman.
Pada masa ini, tapak itu menempatkan Persatuan Seni Halus India Singapura.
“Pindaan yang dicadangkan adalah untuk memudahkan pembangunan kediaman masa depan yang akan menyokong permintaan untuk perumahan di kawasan itu. Penduduk masa depan akan dapat memanfaatkan kawasan yang berdekatan dengan stesen MRT Farrer Park, serta kemudahan di kawasan itu,” kata URA.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg