Syarikat pengeluar makanan beku halal, Pondok Abang, semakin giat mengembangkan jenamanya dan kini akan memasuki pasaran Brunei dan juga Borneo, termasuk Sabah, Sarawak dan Kalimantan, dengan produk siap makan atau ‘ready-to-eat’ (RTE) tidak lama lagi.
Sebelum ini, Pondok Abang merupakan syarikat perintis yang menjual dan mengeluarkan makanan tradisional Melayu yang dihidangkan sewaktu Hari Raya seperti rendang, ayam masak merah dan sambal goreng pengantin dalam keadaan sejuk beku.
Kini, ia sudah berkembang maju sehingga produk Pondok Abang mudah didapati di pasar, kedai runcit dan juga pasar raya khususnya bagi masyarakat Melayu/Islam di Singapura.
Pada 2022, Pondok Abang mengembangkan sayapnya ke Vietnam dan ini merupakan pasaran luar negara pertama mereka, di mana produk seperti pau goreng, bergedel dan popia durian dibekalkan.
Menyusuli kejayaan ini, Pondok Abang bakal membekal produk makanan sejuk beku popular mereka dan siap dimakan seperti paru lembu berempah dan rebus, rendang daging lembu, kambing dan ayam ke Brunei dan kawasan Borneo.
Pengarah urusan Pondok Abang, Encik Hasan Abdul Rahman, 35 tahun, yang dihubungi Berita Harian (BH) akui sebelum ini beliau tiada minat meneruskan perusahaan makanan sejuk beku halal yang diasaskan ayahnya, Encik Abdul Rahman Yad Ali, perintis Pondok Abang.
Sebelum mencipta nama sebagai pengeluar makanan sejuk beku halal ternama di Singapura, Pondok Abang sudah hadir dalam bidang makanan dan minuman (F & B) sejak era 80-an lagi.
Encik Abdul Rahman, 67 tahun, mula menjual karipap kepada pekerja kilang di kawasan Tuas pada 1980-an sebelum membuka gerai makanan tradisional Melayu di Clementi pada 1990-an.
Kini, Pondok Abang mengendalikan gerai makanan Abang by Pondok Abang di dua lokasi pusat penjaja – Pasar dan Pusat Makanan Clementi 448 (Clementi Avenue 3) dan 1J Cluny Road, Sprouts Food Place.
Mengenang kerja keras ayahnya sekali gus menyedari potensi Pondok Abang untuk berkembang, Encik Hasan mula mengambil alih syarikat tersebut secara profesional pada akhir 2015.
Sejak 2016, beliau sudah aktif berbincang dengan wakil syarikat dari Malaysia dan Brunei untuk memperluas pasaran.
Meskipun perlu menghadapi cabaran akibat kesan pandemik Covid-19, beliau kembali bersemangat apabila melihat permintaan yang tinggi daripada pelanggan di Brunei, yang sanggup menempah produk dan menerima penghantaran terus ke hotel mereka.
“Matlamat Pondok Abang dari awal adalah menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, terutamanya dalam menyediakan makanan tradisional Melayu yang asli dan boleh dinikmati semua bangsa,” jelas Encik Hassan.
Justeru, kerjasama dengan syarikat rumah penyembelihan dan pembekal daging halal serta bermutu di Brunei, PDS Abattoir Sendirian Berhad, adalah usahasama timbal balik yang bukan sahaja memperkenalkan produk Pondok Abang ke pasaran baru di Brunei dan Borneo tetapi juga memudahkan import produk daging segar dari Brunei ke Singapura.
Ini dapat mengukuhkan lagi hubungan antara perdagangan serantau, khususnya Brunei dan Singapura, kata Encik Hasan.
“Insya-Allah, pada awal Januari 2025, kita akan eksport produk kami ke Brunei.
“Ini kerana pada awal 2025, Brunei akan mengadakan pameran pengguna yang akan berlangsung secara besar-besaran.
“Jadi kami berharap agar produk Pondok Abang akan tersedia pada pameran pengguna tersebut,” jelasnya.
Menurut Encik Hasan, Pondok Abang sudah lama merancang untuk import daging mentah ‘whole-cut’ dan yang diproses seperti sosej dan daging kornet demi memenuhi permintaan pengguna yang sentiasa berubah.
“Walaupun kami menyediakan makanan sejuk beku tradisional Melayu, namun kami juga menerima maklum balas daripada pelanggan yang inginkan makanan daripada luar negara seperti Jepun, Korea dan China.
“Kami juga ingin menyediakan daging proses seperti sosej dan daging kornet. Brunei adalah sumber kami yang terdekat dan mutu produk mereka tidak usah diragukan. Ini adalah usaha kami dalam memastikan pelanggan Pondok Abang menerima mutu produk terbaik.
“Hal ini juga akan dilakukan secara bertahap dalam dua fasa. Fasa pertama, adalah dengan import daging mentah dahulu dan kemudian dalam fasa kedua, barulah produk daging yang diproses.
“Alhamdulillah, buat masa ini, terdapat dua syarikat hotel yang sedang menanti kami membawa daging mentah dari PDS Abattoir,” ujar Encik Hasan.
Pada 20 Disember, penghantaran sulung produk daging lembu yang diproses telah dihantar melalui udara dari Brunei ke Singapura.
Ia bertujuan untuk dijadikan produk sampel kepada pelanggan dan calon pelanggan selain menunggu permit serta memastikan ia mematuhi keperluan pemeriksaan Agensi Makanan Singapura (SFA).
Produk daging lembu yang diproses seperti sosej, daging kornet, daging cencang dan bebola daging dari PDS Abattoir akan tersedia di pasar raya di Singapura tidak lama lagi, di mana Pondok Abang adalah pengedarnya.
Menyentuh tentang makanan tradisional Melayu Singapura menyerantau, Encik Hasan mengulas:
“Dengan mengangkat masakan tradisional Melayu sebagai warisan di Nusantara, merangkumi Singapura, Malaysia, Indonesia dan juga Brunei, saya galakkan agar usahawan Melayu di Singapura sama-sama berganding bahu dalam mengetengahkan kekayaan seni masakan kita di peringkat global.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg