Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pondok Abang buka gerai makan ketiga di Yishun

Pemilik syarikat makanan beku halal impi detik emas saji rendang di angkasa lepas
Jun 2, 2025 | 5:30 AM
Singapura,  Abang by Pondok Abang, Yishun, gerai
Pemilik dan Pengarah Urusan Pondok Abang, Encik Hasan Abdul Rahman, menjelaskan pembukaan gerai makan Abang by Pondok Abang di Yishun merupakan sebahagian rancangan perkembangan perniagaan yang menyasarkan untuk membuka sekurang-kurangnya lima gerai makan baru dalam lima tahun akan datang.  - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Syarikat pengeluar makanan beku halal, Pondok Abang, terus giat memperluas perniagaannya dan membuka satu lagi cawangan gerai makan baru-baru ini di kawasan utara.

Gerai menjual makanan Melayu yang terletak dalam Kedai Kopi di 925 Yishun Central 1, merupakan yang ketiga di samping cawangannya yang lain di Clementi dan Kebun Bunga Singapura.

Pemilik dan pengarah urusan syarikat tersebut, Encik Hasan Abdul Rahman, yang ditemui Berita Harian (BH) menjelaskan mengapa gerai makanan di bawah syarikat itu diberi nama berbeza – Abang by Pondok Abang.

“Pada 2010 apabila ayah saya mula menghasilkan produk, orang ramai menjadi keliru.

“Mereka tertanya, ‘Pondok Abang ini jual produk ke makanan?’ Jadi sekitar 2018, saya ubah nama kedai makan dan memisahkan jenama itu supaya orang ramai tidak keliru,” kata Encik Hasan.

Encik Hasan, 36 tahun, yang merupakan peniaga generasi kedua, telah mengambil alih syarikat ayahnya, Encik Abdul Rahman Yad Ali, 68 tahun, pada akhir 2015.

Sebelum mencipta nama sebagai pengeluar makanan sejuk beku halal ternama di Singapura, Pondok Abang, sudah wujud dalam sektor makanan dan minuman (F&B) sejak era 1980-an lagi.

Pengasas asalnya, Encik Abdul Rahman, mula menjual karipap kepada pekerja kilang di kawasan Tuas pada 1980-an sebelum membuka gerai makanan tradisional Melayu di Clementi pada 1990-an.

Meneruskan kerja keras ayahnya sekali gus menyedari potensi Pondok Abang untuk berkembang, Encik Hasan kini sentiasa mencari jalan untuk mempelbagaikan perniagaan tersebut, dan menembusi pasaran berbeza.

Berkat usahanya, Pondok Abang kini mempunyai satu cawangan yang menjual makanan beku, satu kilang pengeluaran, dan tiga gerai makanan di Singapura.

Ini di samping kemudahan pemprosesan daging mereka, Straits Butchering Co., yang bersama Pondok Abang, mampu menghasilkan produk siap makan dan produk siap masak sehingga lapan tan dalam setiap syif 12 jam.

Encik Hasan menjelaskan bahawa pembukaan gerai makan di Yishun merupakan sebahagian rancangan perkembangan perniagaan mereka, yang menyasarkan untuk membuka sekurang-kurangnya lima gerai makan baru dalam lima tahun akan datang.

Gerai makanan fizikal, kata Encik Hasan, tetap penting kerana ia menjadi wadah untuk berinteraksi dengan pelanggan dan mendapat maklum balas daripada mereka mengenai produk makanan Pondok Abang.

Namun, syarikat tersebut telah mengubah cara mereka mengendalikan gerai supaya lebih cekap berbanding dengan waktu ia mula beroperasi.

Menggunakan makanan dan pes siap masak yang sudah dihasilkan kilang Pondok Abang, gerai makanannya hanya memerlukan satu setengah jam sahaja untuk menyiapkan makanan, tanpa perlu memasak hidangan itu dari mula.

“Saya membantu ibu bapa saya pada usia tujuh tahun. Disebabkan pengalaman itu, saya menjadi tawar hati untuk berkecimpung dalam perniagaan makanan... kerana ia teruk dan waktu bekerja sangat panjang.

“Kami perlu bangun sekitar lima pagi setiap hari,” katanya, sambil menggambarkan jerih payah penjaja yang meluangkan masa berjam-jam lamanya, hanya untuk menyiapkan lauk Melayu.

Kini, waktu persiapan itu dikurangkan dengan ketara.

Ditanya tentang ‘kesegaran’ makanan siap dimasak, Encik Hasan memberi jaminan bahawa ia boleh bertahan sehingga satu setengah tahun lamanya, tanpa bahan pengawet, dan dengan memanfaatkan teknologi ‘blast-freeze’ (menggunakan peti sejuk beku) – yang mengurangkan suhu makanan dengan pesat dari suhu bilik kepada -18 darjah Celsius ke bawah dalam masa beberapa jam.

“Makanan Melayu unik sedikit. Rendang, misalnya, lagi lama anda simpan lagi sedap, sebab ia sudah diperap! Jadi memang sesuai jika dibekukan,” tambah Encik Hasan.

Beliau yang sedang dalam proses membuka kilang pengeluaran di Malaysia, berharap dapat menembusi pasaran di negara itu setelah membawa produknya sejauh Vietnam, Brunei dan kawasan Borneo.

Berkongsi harapannya menaikkan martabat masakan Melayu, Encik Hasan, berkata penuh positif:

“Saya idamkan rendang disajikan di angkasa lepas. Impian saya ingin bawa hidangan Melayu sejauh itu.”

“Pada 2010 apabila ayah saya mula menghasilkan produk, orang ramai menjadi keliru. Mereka tertanya, ‘Pondok Abang ini jual produk ke makanan?’ Jadi sekitar 2018, saya ubah nama kedai makan dan memisahkan jenama itu supaya orang ramai tidak keliru.”
Pemilik dan Pengarah Urusan Pondok Abang, Encik Hasan Abdul Rahman.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg